Kerajaan pada 9 September, 2014 memperkenalkan Skim Sewa Beli bagi membantu pemohon Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman perumahan dengan bank.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara tersebut memberitahu, kemudahan itu telah pun dipersetujui dan pihak Perbadanan PR1MA Malaysia telah mengusahakan dengan pihak bank untuk memudahkan urusan pembelian itu.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata skim itu diwujudkan khusus untuk generasi muda dalam mendapatkan rumah yang mereka idamkan selama ini.
"Program ini adalah bagi membantu mereka (permohonan) yang ditolak bank, kadang-kadang yang tiada pendapatan tetap atau rekod tidak berapa elok.
"Maka kita bersetuju dengan pihak bank untuk tawar skim 'Rent to Own' ini dengan pemohon hanya perlu membayar sewa dan dalam tempoh 20 hingga 30 tahun, rumah itu akan jadi milik mereka," katanya.
Konsep PR1MA ini, selain belian rumah, kita hendak memberi harta kepada orang, selain menjana kekayaan.
Mengulas lanjut mengenai PR1MA, Najib berkata kerajaan sentiasa meletakkan keutamaan dan keperluan rakyat pada penanda aras utama kerana rumah adalah antara keperluan tinggi yang mesti dimiliki setiap rakyat di negara ini.
"Saya boleh beri jaminan, harga untuk rumah PR1MA ini hendaklah kurang 20 peratus lebih rendah dalam harga pasaran. Maknanya, sesiapa yang membeli rumah ini sudah mendapat 20 peratus pengurangan harga dan jika disimpan dalam tempoh 10 tahun akan datang, sudah tentulah nilainya melambung tinggi.
"Kita ada keperluan lain, tapi urutan keinginan untuk miliki rumah adalah di atas dan tertinggi. Tapi rumah bukan sebarangan rumah mestilah selesa dan berkualiti.
"Ia juga mestilah dalam lingkungan kemampuan kita, harganya yang mampu dibeli oleh kita sebagai bakal pembeli. Kumpulan sasaran kita (kerajaan) adalah 50 peratus orang muda iaitu berumur 35 tahun ke bawah termasuk bujang. Jadi lahirlah konsep PR1MA ini yang merupakan satu agenda kerajaan," kataya.
Sumber: BERNAMA, Utusan
Penubuhan Bank Perumahan Skim Sewa Beli
Kerajaan wajar mengkaji dan mempertimbangkan cadangan Kerajaan Negeri Johor supaya mewujudkan semula bank yang menyediakan skim sewa beli perumahan bagi memudahkan rakyat memiliki kediaman sendiri.
Bank atau institusi kewangan yang menyediakan pinjaman skim sewa beli perumahan amat wajar ditubuhkan khususnya dalam memberi kemudahan kepada rakyat untuk memiliki rumah kos sederhana atau rendah.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, perkara tersebut telah pun dibincangkan di peringkat kementeriannya dan bakal dikemukakan ke Kabinet dalam masa terdekat.
Kata beliau, kebanyakan pembeli daripada golongan sederhana dan rendah berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman untuk memiliki rumah mampu milik kerana institusi kewangan sedia ada membuat penilaian berdasarkan jumlah pendapatan isu rumah.
"Bank-bank sedia ada tidak begitu berminat untuk memberikan pinjaman kepada pembeli yang ingin memiliki rumah mampu milik kerana jumlah pendapatan mereka tidak menepati syarat.
"Oleh itu, kita amat mengalu-alukan cadangan kerajaan Johor dan kami di peringkat kementerian pernah mencadangkan perkara tersebut kerana pinjaman perumahan khusus untuk pemilikan rumah mampu milik masih tidak ada, namun kita akan bawa perkara ini ke peringkat Kabinet terlebih dahulu sekali gus mendapatkan pandangan Kementerian Kewangan dan Bank Negara,'' katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesyorkan supaya Kerajaan Pusat mewujudkan semula bank atau institusi kewangan yang menyediakan skim sewa beli berkenaan bagi memudahkan rakyat memiliki rumah.
Menurut beliau, pembeli berdepan masalah sukar untuk mendapatkan pinjaman dan secara tidak langsung menjejaskan hasrat mereka untuk memiliki rumah yang telah disediakan oleh kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, ketelitian pihak bank untuk memberikan pinjaman perumahan ketika ini adalah berikutan arahan Bank Negara supaya diperketatkan syarat-syarat pinjaman bagi mengawal tahap hutang isi rumah yang begitu tinggi.
Katanya, walau bagaimanapun, akses kepada permohonan pinjaman tidak disekat dan rakyat bebas untuk mendapatkan kemudahan itu mengikut terma dan syarat yang ditetapkan.
"Sebenarnya rakyat tidak ada masalah untuk membuat pinjaman perumahan namun institusi-institusi kewangan ketika ini mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Bank Negara agar pinjaman perumahan tidak diberikan sewenang-wenangnya,'' katanya.
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
Sumber: Utusan
0 comments:
Catat Ulasan