05 September 2014

Memahami Asnaf Fisabilillah



Apakah penjelasan mengenai asnaf fisabilillah dalam konteks semasa hari ini?

Surah At-taubah ayat 60 adalah ayat yang paling jelas menyebut asnaf fisabilillah sebagai satu daripada asnaf zakat. Banyak lagi ayat lain yang menyentuh mengenai fisabilillah ini, contohnya di dalam surah as-saff, ayat 10-11 telah menunjukkan bahawa fisabilillah adalah satu perkara yang penting dalam konsep menginfakkan harta.

Pada zaman Nabi SAW dan zaman sahabat, definisi fisabililliah ini lebih terarah dalam kategori membela agama Allah SWT dengan cara berperang. Sebab itu ada ayat al-Quran yang mana Allah menyebut orang yang sibuk berjuang dalam perjuangan fisabilillah ini sehingga mereka jatuh fakir tapi mereka segan untuk memohon bantuan dan kita mengenali mereka dengan melihat keadaan mereka, maka itulah golongan yang paling layak untuk mendapat bantuan zakat. (rujuk al-Baqarah: 273)


Zaman berubah, kini fisabilillah lebih meluas definisinya dan ia bersangkut paut dengan usaha untuk membela agama Allah dengan apa cara sekalipun. Justeru, apa sahaja pekerjaan atau usaha untuk membela agama Allah, misalnya mengembangkan agama Allah, mempertahankan agama Allah, mempromosikan syariat dan syiar Islam dan membela nasib umat Islam itu juga dikategorikan sebagai fisabilillah.

Maka, mengikut perbincangan ulama, jika seseorang itu mewakafkan dirinya kepada bidang ilmu maka dia layak dibantu dengan dana asnaf fisabilillah sebab dia tidak sempat untuk mencari rezeki. Atas sebab itulah, mereka dibantu.

Namun, mungkin ada orang terfikir, kenapakah institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) menaja ramai pelajar dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan sebagainya lagi dengan dana zakat. Kenapa tidak difokuskan hanya kepada para penuntut aliran agama?

Jawapannya mudah, dana zakat atas nama fisabilillah ini perlu dimanfaatkan demi maslahah ammah jangka panjang. LZS perlu menaja pelajar dalam pelbagai bidang, kerana bidang-bidang ini adalah perlu kepada umat Islam. Contohnya bidang perubatan dapat melahirkan ramai doktor perubatan Muslim.

Bidang ini adalah suatu keperluan, bahkan boleh menjadi fardu kifayah. Maka, atas dasar itulah zakat dimanfaatkan di sini, dengan matlamat akhir mereka yang ditaja ini kelak dapat berperanan meninggikan agama Islam dan memberi faedah kepada umat Islam.

Persoalan lain yang timbul, kenapakah berlakunya pengembangan dalam memahami skop asnaf fisabilillah ini? Yakni, kenapa berbeza zaman dahulu dan hari ini?

Oleh itu, apa yang perlu difahami, corak kehidupan pada hari ini adalah berbeza dengan zaman dahulu, khususnya sewaktu khilafah Islamiyyah masih berfungsi. Ini kerana, pada zaman pemerintah Islam dahulu, fokus dalam mengembangkan Islam ke seluruh pelosok dunia adalah terletak di bahu pemerintah.

Maka, pemerintah Islam akan menggunakan dana Baitulmal (yang zakat termasuk di dalamnya), bukan sekadar menyantuni keperluan individu, bahkan untuk melestarikan Islam menerusi pengembangan ilmu dan juga perluasan wilayah. Sebab itulah, pada waktu itu fokus fisabilillah lebih kepada peperangan.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang pertanyaan atau pandangan, sila emelkan kepada hamizul@e-zakat.com.my dan untuk maklumat lanjut sila layari media sosial LZS di www.e-zakat.com.my, http://blog.e-zakat.com.my atau Facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS.

Sumber: Utusan

0 comments: