08 September 2014
Kanta Hidup Tentukan Sistem Kepercayaan
Benarkah masa hadapan kita ditentukan oleh tangan kita sendiri, dengan berpandukan akal?
Yang membezakan manusia dengan makhluk yang lain ialah akal. "Kalau lalang suburnya kerana akar, rentaplah akarnya, lalang bakal kering terkapar. Kalau manusia, mulianya kerana akal, jagalah akalnya, hati menjadi cekal minda menjadi segar".
Jika kita pandai menggunakan 'mata akal' dan 'mata hati' yang dianugerahkan Allah kepada kita, kita akan menjadi seorang yang hebat, "umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul jua". Maksudnya orang yang hebat, di mana sekalipun dia berada orang akan nampak kehebatannya dan kehadirannya.
Sebenarnya dalam kehidupan ini ada empat jenis manusia. Pertama, manusia yang tidak tahu apa yang dia tidak tahu. Iaitu manusia yang keliru dengan dirinya dan dia tidak tahu tujuan dan matlamat hidupnya. Orang yang seperti ini biasanya tidak merancang hidupnya dan membiarkan kehidupan 'berlaku ke atas dirinya'.
Kedua, manusia yang tahu apa yang dia tidak tahu. Orang yang begini akan hidup dengan penuh kesedaran bahawa dirinya banyak kekurangan serta perlu berusaha mencari ilmu dan meluaskan pengalaman untuk memperbaiki kekurangannya. Orang yang begini biasanya 'kesedaran ketuhanannya' tinggi, berkecenderungan untuk menambahkan ilmu bagi meningkatkan keimanan.
Ketiga, manusia yang tahu apa yang dia tahu. Orang yang begini biasanya hidup dengan penuh keyakinan diri. Tetapi, kalau tidak dikawal keyakinannya itu, mungkin dia boleh menjadi seorang yang hidup dengan 'kesedaran keegoan' yang tinggi.
Keempat, manusia yang dia tidak tahu apa yang dia tahu. Orang yang begini orang yang tidak tahu dan sedar kebolehan dan bakatnya. Tetapi kebolehannya itu dapat dikesan oleh orang lain, dan setelah orang lain menyerlahkan kehebatannya barulah dia tahu kebolehannya.
Dengan empat jenis manusia ini cuba audit diri kita, siapakah kita? Siapa pun diri kita; baik atau buruk, positif atau negatif kita akan dapat mengubah kehidupan masa hadapan kita dengan menggunakan 'mata akal' dan 'mata hati'.
Cara kita memandang sesuatu menentukan "FIKIRAN - EMOSI - TINDAKAN - HASIL KEHIDUPAN". Dalam mata kita ada kanta. Kalau kanta kita jernih kita nampak dengan jelas apa yang kita pandang, dan kalau kanta kita kelabu kita tidak nampak jelas apa yang kita pandang (rabun).
Mengubah
Kalau kita pakai kanta merah semua nampak merah. Kalau kita pakai kanta biru semua nampak biru. Kalau orang memakai kanta merah akan mengatakan dengan pandangan semua merah itulah yang cantik dan terbaik buat dirinya.
Dia tidak percaya dengan keindahan dan keistimewaan kanta biru, malah tidak percaya apabila orang yang memakai kanta biru mengata kanta birulah yang paling indah dan istimewa.
Hal ini kerana 'sistem kepercayaan' yang mereka pegang. Yang hendak ditekankan dalam hal ini adalah cara kita melihat sesuatu akan mengubah apa-apa yang kita lihat. Kanta yang kita lihat itulah yang menentukan 'sistem kepercayaan' dan sistem nilai kita dan cara kita melihat dunia luar bergantung pada cara kita menggunakan kanta.
Siapapun kita, (jenis manusia apa pun kita) kita boleh mengubah keperibadian kita daripada negatif kepada positif dengan menggunakan formula dalam 'Reset Minda' yang sangat penting iaitu, 'ADA - BERI - DAPAT'. Untuk kita dapat baik kita mesti beri baik - baru dapat baik. Untuk mendapat semua kebaikan ini, bergantung kepada 'hati' yang menjadi 'raja' yang mengawal nafsu manusia.
Boleh atau tidak kita beri baik kalau kita tidak ada perasaan baik dalam hati kita? Jom auditlah diri. Setiap saat kita perlu membersihkan hati sebab kita akan bertemu dengan Allah dengan hati yang tenang dan jiwa yang tenang. Jika kita tidak tenang di hati maka kanta kita akan nampak semua kelabu. Sebab itu kalau jiwa kita kotor, kita akan beranggapan semua orang jahat.
Dalam kehidupan masyarakat, kerap kita dapati antara ibu dengan anak, suami dengan isteri, pekerja dengan majikan/ketua bertentangan pendapat dan kadang berlaku krisis. Semua perkara itu terjadi kerana masing-masing melihat dengan kanta mereka sendiri, iaitu dengan 'sistem kepercayaan yang berbeza.
Anak melihat dengan kanta yang berlainan dan ibu bapa pula melihat dengan kanta yang berlainan. Ibu atau bapa yang sudah lama hidup dan pengalaman sudah banyak, nampak apa-apa yang anak-anak tidak nampak melalui kanta mereka yang masih mentah dan cetek pengalaman.
Bagi mengatasi masalah ini ubah cara kita memandang kehidupan ini dengan menggunakan kanta yang betul. Ubah sistem kepercayaan yang kita gunakan selama ini dengan cara melihat dunia dengan menggunakan kanta yang sangat jelas, yang betul dan sama.
Jika kita mengubah cara kita melihat kehidupan dengan menggunakan kanta yang baharu dan betul, kesan kepada diri dan keluarga dalam kehidupan kita juga akan berubah.
Dengan menggunakan kanta yang baharu, betul dan sama, barulah kita dapat seiring mengejar matlamat dan tujuan hidup kita dalam satu keluarga, baik antara anak dengan ibu bapa atau antara suami dengan isteri.
Demikian jugalah dalam sesebuah organisasi, demi kejayaan bersama dengan menggunakan kanta atau 'sistem kepercayaan yang sama, sangat mudah organisasi itu mencapai tujuan, matlamat, visi dan misi mereka.
Gunakanlah 'mata akal' dan 'mata hati' kita untuk menapis kebaikan sahaja yang masuk dalam minda kita dan menepis segala keburukan yang cuba menceroboh minda kita. Dengan 'mata hati' kita akan dapat menyaksikan 'bilik minda'.
'Bilik minda' ialah satu imaginasi minda yang boleh dimiliki oleh setiap individu dengan cara memejamkan mata dan membayangkan satu bilik yang indah. Kita akan tenang dan bayangkan kita menjadi pemerhati diri kita dan binakan imej diri yang positif yang kita mahukan.
Kalau kita daripada jenis manusia yang negatif binalah imej diri yang positif. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".
Dr. Muhaya Mohamad
Sumber: Utusan
Catatan:
PROF. DR. MUHAYA MOHAMAD adalah:
* Profesor Oftalmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS),
* Pengarah dan Pakar Mata, Prof. Muhaya Eye and Lasik Centre,
* Penceramah Utama Jelajah Celik Famili
* Felo Dakwah YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia)
* Fanpage Facebook Prof. Dr .Muhaya
Labels:
Motivasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan