12 Oktober 2014

Cari Lokasi Guna Google Street View



MENGGUNAKAN Google Street View (GSV) menerusi laman web Google pada telefon pintar ternyata membuatkan Mohd. Khairul Najmi Mohd. Yusof, 24, teruja. Lokasi pertama yang dicari menerusi aplikasi itu ialah kediaman keluarganya di Kampung Chaim, Lenggong, Perak.

Dia mendapat informasi mengenai aplikasi di laman web Google itu pada hujung bulan 2014 lalu apabila rakan-rakannya memuat naik gambar lokasi kediaman mereka di Facebook.

“Bagi saya, GSV memudahkan orang ramai untuk melihat keadaan kawasan di negara ini melalui paparan gambaran sebenar setiap lokasi. Aplikasi ini juga menunjukkan ciri-ciri fizikal sebenar sesebuah lokasi, mercu tanda dan bangunan.


Paparan gambar lokasi yang dapat dilihat secara 360 darjah merupakan tetapan yang memberi manfaat kepada pengguna,” ujar Penolong Pegawai Penerbitan Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

GSV merupakan satu perkembangan terkini aplikasi Google Maps yang terkenal sebagai sebuah ejen carian lokasi di seluruh dunia. GSV mula diperkenalkan di negara ini sejak setahun lalu dan kini Google Malaysia berjaya merakam 90 peratus imej-imej pemandangan di sepanjang jalan raya, lebuh raya, destinasi pelancongan dan kawasan awam di Semenanjung Malaysia.

Antara imej baharu yang telah dikemas kini menerusi GSV ialah Taman Negara, Pahang; Pulau Langkawi, Kedah; Pulau Pangkor, Perak; Pulau Pinang; Melaka dan Putrajaya.


SAJITH (kiri) dan Nhazlisham memperkenalkan logo Pegman dalam majlis pelancaran GSV di ibu pejabat Google Malaysia baru-baru ini.

Lokasi

Dengan hanya menarik ikon Pegman yang berwarna kuning ke peta lokasi yang dicari di laman Google Maps, anda dapat meneroka lokasi yang dipilih menerusi gambar. Uniknya mengenai GSV ialah anda boleh berjalan dan mengembara di kawasan yang dipilih dengan menekan penunjuk arah menerusi paparan 360 darjah.

Pengarah Urusan Google Malaysia, Sajith Sivanandan memberitahu, pengguna boleh menggunakan GSV dengan pantas sama ada di laman web atau menerusi aplikasi di telefon pintar.

Jelasnya, setiap gambar lokasi yang dipaparkan menerusi laman web itu tepat kerana ia diambil secara manual oleh pasukan Operasi Street View, Google Malaysia dengan memandu van dan menunggang motosikal untuk kawasan awam manakala kamera galas untuk merakam pemandangan di dalam hutan.

“Pihak kami akan sentiasa mengemas kini imej lokasi dan data GSV kerana setiap jalan dan tempat di Malaysia sentiasa berubah. Dalam tempoh setahun, kami berjaya merakam 90 peratus imej kawasan awam di Semenanjung Malaysia. Ia merupakan satu proses berterusan terutama untuk merakam imej-imej yang terkini.

“Google telah digunakan di 61 buah negara dan Malaysia salah satu daripadanya. Sehingga kini, Google mempunyai berbilion pengguna yang boleh mengakses GSV di luar negara. Bayangkan, anda dapat melihat pemandangan Taj Mahal, India dan Everest Base Camp, Nepal dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Justeru, pengguna GSV di Malaysia juga dapat berbuat demikian untuk melihat lokasi-lokasi di negara ini,” ujarnya selepas pelancaran GSV di ibu pejabat Google Malaysia.

GSV mempunyai hubung kait dengan Google Maps dan Google Earth. Menerusi GSV, pengguna tidak perlu bimbang mengenai privasi di kediaman anda kerana Google Malaysia mengaburkan wajah manusia, plat kenderaan dan alamat rumah sebagai langkah keselamatan.


GSV turut memaparkan imej destinasi pelancongan di Taman Negara, Pahang yang jelas untuk tatapan para pengguna.

Aduan pengguna

Google juga menerima aduan pengguna yang tidak mahu wajah atau imej kediaman mereka dipaparkan di GSV. Langkahnya mudah, anda perlu menghantar permintaan dan aduan dengan mengklik butang Report a Problem di bawah laman web tersebut.

Sementara itu, Ketua Operasi Street View Google Malaysia, Nhazlisham Hamdan yang merakam imej lokasi-lokasi untuk GSV berkongsi cerita bahawa proses rakaman itu bermula pada bulan Ogos tahun 2013.



Jelasnya, pengangkutan dalam operasi itu terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kereta dan pasukan khas yang mengambil gambar menggunakan troli serta pengesan.

“Cuaca juga memain peranan utama sewaktu merakam imej dengan menggunakan kamera, laser dan alat sistem kedudukan global (GPS) yang dibangunkan oleh Google. Sekiranya cuaca hujan atau jerebu, kami terpaksa membatalkan proses rakaman.

Mengikut prosedur, kami perlu meminta kebenaran daripada pihak-pihak yang tertentu untuk merakam imej sesetengah kawasan seperti lokasi pelancongan, taman tema dan kawasan universiti,” ujarnya yang menggalas beg kamera untuk merakam imej panorama di Taman Negara pada bulan Februari 2014 lalu.

Layari laman web www.maps.google.com.my untuk memulakan pengembaraan menerusi GSV.

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Sumber: Kosmo

0 comments: