16 September 2014

Perodua Axia ~ Kenderaan Cekap Tenaga (EEV)



Perodua Axia, model terbaharu keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd., (Perodua) yang merupakan Kenderaan Cekap Tenaga atau 'Energy Efficient Vehicle' (EEV) pertama negara dilancarkan secara rasmi pada 15 September, 2014.

Pelancaran tersebut yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melambangkan kejayaan Perodua dalam menghasilkan model ke-10 syarikat itu sejak ditubuhkan pada tahun 1993.

Model Axia yang turut digelar kereta kompak hijau didatangkan dalam empat varian dengan transmisi manual dan auto iaitu Standard E, Standard G, Edisi Khas dan Advance dengan jaminan pengeluaran selama lima tahun.


Sebanyak lapan warna ditawarkan iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ebony Black, Moonlight Blue, Cherry Blossom, Lemon Grass Green, Sunflower Yellow dan Lava Red.

Berkonsepkan EEV, Perodua Axia dengan kuasa enjin 1.0 liter mampu memberi penjimatan bahan api sehingga 21.6 kilometer bagi setiap liter dan ditawarkan dengan pelbagai fungsi unik.

Dengan menyasarkan pengguna daripada pelbagai peringkat kumpulan, Perodua Axia ditawarkan pada harga atas jalan bermula serendah RM24,600 (bagi standard E manual solid) hingga tertinggi RM42,530 sebuah (bagi varian Advance auto metalik) untuk pasaran Semenanjung Malaysia.

Perodua Axia merupakan model pertama dihasilkan di kilang baharu Perodua yang juga berkonsepkan cekap tenaga iaitu Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd. di Rawang dengan sokongan syarikat pengeluar kereta Jepun, Daihatsu Motor Company.

Muhyiddin berkata, kesanggupan untuk melabur dalam industri automotif seperti yang dilakukan Perodua mampu membantu mencapai sasaran menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kenderaan EEV menjelang 2020 seperti termaktub dalam Polisi Automotif Kebangsaan (NAP) 2014.

"Bagi Malaysia, harapan kami bukan sahaja menjadi hab EEV pada tahun 2020 tetapi merangkumi kitaran industri automotif hijau.

"Model baharu ini akan meletakkan penanda aras dalam soal kualiti, pengurusan kos serta produktiviti dalam pasaran EEV dan Perodua telah membuktikan kemampuannya untuk bersaing serta berkembang di negara ini," katanya.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
Sumber: Utusan

Penanda Aras Dalam Pasaran Kereta EEV

"Ini adalah kereta yang menawarkan reka bentuk mudah dan kontemporari dengan menggabungkan fungsi, praktikal dan mesra alam tetapi boleh didapati pada lingkungan harga berpatutan.

"Berdasarkan senarai harga dan ciri-ciri yang terdapat dalam kereta ini, saya percaya Perodua Axia akan diterima baik oleh rakyat Malaysia dan saya juga berharap model ini akan dipasarkan di rantau Asia dalam masa terdekat," katanya.

Muhyiddin juga berkata tumpuan EEV di Malaysia bukan semata-mata kepada kenderaan cekap tenaga tetapi turut merangkumi kitaran hayat teknoloji hijau automotif.

Beliau berkata adalah penting untuk mengambil kira rantaian nilai automotif secara keseluruhan dalam mentransformasikan industri ke arah berkekalan.

"Kadar pelepasan gas rumah hijau perlu dikawal sepanjang masa dalam proses mengeluarkan kenderaan manakala pengeluar kenderaan dan komponen perlu memperbaiki proses pengeluaran masing-masing bagi mengurangkan kesan kepada alam sekitar.

"Ia juga termasuk mengoptimumkan penggunaan tenaga dan sumber-sumber pengurusan," katanya.

Dengan pelaburan berterusan oleh syarikat-syarikat seperti Perodua, Muhyiddin berkata rancangan kerajaan untuk menjadi hab pengeluaraan kenderaan EEV di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014 akan direalisasikan.

Sumber: BERNAMA

Axia bukan pengganti Viva



Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), tidak akan memberhentikan pengeluaran Perodua Viva secara komersial selepas memperkenalkan kenderaan cekap tenaga (EEV) mampu milik, Axia, sebaliknya pengeluaran Viva diteruskan mengikut permintaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, kedua-dua model itu dihasilkan di kilang yang berbeza di Rawang, Selangor.

Perodua Axia juga adalah model baharu yang mempunyai permintaan tersendiri manakala Viva masih mendapat permintaan dari dalam dan luar negara.

"Viva tidak akan diberhentikan pengeluarannya secara komersial tetapi secara teknikalnya akan digantikan oleh Perodua Axia secara berperingkat-peringkat," katanya.

Oleh AZMAN IBRAHIM
Sumber: Utusan

Axia kenderaan tempatan pertama cekap tenaga

Nama Axia diberikan berdasarkan kombinasi huruf X dan perkataan Asia. Huruf X diambil sempena angka 10 dalam bahasa Roman dan menggantikan huruf S dengan sebutannya A-Zee-A.

Model itu merupakan penanda aras Perodua sebagai salah satu usaha menambah baik kualiti, versatil dan ketahanan. Model terbaharu itu dibuat hasil sokongan daripada rakan kongsi Perodua, Daihatsu Motor Company of Japan (DMC) dengan memperkenalkan enjin 1.0 liter terbaharu mereka.

Perodua Axia mencipta sejarah kerana menjadi Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) nasional pertama di Malaysia. Istilah EEV itu diperoleh selepas kereta itu mampu untuk bergerak melebihi 20 kilometer (km) untuk satu liter petrol.

Axia boleh bergerak sejauh 21.6km untuk satu liter bagi varian menggunakan transmisi manual manakala 20.1km untuk transmisi automatik.

Penjimatan penggunaan bahan api yang ditawarkan pada model Axia dapat memberikan pengguna dan pemiliknya tambah nilai untuk sebuah kereta kompak.

Pada bahagian luarannya, Axia berada dalam kereta segmen A tetapi ruang kabin dan tempat penyimpanan barang seluas kereta segmen B.

Panjang ruang kabin Axia mencecah 1,900 milimeter (mm), lebar 1,385mm, tinggi maksimum 1,240mm manakala ruang simpanannya mencecah 260 liter.


STERENG berkuasa elektrik (EPS) yang dipasang pada model Axia merupakan ciri-ciri standard untuk semua varian.

Sebagai makluman, Perodua Axia juga menggunakan tayar gantian mengikut tayar sebenar bertujuan untuk tidak menjejaskan perjalanan dan ruang simpanan sekiranya berlaku tayar pancit.

Beberapa ciri-ciri menarik turut diperkenalkan pada model itu. Bagi Perodua segmen A dilengkapi sensor parkir di hadapan, stereng berkuasa elektrik (EPS), skrin sentuh multimedia dengan navigasi, butang kawalan di stereng dan paparan pelbagai maklumat (MID).

Antara kelengkapan yang terdapat pada MID Axia ialah Odometer, Trip meter, ikon Eco, purata penggunaan petrol dan servis info. Servis info akan mengingatkan pemandu untuk sebelum waktu penyelenggaraan Axia dengan tujuan kereta itu sentiasa diselenggara mengikut masa yang ditetapkan.

Kemudahan lain yang ditawarkan pada model Axia adalah tempat letak tisu, empat tempat letak botol, tiga pemegang cawan, tempat simpanan pelbagai dan dua penyangkut dengan kekuatan tiga kilogram.

Satu daripada dua penyangkut itu dicipta untuk mengelakkan jenayah ragut kerana wanita yang menggunakan beg tangan boleh menyangkut dan kuncikan pemegang.

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Sumber: Kosmo

0 comments: