07 September 2014

Tiada Peruntukan Kuasa Negeri Tubuh Pasukan Khas


SERAMAI 250 ahli Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan oleh anggota polis selepas mengambil bahagian dalam perarakan Hari Kemerdekaan ke-57 dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai, Pulau Pinang. - Foto BERNAMA

Kebebasan berpersatuan sememangnya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Namun, sebagai satu hak sivil dan hak politik yang mempunyai banyak pengaruh, kebebasan berpersatuan itu perlu dikawal selia dengan baik.

Tujuan kawal selia itu bukan untuk menyekat atau mengehadkan kebebasan; tetapi kerana kebebasan itu mudah untuk disalah guna atau ia juga mungkin dilaksanakan melampaui batasan kebebasan sehingga menggugat kebebasan lain atau juga menggugat ketenteraman dan mengganggu struktur perundangan dan pentadbiran negara.

Bagi tujuan mengawal selia hak berpersatuan, antara lain, Akta Pertubuhan 1966, telah diperkenalkan. Dengan adanya Akta ini, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan telah ditubuhkan dan ia diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.


Justeru, kebebasan berpersatuan sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan itu diikat kepada pendaftaran mengikut akta ini. Akta ini juga meletakkan syarat tertentu bagi sesebuah pertubuhan.

Jika pendaftaran dan peraturan yang disebut dalam akta ini gagal dipenuhi, maka sesuatu pertubuhan itu adalah tidak sah. Berikutan itu sesiapa yang menyertai pertubuhan berkenaan dalam apa juga bentuk melakukan kesalahan (sebagai contoh lihat seksyen 41-51 Akta Pertubuhan 1966).

Rujuk Perlembagaan

Satu perkara berkaitan pertubuhan yang sedang dalam pemerhatian kita ketika ini ialah Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menasihatkan kerajaan Pulau Pinang membubarkan PPS kerana badan itu merupakan satu pertubuhan haram yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Persoalan besar di sini, adakah kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa, atau boleh menubuhkan pasukan sukarela untuk menjaga ketenteraman awam tersendiri bagi melaksanakan undang-undang berkaitan bagi tujuan negeri itu? Seperti kita maklum, jika timbul soal perundangan, dokumen utama perlu kita rujuk ialah Perlembagaan Persekutuan.

Seperti kehendak struktur perundangan negara, terutama Perlembagaan Persekutuan, hal berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam jelas di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Perkara ini disebut pada Butiran 3, Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan ini mempunyai tiga senarai utama. Senarai Pertama ialah senarai Persekutuan, iaitu Senarai perkara yang boleh dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. Senarai Kedua ialah Senarai Negeri dan Senarai Ketiga ialah Senarai Bersama, apabila Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri boleh membuat undang-undang.

Pasukan polis dan ketenteraman awam disebut pada Senarai Persekutuan. Ia ada dalam perenggan (a) Butiran 3 Senarai Persekutuan. Oleh itu, ketenteraman awam adalah urusan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak boleh menubuhkan pasukan khas untuk menjaga ketenteraman awam.

Walaupun begitu, pasukan polis mempunyai mekanisme tertentu untuk tujuan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang secara sukarela mahu berkhidmat kepada masyarakat. Kita lihat contoh paling ketara dalam perkhidmatan pasukan polis ialah community policing serta Rakan Cop.

Begitu juga dengan program Polis Bantuan atau Sukarelawan Polis. Jika ada pertubuhan atau mana- mana pihak yang mahu berkhidmat kepada masyarakat, mereka boleh bekerjasama dengan pasukan polis. Senarai Negeri pada Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menyenaraikan bidang kuasa kerajaan negeri.

Selepas diperhatikan pada perkara dalam Senarai Negeri ini, ada peruntukan yang membenarkan kerajaan negeri membentuk perkhidmatan bagi negeri. Ini dimuatkan dalam peruntukan Butiran 7(b).

Tak bercanggah Senarai Persekutuan Namun, jentera kerajaan negeri ini tertakluk kepada Senarai Persekutuan. Dengan itu, jika dikatakan kerajaan negeri boleh membuat pertubuhan bagi tujuan negeri, kerajaan negeri berkenaan tidak boleh bercanggah dengan perkara dalam Senarai Persekutuan.

Dalam konteks pasukan menjaga ketenteraman dalam negeri, kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa dalam hal ketenteraman awam ini kerana perkara ini adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Pada Senarai Bersama Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, di dapati negeri juga mempunyai bidang kuasa untuk membuat perkhidmatan masyarakat. Tetapi, sekali lagi, bidang kuasa negeri ini tertakluk kepada Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri.

Bermaksud di sini, jika kerajaan negeri mahu menubuhkan pasukan menjaga ketenteraman awam, ia tidak boleh bercanggah dengan Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri. Dengan kata lain, perkara di bawah Senarai Persekutuan dalam apa keadaan sekalipun tidak boleh dilaksana oleh kerajaan negeri.

Oleh Shamrahayu A Aziz
Sumber: BHarian

Satu entiti haram

Di bawah Seksyen 41 Akta Pertubuhan, satu pertubuhan itu menjadi pertubuhan haram (unlawful society) sekiranya ia tidak didaftarkan di bawah Seksyen 7.

Mengikut Seksyen 2, istilah "pertubuhan" diberi takrif yang luas, meliputi antara lain "kelab, syarikat, perkongsian atau persatuan tujuh orang ahli atau lebih, tidak kira apa pun sifat atau matlamatnya, sama ada sementara atau berkekalan", tetapi tidak termasuk beberapa entiti yang disebutkan secara nyata dalam seksyen itu.

Menjadi pegawai satu pertubuhan haram adalah salah di bawah Seksyen 42 - boleh dihukum penjara selama 5 tahun, denda RM15,00 atau kedua-duanya sekali. Menjadi ahli pertubuhan haram juga satu kesalahan di bawah Seksyen 43 - boleh dihukum penjara 3 tahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Perbuatan mendorong, menggalakkan atau mempelawa orang lain untuk menjadi ahli atau menyertai satu pertubuhan haram juga satu kesalahan di bawah Seksyen 45 - boleh dihukum penjara 4 tahun, denda RM15,000 atau kedua-duanya sekali.

Andainya kita semak secara terperinci Jadual ke Sembilan Perlembagaan Persekutuan, kita akan dapati bahawa dalam Item 3 Senarai I (iaitu Senarai Persekutuan) bahawa "Internal security, including - (a) Police …. Public order" adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Pusat, bukan kerajaan negeri.

Oleh Salleh Buang
Penganalisis Undang-undang
Sumber: Utusan

0 comments: