31 Oktober 2014
Ada Apa Dengan Anjing?
BOLEH ke pegang anjing? Bukankah anjing tu haram?
Anjing adalah haiwan ciptaan ALLAH SWT dan ia bukan binatang hina yang boleh dicaci, dipukul dan dizalimi.
Bezanya, dalam syariat Islam ada beberapa hukum khas berkaitan anjing yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis. Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis tersebut, golongan ulama membahaskan hukum berkaitan anjing ini secara khusus. Jika diteliti, ada beberapa isu berkaitan anjing yang menjadi perbincangan kalangan ulama.
Antaranya isu kenajisan anjing, menyentuh anjing, anjing terlatih digunakan untuk memburu, memelihara anjing, memberi makan kepada anjing, air liur dan jilatan anjing, dan digunakan sebagai pengawal. Hukumnya berbeza berdasarkan perbezaan situasi. Adalah tidak adil untuk berpegang dengan satu pendapat dan dihukum secara total kepada isu lain juga.
Isu khilaf
Dalam syariat ada perkara yang menjadi kesepakatan ulama. Misalnya kewajipan solat, puasa Ramadan, pengharaman arak dan zina. Ada pula perkara yang wujud perbezaan pandangan kalangan ulama (khilaf).
Hukum berkaitan anjing adalah antara contoh isu yang ada perbezaan pandangan. Hal ini perlu difahami terlebih dahulu supaya kita tidak terjerumus dalam prasangka negatif, kutuk-mengutuk, label-melabel bahkan sehingga menyesatkan orang lain.
Contohnya, golongan ulama berbeza pandangan dalam membahaskan kenajisan anjing.
Pandangan pertama: Anjing adalah najis secara keseluruhannya. Ini pendapat dalam Mazhab Imam Syafie dan Imam Hanbali. (Lihat: Wahbah al-Zuhaili, Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/305)
Pandangan kedua: Anjing tidak najis. Pendapat ini terkenal dalam Mazhab Maliki dan Mazhab Hanafi. Cuma Mazhab Hanafi mengecualikan mulut, air liur dan lidah. (Lihat: Wahbah al-Zuhaili, Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/305)
Dalam ruangan terhad ini, penulis tidak berhasrat untuk membahaskan dalil diutarakan kedua-dua pandangan ini. Apa yang ingin disampaikan ialah kita perlu faham dan menerima hukum berkaitan anjing ini tidak menjadi kesepakatan dalam kalangan ulama, yakni adanya perbezaan pandangan.
Kita mungkin baru tahu satu pandangan berdasarkan satu mazhab sahaja. Jadi, usah cepat melenting dan keluarkan penilaian yang terburu-buru. Belajar dan terus belajar. Kaji dan terus mengkaji. Tanya dan terus bertanya. Langkah ini lebih menyelamatkan mulut dan tangan kita daripada bercakap dan menulis perkara yang salah.
Utamakan dalil
Apa sahaja berkaitan anjing hukumnya haram! Sekali imbas kenyataan ini memang tegas. Namun adakah ia bersifat ilmiah dan selari dengan dalil yang ada? Contohnya ada dalil yang mengharuskan anjing terlatih diguna untuk memburu binatang dan binatang tersebut halal untuk dimakan: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?”
Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan ALLAH kepada kamu. Oleh itu makanlah daripada apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama ALLAH atasnya." (Surah Al-Maidah: 4)
Anjing itu najis dan haram disentuh! Seolah-olah ini adalah pandangan ijmak ulama yang tidak ada perbezaan pandangan lain. Jadi kalau ada yang sentuh anjing maka dia melanggar syariat dan melakukan dosa dalam apa jua keadaan pun, hatta ada mufti meminta orang yang menyentuh anjing supaya bertaubat.
Sedangkan hakikat sebenar sebaliknya. Jika topik ini dibahaskan berdasarkan keluasan fiqh yang tidak terikat dengan Mazhab Imam Syafie sahaja, dimensinya adalah berbeza. Kita akan bertemu pandangan lain yang mungkin tidak popular dalam kalangan masyarakat Islam Melayu, tetapi dari sudut ilmiah pandangan itu diiktiraf dan mungkin lebih kuat.
Kaedah perbincangan seperti ini tidak salah bahkan ia digalakkan selagi mana berpaksi kepada dalil dan hujah yang sahih. Apabila kaedah perbincangan yang merentasi mazhab seperti ini dibudayakan, ia mampu membuka minda masyarakat terhadap sesuatu isu berkaitan Islam. Cara fikir dan tanggapan juga mungkin akan berubah. Salah faham juga dapat diperbetulkan dan perbezaan amalan dapat diharmonikan.
Apabila sesuatu isu itu dibahaskan dengan dibawa pandangan lain merentasi mazhab, jangan cepat melatah dan menuduh ini adalah proses liberalisasi! Adakah jika sesuatu pandangan itu kelihatan janggal atau kelihatan longgar, ia terus dilabel liberal?
Atau ini ajaran Wahabi? Sedangkan kemungkinan pandangan itu janggal pada tanggapan kita sahaja. Tidak pada neraca ilmiah. Ia janggal sebab kita tidak pernah belajar dan membacanya. Atau kita yang tidak tingkatkan ilmu. Ilmu agama yang difahami hanya berdasarkan apa yang dipelajari masa zaman kanak-kanak dahulu sahaja.
Perkara haram lain
Sikap sensitif sebahagian masyarakat terhadap isu ini suatu yang patut dipuji. Ini lambang kepada masyarakat yang tidak mahu dicemari dengan unsur yang haram. Tidak hanya anjing dan babi, kita juga seharusnya sensitif terhadap perkara-perkara lain yang diharamkan syariat.
Contohnya, adegan berpelukan bercumbuan dalam drama dan filem, isu pinjaman dan jual beli yang melibatkan riba, rasuah dan penyelewengan urus tadbir kalangan pemimpin, penyalahgunaan wang negara dan bermacam lagi perkara yang diharamkan syariat.
Walaupun ada kalangan manusia yang menjadikan anjing sebagai binatang peliharaan, namun jika manusia diibaratkan seperti anjing, ia bukan suatu pujian. Ini suatu kutukan dan penghinaan.
Antara perumpamaan buruk yang ALLAH gunakan dalam al-Quran ialah kepada golongan ulama dunia yang sanggup menjual prinsip agama dan kebenaran demi kepentingan diri sendiri.
Golongan ini diibaratkan seperti anjing.
Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar daripada mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia daripada kalangan yang sesat.
"Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah itu supaya mereka berfikir." (Surah Al-’Araf: 175-176)
Apa pun program yang menyentuh isu sensitif mestilah menjadikan masyarakat semakin faham isu tersebut berdasarkan hukum-hakam agama menerusi perbahasan adil dan ilmiah. Ia mampu membuka minda keluasan fiqh berpandukan dalil sahih, dan bukannya menjadikan masyarakat tidak kisah hukum-hakam syariat.
ABD RAZAK MUTHALIB
Sumber: Sinar Harian
Adakah anjing itu dikira sebagai najis?
Dalam al-Quran, ada disebutkan anjing di beberapa tempat. Antaranya kisah Ashab al-Kahfi bersama anjing mereka. Dinyatakan dalam surah al-Kahfi ayat ke-22 tentang perbezaan bilangan ashab al-kahfi, namun seekor anjing yang bersama mereka disebutkan seiring bersama.
Sementara itu, dalam riwayat hadis, disebut tentang hukum jilatan anjing. Dalam hadis ini, pedoman nabawi ialah agar dibasuh bejana atau sesuatu yang dijilat oleh anjing. Basuhannya adalah dengan tujuh kali basuhan di mana basuhan yang pertama adalah dengan air tanah.
Daripada hadis-hadis ini, terdapat perbezaan pendapat daripada kalangan para ulama tentang hukum anjing, sama ada ia najis atau tidak. Dalam mazhab Imam Syafie, anjing dihukum sebagai najis mughallazah (berat). Namun, mazhab Imam Malik menyatakan bahawa anjing tidak najis. Ini kerana perintah di dalam hadis ialah sekadar jilatan anjing sahaja.
Maka dalam khazanah fikah, terdapat dua pendapat yang berbeza tentang hukum anjing, sama ada najis atau tidak. Satu mazhab menyatakan anjing adalah najis. Ini adalah pendapat majoriti para ulama. Manakala satu lagi mazhab menyatakan tidak najis. Ini adalah pendapat Imam Malik.
Bolehkah kita individu Muslim memegang anjing?
Setakat kajian, tiada ditemui setakat ini satu nas syarak al-Quran dan hadis yang mengharamkan Muslim untuk memegang anjing. Maksud memegang di sini adalah memegang anjing dengan tangan.
Maka dalam hal ini, kita mengambil jalan tengah.
Jika wujud keperluan untuk memegang anjing maka ia adalah baik. Contohnya merawat anjing yang sakit, membantu anjing yang tersepit, mengeluarkan anjing yang terperangkap di dalam lubang yang agak dalam dan sebagainya.
Bagi doktor veterinar, anggota polis yang menjaga anjing dan sebagainya maka ada keperluan untuk golongan ini memegang anjing. Namun jika tiada keperluan, maka tidaklah perlu untuk individu Muslim memegang anjing.
Pada masa yang sama, kita juga belum menemui satu catatan hadis bahawa Nabi SAW memeluk anjing dan mencium anjing. Kita juga belum menemui amalan dalam kalangan para sahabat dan para ulama silam untuk memeluk dan mencium anjing. Maka tiada kewajaran untuk bermesra dengan anjing sehingga memeluk dan mencium anjing.
Ini kerana beberapa perkara. Antaranya kerana anjing adalah najis berdasarkan pendapat majoriti ulama dan amalan di Malaysia. Selain itu, ia juga bertentangan dengan kefahaman dan amalan masyarakat Islam di Malaysia. Maka agak pelik jika ada Muslim yang memeluk dan mencium anjing.
Adakah Islam menganjurkan umat Islam membenci anjing?
Islam tidak menganjurkan perkara demikian. Anjing adalah makhluk Allah. Anjing wajar dilayan dengan baik. Contohnya tidak ditendang, dibaling batu, dilastik dan sebagainya jika anjing tidak memberi bahaya kepada manusia. Namun, jika anjing memberi bahaya seperti anjing liar yang ganas atau anjing gila, maka insan wajar mengambil tindakan yang perlu untuk memelihara keselamatan dirinya.
Berbuat baik kepada makhluk Allah mendapat pahala yang besar. Dalam hadis Nabi SAW diceritakan tentang seorang insan yang membantu seekor anjing yang dalam keadaan dahaga, kerana tindakan tersebut, maka dosa insan tersebut diampunkan Allah SWT.
Hadis ini memberi gambaran bahawa berbuat ihsan terhadap haiwan walaupun ia seekor anjing. Maka Islam tetap menuntut agar anjing dilayan dengan baik. Maka anjing yang wujud dalam masyarakat kita tidak perlu diganggu kecuali jika wujud mudarat.
Adakah memegang anjing merosakkan iman sehingga menjadi kafir?
Isu memegang anjing tidaklah termasuk dalam isu akidah yang menjadi pembeza antara iman dan kufur. Ia adalah isu fikah. Isu fikah ini terdedah kepada ijtihad dalam kalangan para ulama.
Contohnya seseorang yang memegang pendapat bahawa anjing tidak najis. Pendapat ini bertentangan dengan pendapat majoriti para ulama. Namun ia tidak merosakkan akidah sehingga menjadi fasik atau kafir.
Bagi golongan mualaf yang baru menganut Islam, tidak sewajarnya kita sebagai Muslim baru membenci anjing sehingga kita tidak mahu balik ke rumah ibu bapa atau adik-beradik kita yang masih belum menerima Islam. Keluarga kita yang bukan Muslim memelihara anjing kerana keperluan dan kebiasaan mereka.
Hukum anjing adalah isu fikah yang wajar diimbangi dengan toleransi. Jika ia najis, maka Islam memberi ruang untuk pembersihan dengan kaedah sertu. Apa yang penting, hubungan kekeluargaan tetap utuh.
Uleh AL-SYAIKH DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR (al-Jarumi)
Pensyarah, Jabatan Bahasa al-Quran,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sumber: Utusan
Labels:
Indahnya Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan