28 September 2014

Proton Iriz Model Ke-23 Proton

Proton Iriz
Proton Iriz dijual pada harga bermula RM42,438

Pengerusi Proton Holdings Berhad (Proton), Tun Dr. Mahathir Mohamad secara rasmi melancarkan model Kereta Kompak Proton (PCC) terbaharu, Iriz di Proton City di Tanjung Malim, pada 25 September, 2014.

Model terbaharu Proton ke-23 yang hadir dalam tujuh warna dan tiga varian iaitu Standard, Eksekutif dan Premium ditawarkan pada harga bermula RM42,438.

Orang ramai yakin model terbaharu Proton, Iriz mampu mengungguli segmen kereta berdasarkan reka bentuk termasuk ciri-ciri baharu yang dipadatkan ke dalam kereta itu.


Malah mereka percaya, Proton Iriz mampu mengungguli segmen kereta kompak di negara ini walaupun baru memasuki pasaran serantau.

Proton yang sebelum ini menggelarkan model terbaharunya sebagai Kereta Kompak Proton (PCC) kini telah menamakannya sebagai Proton Iriz iaitu mengambil nama Iris yang merupakan struktur penting yang mengawal kemasukan cahaya pada retina.

Sumber: Utusan [Artikel1], Utusan [Artikel2]

Iriz akan pacu jualan Proton

Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamed berkata Iriz akan memberi sumbangan yang ketara kepada jualan Proton dan lebih banyak tempahan dijangkakan selepas pelancaran.

Beliau berkata Iriz, yang berada di dalam segmen B, akan membantu Proton menguasai bahagian pasaran automotif yang lebih besar dengan harganya yang kompetitif dan ciri-ciri teknologi yang inovatif.
 
"Proton berada pada landasan yang tepat dengan pengeluaran Iriz dalam memenuhi standard global dan peraturan global," katanya.
 
Harga atas jalan bermula dari RM42,438 bagi varian 1.3 liter kepada RM58,268 bagi varian 1.6 liter dengan tujuh warna pilihan.
 
Dr Mahathir berkata selain harga yang kompetitif, spesifikasi kereta itu memenuhi standard global.
 
Beliau berkata kereta itu telah diuji dalam keadaan iklim yang melampau termasuk cuaca bersalji dan panas padang pasir.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Abdul Harith Abdullah berkata Proton melabur RM560 juta untuk membangunkan Iriz sejak ia dicadangkan buat kali pertama di Pameran Motor di Geneva pada 2009.
 
Dianggap sebagai kereta terbaik yang dikeluarkan oleh Proton, Iriz dilengkapi enjin VVT empat silinder yang memenuhi standard Euro-4 untuk menjadikannya cekap bahan api dan kos efektif.
 
Kereta itu juga mempunyai standard keselamatan yang tertinggi dan diberi penarafan lima bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu Asean (Ncap).
 
Abdul Harith berkata ciri-ciri tersebut biasanya terdapat pada kereta-kereta mewah atau jenama antarabangsa yang berharga RM100,000 dan ke atas.
 
Pada majlis itu, Dr Mahathir turut melancarkan Pusat Penghantaran Pelanggan Proton yang akan mengendalikan penghantaran kereta di seluruh negara.
 
Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri.

Sumber: Bernama, Sinar Harian

Proton

Proton laksana strategi rebut kedudukan pasaran

PROTON Holdings Bhd sedang melaksanakan strategi untuk merebut semula kedudukannya sebagai peneraju pasaran dan meningkatkan sumbangan eksportnya.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, syarikat itu menetapkan standard global untuk kereta baharunya sebagai penanda aras bagi meningkatkan daya saingan dan membaiki kebolehpasarannya di seberang laut.

"Apa yang kami tetapkan adalah untuk mengeluarkan kereta yang boleh dijual di mana sahaja di dunia," katanya.

Iriz yang disebut-sebut sebagai kereta terbaik dihasilkan oleh Proton setakat ini, dipasang dengan enjin Pemasaan Injap Berubah empat silinder yang memenuhi standard Euro-4 selain penarafan keselamatan 5-bintang Program Penilaian Kereta Baharu Asean.

Kereta itu yang dijual pada harga daripada RM42,438 ke RM58,268, dilengkapi ciri-ciri yang lazim terdapat dalam kereta mewah atau jenama antarabangsa berharga lebih RM100,000.

Dr Mahathir berkata, syarikat itu juga mempunyai strategi untuk mengembangkan asas eksportnya dengan menawarkan kereta yang memenuhi kehendak khusus sesebuah negara.

Beliau berkata, syarikat itu juga sedang menimbang untuk memasang enjin Euro-5 bagi meningkatkan lagi kebolehpasarannya ke seberang laut.

Enjinnya sama ada akan dibuat oleh Proton sendiri atau diperoleh daripada pihak lain, katanya.

"Untuk membangunkan sesebuah enjin, ia biasanya mengambil empat hingga lima tahun. Kita tidak boleh menunggu, oleh itu lebih baik memperolehnya daripada pihak lain," katanya.

Mengenai kebolehan Proton untuk mengeluarkan keseluruhan komponennya, beliau berkata pembuat kereta itu sudah pun berupaya menghasilkan 100 peratus komponen yang diperlukan.

Bagaimanapun beliau berkata, langkah seumpama itu tidak menjimatkan kerana Proton tidak akan mendapat keuntungan dari segi kos.  

"Kita perlu menghasilkan 500,000 kereta setahun untuk mendapat keuntungan dari segi kos itu," katanya.

Sumber: Bernama, Sinar Harian

Iriz akan tembusi ASEAN, Eropah

Proton Holdings Bhd. (Proton) yang mengeluarkan model kompak terbaharunya Proton Iriz, turut merancang untuk menembusi pasaran antarabangsa dimulakan dengan rantau ASEAN sebelum melebarkan sayap ke Eropah.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, buat permulaan sebuah kilang Proton Iriz akan dibina di Bangladesh dan perbincangan tentang perkara itu sedang dilakukan.

"Selepas Bangladesh, Proton Iriz dirancang untuk memasuki pasaran negara-negara bersebelahan seperti India, Pakistan, Nepal dan lain-lain. Bangladesh dipilih kerana kos tenaga kerjanya berpatutan dan murah.

"Proton Iriz berpotensi diterima kerana bertaraf dunia dan mempunyai enjin serta ciri keselamatan yang tinggi," katanya.

Iriz sudah pun mendapat pengiktirafan lima bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu Australasia (ANCAP) dan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (NCAP).

Ujian pemanduan dan ujian cuaca telah dilakukan di Sweden untuk ujian cuaca sejuk dan juga gurun dengan suhu mencecah sehingga 42 darjah Celsius dan hasilnya Iriz boleh mengharungi cuaca panas dan berjaya melepasi ujian 100,000 kilometer.

Hamim yakin Iriz akan dapat bersaing di peringkat global kerana standard dan kualitinya setanding kereta-kereta hebat dari negara maju dan tidak mempunyai masalah untuk dieksport.

Ditanya sama ada akan diterima di pasaran Barat kerana saiz kompak dan mungkin menjadi masalah kerana fizikal pemandu di negara terbabit lebih besar dan tinggi, beliau berkata ianya tidak menjadi masaalah dengan mengambil contoh model kereta Jepun dan Korea yang diterima baik dan berjaya di pasaran dunia

Beliau juga berkata Iriz bakal menjadi pesaing model sekelasnya seperti Suzuki Swift, Kia Rio, Mazda 2, Peugeot 208 dan Volkswagen Polo.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, Iriz akan menjadi perangsang syarikat automotif negara tersebut untuk meningkatkan pasaran eksport kerana mengikut peraturan beberapa negara pengimport.

"Proton juga selepas ini akan mengeluarkan kereta dengan pemanduan di sebelah kiri bagi meluaskan potensi pasaran antarabangsa. Ini kerana kira-kira 70 peratus kereta di dunia dipandu di sebelah kiri," katanya.

Sumber: Utusan [29092014]

Iriz kereta berteknologi tinggi

PROTON Holding Bhd. ( Proton) melancarkan model ke-23 kompak terbaharunya, Iriz yang sebelum ini dikenali dengan kod nama PCC di Kilang Proton di Proton City, Tanjung Malim, Perak.

Pengeluar kereta pertama Malaysia itu mula ditubuhkan pada 7 Mei 1983. Model pertama dengan nama Saga dilancarkan dua tahun selepas itu.

Antara model yang pernah dikeluarkan Proton sebelum ini ialah Saga, Iswara, Wira, Satria, Waja, Preve dan Suprima S menjadi salah satu jenama kereta buatan tempatan itu.

Pelancaran model terbaharu itu secara tidak langsung akan memberikan persaingan kepada model-model dalam segmen B.

Iriz akan menjadi pesaing-pesaing kepada model sekelasnya seperti Suzuki Swift, Kia Rio, Perodua Myvi, Mazda 2, Peugeot 208 dan Volkswagen Polo.

Sehingga hari pelancarannya, Iriz yang merupakan model kompak keluaran syarikat automotif nasional itu telah menerima 17,000 tempahan. Iriz juga dijangka dapat membantu sasaran jualan tahunan secara keseluruhan model Proton sebanyak 160,000.

Menurut Proton, model terbaharu buatan tempatan mengikut cita rasa pengguna di Malaysia itu padat dengan ciri-ciri terkini.

Model Terkini

Iriz menggunakan platform dan enjin serba baharu yang lebih ringan daripada enjin Campro sebanyak 5.7 kilogram (kg) untuk memberikan pembeli satu kepuasan.

Iriz menggunakan enjin serba baharu VVT baharu dikatakan menjimatkan penggunaan bahan api. Antara komponen memainkan peranan dalam enjin itu seperti smart altenator, piston oil control ring, EMS dan mechanical tappet.

Teknologi baharu seperti smart altenator mampu memberikan penjimatan penggunaan petrol sebanyak 0.5 peratus. Penggunaan maninverter baharu yang merupakan kombinasi EX manifold dan catalytic converter secara tidak langsung dapat mengurangkan berat sebanyak 3kg.

Proton juga memaklumkan enjin 1.6 liter VVT itu telah terbukti tahan selepas lulus ujian dyno selama 500 jam bersamaan 160,000 kilometer (km) perjalanan.

Model itu juga telah melalui pelbagai ujian termasuk dalam cuaca bersalji dan padang pasir.

Iriz diibaratkan sebagai satu penjenamaan semula jenama itu dengan menghasilkan satu produk berkualiti tinggi tanpa menghampakan pelanggan mereka.

Sebanyak lapan varian dengan pilihan dua enjin 1.3 liter dan 1.6 liter menggunakan transmisi manual dan automatik.

Kenderaan tersebut ditawarkan dengan lapan varian iaitu 1.3 Standard MT, 1.3 Standard CVT, 1.3 Executive MT, 1.3 Executive CVT, 1.6 Executive MT, 1.6 Executive CVT, 1.6 Premium MT dan 1.6 Premium CVT.

Menggunakan transmisi lima kelajuan manual dan automatik CVT, Iriz merupakan model pertama Proton yang mencapai bacaan penggunaan minyak di bawah tujuh liter bagi setiap 100km perjalanan untuk transmisi manual. Kereta itu juga memenuhi standard Euro-4 dan secara tidak langsung menjadikannya kos efektif dan cekap bahan api.

Antara ciri-ciri menarik lain yang terdapat pada model terbaharu itu ialah sistem tanpa kunci, USB, cermin sisi boleh lipat serta kamera undur.

Selain itu, soket pengecaj USB untuk telefon bimbit dan tablet juga turut disediakan, di samping USB untuk hiburan dan sambungan Bluetooth ke telefon pintar.

Pelaburan Besar

Sejak cadangan pembangunan Iris Proton telah melabur sebanyak RM560 juta

Projek pembangunan Iriz telah dibangunkan sejak tahun 2010 dianggap berbaloi kerana model itu telah menerima pengiktirafan ciri keselamatan dengan memperoleh lima bintang bagi ujian standard keselamatan ASEAN NCAP untuk semua varian.

Antara aspek yang mempengaruhi pengiktirafan itu kerana Iriz menawarkan ciri-ciri keselamatan seperti sistem kawalan cengkaman (TCS), kawalan kestabilan elektronik (ESC), enam beg udara keselamatan, sistem pengagihan brek elektronik (EBD), Brake Assist dan Hill Hold Assist.

Proton Iriz juga dibina menggunakan pendekatan 'hot press forming' untuk kerangka casis bagi memberikan struktur badan yang lebih kukuh. Sekiranya berlaku kemalangan, sistem Impact Sensing Door Unlock akan berfungsi untuk menyahaktif kunci setiap pintu.

Selain itu, Iriz juga merupakan model pertama keluaran syarikat itu yang menggunakan teknologi stereng berkuasa elektrik (EPS).

Menurut Pengerusi Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Iriz merupakan kenderaan paling berteknologi yang pernah dihasilkan Proton.


RUANG bagasi Iriz berkapasiti 215 liter.

Katanya, model itu dijangka mampu membawa syarikat automotif nasional kembali ke zaman ke gemilangannya dengan memaparkan rekaan berani dan kejuruteraan yang berkualiti pada standard tinggi.

“Standard antarabangsa yang diterapkan dalam Iriz dilihat mampu memenuhi kehendak pelanggan dan daya saing di luar.

“Kami mahu menghasilkan kereta bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga untuk dunia,” katanya.

Tujuh pilihan warna ditawarkan iaitu merah, biru, perak, putih, hitam, hijau dan kelabu.

Proton memberikan jaminan selama lima tahun atau 150,000km perbatuan atau mana-mana yang tiba dahulu.

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Sumber: Kosmo

0 comments: