26 September 2014

Bertunang Tanpa Sedar



"Lepas habis belajar nanti, awak kahwin dengan saya ya?" kata si lelaki.

"Okey, saya nak kahwin dengan awak." jawab si perempuan.

Pernahkah kita dengar perbualan sebegini atau kita sendiri mengungkapkan kata-kata seperti di atas?

Situasi tersebut sering berlaku dalam kalangan penuntut universiti atau sesiapa sahaja yang sedang hangat bercinta.

Percaya atau tidak, ikatan janji itu, sama ada secara serius atau sekadar ‘main-main’, tanpa sedar boleh meletakkan diri sebagai tunangan orang. Mungkin ramai beranggapan, keadaan itu hanya perkara biasa masa kini.


Mengikut perspektif dan hukum fikah, pinang bermaksud apabila pihak lelaki menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada pihak perempuan. Sekiranya pihak perempuan setuju kepada hasrat lelaki tersebut, maka jadilah perempuan itu tunang lelaki tersebut.

Peminangan boleh berlaku sama ada melalui panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) atau apa-apa rangkaian teknologi sedia ada dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini.

Apabila seseorang wanita itu memberikan jawapan sebagai tanda dia suka dan bersetuju kepada hasrat tersebut, wanita itu telah menjadi tunang kepada lelaki tersebut.

Dalam hal itu, mana-mana lelaki lain yang tahu akan perkara tersebut dan masuk meminang selepas berlaku ‘perjanjian’ itu, hukumnya adalah haram.

Ramai juga beranggapan dan mempertikaikan status tunang boleh berlaku dalam keadaan semudah itu kerana mereka berpendapat, selagi kedua-dua pasangan itu tidak dimaklumkan kepada kedua-dua ibu bapanya, maka pertunangan tidak boleh terjadi.

Pandangan sebegitu adalah tidak benar. Hal ini demikian kerana, walaupun tanpa pengetahuan kedua-dua ibu bapa wanita itu atau tidak ada sebarang ‘tanda ikatan’, seperti cincin dan sebagainya termasuk rombongan dan hantaran meminang, status pasangan tersebut sudah pun bertukar kepada tunangan orang.

Persepsi orang Melayu juga berpandangan, bertunang hanya dikira sah sekiranya berlaku dalam sebuah majlis, membawa hantaran sirih junjung dan sebentuk cincin.

Namun, Menurut Pensyarah Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datin Noor Aziah Mohd. Awal, keadaan sebegitu hanyalah satu adat dan bukannya hukum wajib mengikut Islam.

Menurut beliau, mana-mana perempuan yang sudah berjanji untuk berkahwin dengan mana-mana lelaki, adalah perlu kepadanya untuk memaklumkan kepada ibu bapanya bahawa dia sudah ada pilihan hati dan sudah pun memeterai perjanjian ‘tidak rasmi’ kepada pasangannya.

Tindakan undang-undang

Dalam pada itu, Prof. Noor Aziah menambah, sekiranya perkahwinan yang dirancang tidak berlaku, maka sebelah pihak lelaki atau perempuan boleh mengenakan tindakan undang-undang di mahkamah mengikut peruntukan Seksyen 15 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

“Jika sesiapa telah mengikat pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, atau sama ada dengan sendirinya atau melalui seorang perantaraan, namun kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah.

“Sedangkan pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab untuk memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau bagi pihak yang satu lagi sebagai persediaan bagi perkahwinan itu sekalipun boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah,’’ ujarnya.

Jelas Noor Aziah, Sesungguhnya Allah menjadikan khitbah (tunang) sebagai salah satu daripada syariat yang memberi peluang kepada kita semua untuk berkenalan dengan pasangan daripada segi zahir dan batin sebelum bernikah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM itu berkata, zaman sekarang agak sukar mencari pasangan yang berkahwin atas pilihan keluarga, sedangkan cara sedemikian lebih diberkati demi melahirkan sebuah keluarga sakinah.

Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Tujuan berumah tangga atau berkeluarga adalah untuk mencari ketenangan dan ketenteraman atas dasar mawaddah dan rahmah, saling mencintai, dan penuh rasa kasih sayang antara suami isteri. (Ar-Rum: 21)

Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu meminang seseorang perempuan, maka dia dibolehkan untuk melihat perempuan tersebut sekiranya tujuannya adalah untuk meminangnya, sekalipun tanpa diketahui oleh perempuan itu.’’

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM & SOFIAN BAHAROM
Sumber: Utusan

0 comments: