13 Oktober 2014
Panduan Kombinasi Warna Berfesyen
KEBANYAKAN wanita mahupun lelaki pada masa kini memilih warna pakaian yang disukai tanpa memikirkan kesesuaian imej yang digayakan bagi tontonan umum. Walhal, peranan pemilihan warna pakaian amat penting dalam penampilan diri seseorang bagi mengelak salah tafsiran identiti bagi mereka yang melihatnya.
Masyarakat hari ini sangat jelas bahawa mereka lebih suka ‘menghukum’ perwatakan seseorang melalui cara berpakaian, malah sebagai si pemakai, sudah pasti mahukan pujian yang baik terhadap apa yang digayakan.
Perkara utama yang perlu dielak adalah memakai pakaian yang mempunyai lebih daripada tiga warna. Ini penting sama ada bagi wanita ataupun lelaki kerana sekiranya berketerampilan sedemikian, si pemakai akan kelihatan begitu sarat dan menggambarkan emosi celaru.
Begitu juga pemilihan warna pakaian sedondon (warna sama) bermula dari atas hingga ke bawah termasuk tudung, baju, kasut dan juga beg tangan. Ini juga antara salah satu pemilihan warna yang perlu dielak bagi wanita dan lelaki.
Sebaliknya mereka perlu mencari tona warna yang seimbang dan bukan sekata sebagai contoh tambahkan warna yang sedikit cerah atau gelap, sekiranya masih mahu kelihatan dalam satu warna.
Kombinasi warna dalam berfesyen perlu seimbang seperti memilih warna kecerahan dan kegelapan atau disebut sebagai warna value, manakala warna kecerahan dan kesembapan dipanggil warna intensiti. Warna sebegini akan nampak lebih menarik berbanding warna sedondon.
Bagaimanapun, bagi orang kenamaan, pemilihan warna sedondon boleh ‘dimaafkan’ kerana di dalam satu-satu majlis, pastinya golongan ini mahu kelihatan berbeza daripada tetamu jemputan.
Selain itu warna juga mempunyai muslihatnya yang tersembunyi.
Maksud muslihat warna bergantung kepada pemilihan warna seperti merah dan jingga, ia menunjukkan suasana kepanasan atau boleh juga dikatakan sebagai ‘hot’. Ia juga mampu menarik perhatian orang ramai.
Sesetengah pendapat menyatakan bahawa warna mampu menggambarkan emosi seseorang. Kebarangkalian kenyataan ini benar amat tinggi kerana banyak kajian yang dibuat termasuk di barat sekalipun, mereka mengaitkan warna dan emosi.
Namun perlu diingatkan, warna dan emosi tidak memainkan peranan yang tinggi, tetapi ia lebih kepada kesesuaian situasi itu sendiri seperti di pejabat ataupun ‘outdoor’ dan sebagainya.
Pemilihan warna untuk ke pejabat dan aktiviti luar perlu ada perbezaan kerana sekiranya untuk majlis rasmi, seseorang itu kebiasaannya memilih warna-warna asas. Berbeza pula untuk aktiviti luar, pemakai boleh menggayakan warna pakaian yang lebih mewah atau kombinasi pelbagai warna asalkan tidak melebihi tiga warna, mengikut lokasi bersesuaian.
Harus juga diingatkan, apabila memilih warna pakaian, perkara paling utama perlu juga dilihat dari segi warna kulit seseorang kerana ada sesetengah warna tidak sesuai untuk beberapa jenis kulit.
Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai kulit cerah mereka tidak digalakkan memakai warna pastel seperti putih, krim dan sebagainya kerana akan kelihatan lebih pucat dan tidak bermaya. Golongan ini perlu mengenakan pakaian berwarna terang.
Manakala bagi kulit gelap, elakkan memakai warna yang gelap kerana ia akan menenggelamkan penampilan seseorang itu. Begitu juga dengan mereka yang memiliki kulit sawo matang atau sederhana. Kulit seperti ini agak bebas memilih warna pakaian tetapi apa yang penting mereka perlu berani mencuba warna-warna baru untuk dipadankan.
Tip untuk membuat eksperimen ke atas diri masing-masing terhadap warna yang bersesuaian, anda perlu berdiri di hadapan cermin dan ambilkan warna (kertas warna atau kain) lekatkan pada muka dan saksikan refleks pada anak mata dan rambut anda. Cara ini membantu anda mencuba warna baru dalam berfesyen.
Dalam berfesyen, wanita atau lelaki adalah sama dan masing-masing perlu bijak mencampuradukkan warna pakaian bergantung kepada warna kulit, kesesuaian tempat serta usia seseorang, supaya tampak lebih cantik dan bergaya.
INFO:
1- Jangan menggunakan pakaian lebih dari 3 warna. Ini merupakan peraturan yang paling penting.
2- Kenakan warna yang tepat dengan kulit anda. Jika kulit anda berwarna gelap, kenakan warna – warna cerah seperti putih, krim, abu-abu atau baby blue. Untuk kulit berwarna putih, pilihan warna yang dapat di gunakan lebih banyak. Anda boleh mengenakan warna yang lembut atau pastel.
3- Sesuaikan warna pakaian dengan waktu dan tempat. Warna gelap untuk acara formal. Sedangkan warna terang untuk acara informal.
4- Kenakan tali pinggang dengan warna yang sama dengan kasut. Jika kasut anda berwarna hitam, kenakan juga tali pinggang warna hitam.
Jenis-jenis Warna:
A. Warna Asas (Primer):
Warna asas merupakan warna-warna yang paling hebat kuasanya. Ia merupakan warna yang utama dalam pembentukan warna-warna yang lebih pelbagai. Warna asas juga dikenali sebagai warna primer. Warna asas terdiri daripada 3 warna iaitu: Merah, Biru, Kuning
B. Warna Sekunder:
Warna Sekunder ialah warna yang terhasil daripada campuran dua warna asas. Tiga warna sekunder tersebut ialah:
Merah + Kuning = Jingga
Kuning + Biru = Hijau
Biru + Merah = Ungu
C. Warna Tertier:
Campuran satu warna asas dengan warna sekunder di sebelahnya. Warna tertier terdiri daripada 6 warna.
Kuning + Hijau = Kuning Hijau
Kuning + Jingga = Kuning Jingga
Merah + Jingga = Merah Jingga
Merah + Ungu = Merah Ungu
Biru + Ungu = Biru Ungu
Biru + Hijau = Biru Hijau
Warna Kroma:
Kroma adalah nilai ukuran kuasa warna. Ia dihasilkan melalui campuran warna tersebut dengan penggenapnya. Nisbah campuran dengan warna penggenap akan menentukan nilai kuasanya. Kuasa warna kroma boleh dibahagikan kepada tiga peringkat, iaitu cerah, sederhana dan pudar Warna kroma menggambarkan kesan yang lebih pudar daripada warna asalnya. Hasil karya catan yang menggunakan warna kroma dapat menimbulkan perasaan rindu, sunyi, sedih dan nostalgia.
Warna Neutral:
Warna neutral adalah pelbagai jenis warna kelabu yang tonanya terletak di antara putih dan hitam. Warna neutral juga merujuk kepada warna kroma campuran dua warna penggenap dengan nisbah tertentu dan menghasilkan warna baru yang telah hilang nilai kedua-dua warna asalnya. Contoh warna seperti ini ialah perang, khaki, warna kulit , sawo matang dan sebagainya.
Kesan Warna:
Warna dapat mengubah cita rasa, mempengaruhi cara pandang kita, akan ruang , menutupi ketidaksempurnaan dan mewujudkan suasana atau kenyamanan yang unik untuk semua orang.
Warna adalah cara yang paling pantas dan paling kuat untuk menghadirkan transformasi dan melahirkan perspektif-perspektif baru. Warna adalah salah satu inspirasi paling berharga dunia yang paling mudah didapati.
Sumber: Sinar Harian
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
sy lbh suka warna2 lembut mcm putih atau krim skrg
Catat Ulasan