19 September 2014

Keutamaan Doa dan Istighfar



Besarnya kuasa istighfar

ISLAM sebuah agama yang penuh dengan kasih sayang dan kebahagiaan. Sesiapa sahaja berpeluang untuk memperbaiki diri dan memperoleh kedudukan yang mulia di sisi Islam. Syaratnya mudah iaitu dengan bertakwa dan beramal soleh kerana Allah SWT.

Sudah menjadi lumrah manusia, sering melakukan salah dan dosa. Tidak ada insan yang bebas daripada sebarang dosa iaitu maksum, melainkan junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

Begitu pun, agama Islam sering kali memberikan peluang kepada hamba-hamba-Nya untuk bertaubat dan menjadi manusia yang lebih baik. Sebanyak mana dosa yang pernah dilakukan, pintu keampunan itu sentiasa ada.

Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mintalah ampun kepada Tuhanmu, kemudian kembalilah bertaubat kepada-Nya, Sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang Maha Pengasih. (Hud: 90)


Perkataan ampun diulang lebih 50 kali di dalam al-Quran dan menunjukkan betapa penting dan besarnya nilai keampunan di sisi Allah SWT. Hanya Dia yang mampu mengampunkan dosa-dosa kita yang begitu banyak dan membebaskan kita daripada azab api neraka di akhirat nanti.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan yang keji atau menganiaya dirinya sendiri (melakukan dosa), mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa mereka melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya). (Ali Imrah: 135)

Begitu juga firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 106 yang bermaksud: Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Menghapuskan dosa

Memohon keampunan di dalam Islam cukup mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Cara memohon ampun kepada Allah telah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dan menjadi kewajipan kepada kita semua untuk ittiba’ (mengikuti) apa yang telah diajarkan olehnya sebagai jalan untuk beribadah kepada Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Demi Allah, Aku beristighfar (memohon ampun) kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya lebih 70 kali dalam sehari. (riwayat al-Bukhari)

Di dalam riwayat Imam Muslim disebutkan bahawa Nabi melakukannya sebanyak 100 kali sehari.

Sungguh mengagumkan bagi orang yang berfikir. Nabi Muhammad yang maksum (bebas daripada dosa) dan telah dijamin syurga sendiri beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengajar kepada kita bahawa amalan itu begitu penting dan besar kedudukannya di sisi Allah SWT sehingga baginda SAW melaziminya sepanjang hari.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, para sahabat Nabi SAW pernah melihat baginda duduk dan beristighfar sebanyak 100 kali. Nabi SAW membaca: Rabbighfirli wa tubb ‘alayya innaka antattawwaburrahim.

Istighfar terbaik

Antara bacaan istighfar yang juga pernah dibacakan oleh Rasulullah SAW ialah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud r.a: Astaghfirullahal ‘aziim allazi la ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atuubu ilaih. (riwayat Abu Daud)

Istighfar yang paling baik disebut sebagai Sayyidul Istigfar yang bermaksud penghulu segala istighfar sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi SAW: Sayyidul Istighfar ialah siapa yang menyebutkan ‘Allahumma Anta Rabbi la ilaha illa Anta khalaqtani wa ana ‘abduka wa ana ‘ala ‘ahdika wa wa’dika mastato’tu, aa’uzubika min sharri ma sona’tu, abuu’ulaka bini’matika ‘alayya wa abuu’u bizanbi, faghfirli fainnahu la yaghfiruzzunuba illa anta (Ya Allah ya Tuhanku, engkaulah Rabbku. Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menciptakanku. Aku adalah hamba-Mu. Aku akan setia pada perjanjianku dengan-Mu semampuku. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan yang aku lakukan. Aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku. Oleh itu ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau. (iwayat al-Bukhari)

Itulah antara lafaz istighfar yang diajarkan oleh Nabi SAW kita. Kesemuanya mengandungi nilai akidah dan berserah diri yang mendalam. Semoga kita dapat beramal dengannya.

Oleh MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR
Penuntut Pengajian Islam Kontemporari di Kuliyyah Islamiyyah ‘Alamiyyah Gombak.
Sumber: Utusan

Keutamaan doa

DALAM al-Quran mengenai ibadat puasa di bulan Ramadan antaranya terkandung ayat yang secara khusus membicarakan mengenai perihal berdoa. Di dalamnya Allah SWT perintahkan orang beriman untuk berdoa kepada-Nya.

Allah SWT berjanji untuk mengabulkan doa asalkan memenuhi syarat-syaratnya iaitu; Memohon hanya kepada Allah SWT bukan selain-Nya, memenuhi segala perintah-Nya dan seterusnya, beriman kepada Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Berkuasa mengabulkkan permohonan dan menetapkan takdir segalanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (al-Baqarah: 186)

Bulan Ramadan merupakan bulan di mana orang beriman mempunyai kesempatan begitu luas untuk berdoa kepada Allah SWT. Waktu-waktu mustajab (saat doa dimakbulkan Allah) terdapat dalam beberapa situasi, khusus sepanjang Ramadan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak. Pertama, orang yang berpuasa hingga ia berbuka. Kedua, imam yang adil dan ketiga, doa orang yang dizalimi." (riwayat Tirmizi)

Dalam hal berdoa orang berpuasa dibandingkan dengan pemimpin yang adil dan orang dizalimi. Doa orang berpuasa mustajab. Didengar, tidak ditolak Allah SWT, bahkan dimakbulkan, insya-Allah.

Setiap orang yang faham maksud hadis ini sangat gembira menyambut Ramadan. Justeru, ini bererti selama sebulan ia berpuasa peluang doanya dimakbulkan Allah SWT sangatlah luas.

Lebih-lebih lagi, saat menjelang berbuka puasa ketika menanti tibanya azan Maghrib. Kita seharusnya memanfaatkan waktu sebaiknya untuk berdoa.

Kesempatan terbaik menjelang berbuka dengan mengajukan berbagai-bagai permohonan kepada Allah SWT. Ini kerana, sebahagian daripada masyarakat kita, lebih suka menghabiskan waktu dengan berbual dan melakukan perkara yang remeh-temeh menjelang Maghrib di bulan Ramadan al-Mubarak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang berpuasa memiliki doa yang tidak tertolak pada saat berbuka." (riwayat Ibnu Majah)

Rasulullah SAW membaca doa ketika berbuka yang bermaksud: “Jika Nabi Muhammad SAW berbuka, ia berdoa : Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan semoga ganjaran didapatkan, insya-Allah." (riwayat Abu Daud)

Mengapa di dalam doa berbuka Nabi SAW mengatakan: “....dan semoga ganjaran didapatkan, insya-Allah?"

Ini kerana, sesungguhnya yang sangat diharapkan bukan semata-mata kegembiraan pertama sewaktu berbuka di dunia, melainkan yang lebih diharapkan orang beriman ialah kegembiraan kedua iaitu saat bertemu Allah SWT di akhirat kelak. Orang beriman ketika itu bergembira berjumpa Allah SWT kerana ibadat puasanya sewaktu di dunia diterima Allah Yang Esa. Demikianlah Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Bagi orang yang berpuasa terdapat dua kegembiraan. Kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan saat ketika perjumpaannya dengan Allah SWT kerana ibadat puasanya. (riwayat Bukhari)

Hidup manusia di dunia adalah perggantian antara susah dan senang. Maka selama sebulan Ramadan, hendaklah kita membaca yang Nabi SAW biasa membaca ketika menghadapi keadaan susah mahupun menerima kurniaan.

Nabi SAW melazimkan kalimah istighfar sebagaimana maksud hadis berikut: “Barang siapa yang tetap melakukan istighfar, maka Allah SWT akan membebaskannya daripada segala kesusahan dan melapangkannya daripada setiap kesempitan serta akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak diduganya." (riwayat Abu Daud)

Sedangkan ketika menerima kurniaan atau nikmat, Nabi SAW menganjurkan kita agar membaca sebagaimana maksud hadis berikut, “Setiap orang yang diberi kurnia Allah SWT lalu ia membaca Alhamdulillah maka Allah SWT akan memberikan yang lebih utama daripada apa yang telah ia terima." (riwayat Ibnu Majah)

Mohon ampun

Allah SWT telah memuji para hamba-Nya yang gemar beristighfar, terutama pada waktu-waktu mulia dan istimewa. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Orang-orang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) dan yang memohon ampun di waktu sahur. (Ali-Imran: 17)

Imam Ibnu Kathir berkata tentang kalimah, memohon ampun di waktu sahur menunjukkan keutamaan istighfar di waktu sahur (penghujung malam). Ada pendapat mengatakan, saat Nabi Ya’akub a.s berkata kepada anak-anaknya: Pasti aku akan memohon keampunan kepada Tuhanku untuk kamu. (Yusuf : 89). Beliau mengakhiri pelaksanaannya sampai waktu sahur.

Waktu sahur adalah waktu di penghujung malam menjelang Subuh. Keutamaannya tidak didapatkan pada waktu-waktu selainnya.

Kesempurnaan istighfar di waktu ini diawali dengan kegiatan solat malam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan di mata air-mata air sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah). (Az-Zariyaat: 15-18)

Sumber: Utusan

0 comments: