01 November 2014

Final Piala Malaysia 2014: Pahang Vs Johor DT

pahang
PEMAIN-PEMAIN Pahang dan barisan kejurulatihan mereka

Pada malam Sabtu, 1 November, 2014 bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil, berlangsung Perlawanan Akhir Piala Malaysia yang mempertemukan pasukan Pahang dengan Johor DT.

Kemunculan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia sejak tahun 2013, memperlihatkan satu usaha yang begitu serius di bawah teraju Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pasukan Harimau Selatan itu yang menjalani proses revolusi dengan setiap posisi dibarisi pemain bertaraf bintang lantas menjadikan JDT kuasa bola sepak baru.

Akhirnya selepas setahun, pelaburan besar mereka berbaloi apabila meraih kejuaraan pertama setelah merangkul Liga Super musim 2014 biar pun terlepas Piala FA kepada pasukan Pahang.


Kemenangan Piala FA buat Pahang yang pernah mendapat jolokan Real Madrid Malaysia pada era 90-an kerana turut memiliki ramai pemain bintang seakan memberi petunjuk yang Tok Gajah kembali bangkit .

Bermula dengan menjulang Piala Malaysia 2013 diikuti Piala Sumbangsih dan Piala FA musim ini, reputasi skuad Tok Gajah semakin kukuh apatah lagi mereka berjaya melayakkan diri ke saingan akhir Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Justeru, pertemuan Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil antara Harimau Selatan dan Tok Gajah sememangnya menarik perhatian ramai sehingga dianggap final impian.

Malah tidak salah untuk dilabel pertembungan antara dua pasukan ini umpama bayangan ‘El Clasico’ versi dekad baru bagi kejuaraan tempatan menggantikan pertembungan musuh tradisi Singapura dan Selangor.

Sumber: Utusan

Hodak tak peduli rekod lampau

jdt
BARISAN pemain pasukan JDT

Rekod perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Pahang tidak pernah memihak kepada pasukan Harimau Selatan, namun jurulatihnya Bojan Hodak tidak mahu melihat aspek berkenaan.

Menurutnya, perkara utama dalam sukan bola sepak adalah prestasi pemain semasa perlawanan dan bukan sebaliknya menerusi perbandingan di atas kertas ataupun rekod persembahan lampau.

“Saya tidak bimbang, walaupun pasukan kami belum pernah mencatatkan kemenangan ke atas mereka (Pahang), tetapi saya tidak bimbang.

“Saya juga tidak percaya dengan rekod pertemuan. Itu semua hanyalah statistik lampau dan tidak mempengaruhi perlawanan akhir Piala Malaysia yang bakal berlangsung nanti,” katanya sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.

Pasukan yang dibarisi dengan ramai pemain bintang itu tewas 2-3 kepada Pahang di Kuantan dan mencatat keputusan seri 1-1 di Larkin dalam saingan Liga Super.

Kedua-dua pasukan turut mencatat keputusan seri 1-1 di Larkin dan tewas 0-1 di Kuantan dalam saingan separuh akhir Piala FA tahun 2014.

Sumber: Utusan



Tok Gajah Juara Piala Malaysia 2014

Trofi keagungan bola sepak negara, Piala Malaysia kekal di bumi Pahang buat tahun ke­dua berturut-turut apabila Tok Gajah membenam Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat 2-2 dalam perlawanan akhir edisi ke-88 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada malam Sabtu, 1 Nov, 2014.

Tambah manis apabila Pahang terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-68 apabila pemain pertahanan Saiful Nizam Miswan menerima kad merah.

Wira Pahang adalah pemain yang akan mengubah haluan ke PDRM pada musim hadapan, Mohd. Hafiz Kamal yang memberikan hadiah perpisahan paling bermakna apabila menyempurnakan sepakan terakhir bagi memastikan Tok Gajah menjulang Piala Malaysia buat kali keempat.

Pada situasi kedudukan 4-3 selepas sepakan Norshahrul Idlan Talaha berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Khalid, Hafiz tenang menyepak tinggi ke sebelah kiri untuk menewaskan Mohd. Al-Hafiz Hamzah.

Ini merupakan gelaran berganda buat Pahang di bawah kendalian jurulatih, Zainal Abidin Hassan, selepas merangkul Piala FA musim ini. Ini juga bermakna Pahang me­lebarkan rekodnya ke atas juara Liga Super itu kepada lima kemenangan dalam semua pertandingan musim ini.

Kemenangan itu bukan sesuatu yang mudah buat Pahang ekoran terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain semenjak minit ke-68 kerana Saiful Nizam dibuang padang kerana menumbuk perut Mohd. Amri Yahyah ketika pasukannya ketinggalan 1-2.

Namun, api perjuangan Tok Gajah tidak padam apabila mereka masih mampu bangkit mendapatkan gol penyamaan dua minit kemudian melalui penyerang dari Nigeria yang digelar Orang Besi, Dickson Nwakaeme.

JDT: Al-Hafiz Hamzah; Asrarudin Putra Omar, Marcos Antonio Santos, Mohd. Fadhli Shas, Mahalli Jasuli (Amirul Hadi, m63); Jasazrin Jamaludin, Safiq Rahim (ketua pasukan), Mohd. Shakir Shaari, Amri Yahyah; Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz.

Pahang: Md. Khairul Azhan; Mohd. Saiful Nizam, Md. Razman Roslan (ketua pasukan), Damion Steward, Md. Shahrizan Md. Salleh; Azamuddin Md. Akil, Azidan Sarudin, Mohd. Faizol Hussien (Mohd. Hafiz Kamal, m63), R. Gopinathan; Matias Conti (Zeshan Rehman, m77), Dickson Nwakaeme.

OLEH MUHAMMAD DAYNE AZMIN DAN SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
Sumber: Utusan [2 Nov, 2014]

IMBASAN PENCAPAIAN PAHANG VS JOHOR DT, 2014

Kekuatan Pasukan Pahang
Juara Piala FA 2014

Kekuatan Pasukan Johor
Juara Liga Super 2014
Juara Piala Malaysia 2014

Rekod Pencapaian Pertemuan Kedua-Dua Pasukan

Liga Super 2014
Pahang Vs Johor DT (3 - 2): 7 Feb, 2014
Johor DT Vs Pahang (2 - 2): 16 Mei, 2014

Piala FA 2014
Pahang Vs Johor DT (1 - 0): 30 Mei, 2014
Johor DT Vs Pahang (1 - 1): 5 Mei, 2014

Piala Malaysia 2014
Pahang Vs Johor DT (2 - 2 diikuti Sepakan Penalti 5 - 3): 1 Nov, 2014

0 comments: