06 September 2014

Terlalu Sibuk Dan Penat Untuk Beri Perhatian Kepada Anak?



MENANGANI kerenah anak-anak dan masalah mereka terutamanya yang sedang meningkat remaja bukan satu perkara atau isu yang boleh dianggap remeh dan senang.

Banyak benda yang kita rasa remeh dan tidak perlu difikirkan sangat sebenarnya boleh saja memberi kesan yang mendalam kepada mereka.

Semasa saya menemani anak remaja perempuan saya berjumpa kawan-kawannya, kami singgah ke sebuah restoran. Seperti biasa, untuk tidak membuat mereka kekok berbual sesama mereka, saya tidak masuk campur tentang apa yang mereka bualkan. Saya hanya melihat dan melayan mesej-mesej dari group WhatsApp kawan-kawan saya.

Namun, keasyikan saya melayan mesej-mesej itu terhenti apabila salah seorang daripada kawan anak saya itu, meluahkan perasaannya pada kawan-kawannya.


Katanya, dia berharap sangat dapat belajar di sekolah berasrama. Dia mahu duduk jauh-jauh daripada keluarganya. Dan dia turut bertanya, banyakkah duit yang diperlukan oleh ibu bapanya sekiranya dia mahu duduk di sekolah berasrama?

Tiba-tiba ringan mulut saya bertanya, kenapa mahu duduk jauh-jauh pula? Anak itu wajahnya suram. Katanya, dia lebih suka duduk jauh-jauh supaya dirinya lebih diberi perhatian.

Dia bercerita, di rumah dia asyik dimarahi. Buat apa pun ada saja tak kena. Tengok televisyen salah, baring salah, tidur salah, bergaduh dengan adik-beradik lagilah salah dan duduk diam pun salah juga.

Katanya, dia selalu dimarahi kerana perkara-perkara yang kecil, contohnya, lambat buka pintu apabila ibu atau bapanya balik pun kena marah juga.

Tumpuan ibu bapanya, katanya, hanyalah pada adik yang kecil dan kakaknya yang belajar di kolej yang sesekali apabila pulang ke rumah dia akan mendapat layanan yang begitu istimewa. Ibunya akan masak macam-macam dan pada masa itu lagilah dia merasa tersisih.

Tambahnya, bila dia meminta sesuatu kepada ibu atau bapanya, mereka berjanji akan membelinya tetapi sampai ke sudah tidak menunaikan apa yang dijanjikan itu.

Katanya, bila dia hendak bercerita tentang hal-hal yang berlaku di sekolah dan apa yang dia perlukan, ibu bapanya selalu akan mengadu penat atau sakit kepala sebab baru pulang dari kerja tetapi pada masa sama sibuk melayan gajet di tangan atau menonton televisyen.

Budak itu, itulah kali pertama dia bercakap dengan saya tetapi apabila dia boleh bercerita macam-macam tentang kesedihannya, saya rasa dengan orang yang tidak dikenalinya mungkin dia akan boleh saja bercerita hal yang sama.

Dalam hati saya, kalaulah remaja ini silap memilih kawan dan bercerita dengan sesiapa saja yang boleh memberi perhatian kepadanya, tentu buruknya jadinya kalau yang mendengar masalah itu cuba mengambil kesempatan dengan masalah dan tekanan remaja ini.

Sebenarnya, mendengar ceritanya, naluri keibuan saya terusik. Ia membuatkan saya turut bermuhasabah diri. Apa yang dilalui dan dirasakan oleh anak ini, mungkin juga dilalui oleh anak saya tanpa saya sedari kerana kesibukan saya dengan masalah kerja-kerja di pejabat.

Adakalanya dalam kesibukan mencari rezeki untuk anak-anak inilah, kita 'terlupa' akan mereka. Ada antara ibu bapa selalu bising-bising dan adakalanya mengungkit-ungkit di depan anak-anak, yang mereka akan melakukan apa saja untuk kesenangan anak-anak, tetapi rupa-rupanya kurang memberi perhatian kepada mereka.

Kita juga tidak lagi membelai, memeluk dan mencium anak-anak kita yang sudah besar, yang semasa mereka masih bayi kita lakukan itu semua.

Kita juga kurang mendengar apa yang mereka cakapkan dan mahukan dan tidak ingat apa yang kita janjikan kepada mereka kerana kononnya terlalu banyak yang ada di dalam kepala kita. Sedangkan janji-janji itulah yang membuat mereka gembira dan bersemangat dalam melalui hari-hari mereka.

Apabila mereka kurang mendapat perhatian, ada yang mula mencari kawan-kawan di luar untuk bercerita dan yang kita takutkan akan terjebak dengan kawan-kawan yang merosakkan.

Cerita pasal remaja mencari kawan di laman-laman sosial untuk bercerita dan berakhir dengan tragedi juga sudah banyak berlaku di negara ini.

Mereka ini menganggap sesiapa saja yang mahu mendengar dan berkongsi masalah dengan mereka adalah kawan baik tanpa memikirkan siapa sebenarnya kawan yang baru mereka kenali itu. Sedangkan, ibu bapa yang amat menyayangi anak-anak inilah yang sepatutnya menjadi pendengar segala masalah dan menjadi pelindung mereka.

Jika kita tidak dapat dan tidak mampu memewahkan mereka dengan menunaikan macam-macam yang mereka inginkan, kayakanlah mereka dengan perhatian dan kasih sayang. Itu yang sebenarnya mereka mahukan. Dan mereka ini adalah amanah besar yang kita akan disoal mengenainya di kemudian hari nanti.

Catatan Fauziah Arof
Sumber: Utusan

0 comments: