31 Disember 2014
Fenomena Air Pasang Besar Cetus Banjir Terburuk 2014
Tiada apa yang dapat dilakukan oleh Zakaria Daud, 56, apabila melihat empat buah rumah dan sebuah restoran miliknya di Kampung Kundur, Kota Bharu, Kelantan dihanyutkan arus banjir ke arah Sungai Galas, Selasa lalu.
Dia dan keluarga terpaksa berpindah ke atas sebuah bukit yang terletak kira-kira 500 meter di seberang jalan dari rumahnya.
“Saya bersama anggota keluarga yang lain menyelamatkan diri ke atas bukit apabila air di kawasan kami semakin naik sehingga mencecah paras dada. Semuanya berlaku begitu pantas. Kami hanya mampu melihat dari jauh sehinggalah kesemuanya hanyut ke sungai,” katanya lagi.
Banjir yang mula melanda negara khususnya di Pantai Timur itu menyebabkan lebih 160,000 orang penduduk di lapan negeri terpaksa dipindahkan dan ia merupakan jumlah yang amat besar dalam sejarah bencana banjir di negara ini.
Setakat 29 Disember, 2014, Kelantan mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi melibatkan 81,925 orang, diikuti Terengganu (35,246), Pahang (35,564), Perak (6,730), Johor (1,096), Negeri Sembilan (331) dan Selangor (85).
ORANG ramai menggunakan kemudahan jentera berat untuk menyeberangi jalan yang dinaiki air di Hulu Terengganu.
Tarikan graviti kuat
Menurut pengkaji astronomi yang juga pemilik blog Falak Online, Shahrin Ahmad, fenomena pasang surut air laut berlaku disebabkan oleh tarikan daya graviti antara bulan dan matahari yang menarik cecair di bumi.
“Ia berlaku setiap saat dan sepanjang masa tetapi kesan tarikan itu berbeza setiap kali pusingan bulan. Ini kerana, orbit bulan mengelilingi Bumi dalam bentuk elips (tidak sempurna bulat) dan disebabkan itu, ada ketika bulan berada dekat dengan Bumi, ada ketikanya ia jauh.
“Ketika bulan berkedudukan paling dekat dengan Bumi ia dikenali sebagai perigee manakala apabila bulan berada di kedudukan paling jauh dengan Bumi pula ia dikenali sebagai apogee.
“Kedudukan perigee dan apogee ini berlaku setiap 28 hari, iaitu jangka masa bulan lengkap mengelilingi Bumi. Ketika bulan berada dekat dengan Bumi, kesan tarikan gravitinya lebih kuat berbanding ketika ia jauh,” jelasnya.
Tambahnya, apabila tarikan graviti semakin kuat, tarikannya ke atas air juga semakin kuat dan air pasang yang berlaku akan menjadi lebih tinggi.
“Jika bulan berada di kedudukan perigee, paras air pasang yang berlaku tinggi berbanding waktu air pasang yang lain iaitu ketika bulan berada pada kedudukan selain perigee dan apogee.
“Kedudukan bulan yang hampir dengan Bumi menyebabkan kesan gravitinya dua kali ganda lebih kuat berbanding kesan graviti matahari. Terdapat dua keadaan apabila bulan dan matahari berada pada satu garisan sejajar iaitu ketika Bulan Penuh atau Full Moon (Bumi berada di antara bulan dan matahari) dan ketika Bulan Baharu atau New Moon (bulan berada di antara Bumi dan matahari).
“Jika dalam susunan begitu, gabungan tarikan graviti bulan dan matahari akan menyebabkan paras air laut naik tinggi sedikit daripada biasa dan kejadian itu dikenali sebagai Spring Tide,” ujarnya sambil memberitahu tiga keadaan yang boleh menyebabkan air pasang naik tinggi sedikit daripada biasa iaitu ketika bulan berada di posisi perigee, Full Moon dan New Moon.
Katanya, tidak mustahil perigee itu berlaku ketika Full Moon atau New Moon.
“Secara puratanya, ia berlaku tiga atau empat kali setahun. Ketika bulan berada dalam fasa New Moon atau Full Moon, ia berada pada tarikh dan saat yang sama ketika ia dalam kedudukan perigee.
“Apabila keadaan ini berlaku, ia dikenali sebagai Perigean Spring Tide, malah Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) melaporkan, perbezaan air pasangnya adalah sedikit sahaja sekitar dua inci berbanding air pasang biasa,” katanya.
STADIUM Sultan Muhammad IV di Kota Bharu ditenggelami limpahan air dari Sungai kelantan Khamis lalu.
Angin dari laut
Ujarnya, kejadian air pasang besar yang berlaku kini hampir bertepatan memenuhi syarat-syarat Perigean Spring Tide.
Shahrin memberitahu, berdasarkan penerangan oleh NOAA, banjir tidak selalunya berlaku ketika Perigean Spring Tide tetapi jika terdapat Onshore Winds yang kuat, ia boleh mengakibatkan banjir.
“Onshore Winds ialah angin dari laut menuju ke darat dan dalam situasi kita kini, angin Monsun Timur Laut yang sedang bertiup kuat dari arah Laut China Selatan. NOAA juga menerangkan, jika berlaku hujan di kawasan sama, risiko untuk banjir besar berlaku sangat tinggi.
“Gabungan keadaan bulan berada hampir dengan perigee, bulan hampir dengan fasa New Moon, Perigean Spring Tide, angin Monsun Timur Laut dan hujan lebat merupakan faktor utama berlakunya banjir besar ketika ini terutama di Pantai Timur,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Meteorologi Kanan Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip pula berkata, keadaan banjir menjadi lebih teruk apabila ditambah dengan tiupan angin Monsun Timur Laut secara konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini bermula bulan November hingga Mac.
“Meskipun hujan semakin reda dan tidak lagi lebat, namun air banjir dilihat sukar untuk surut disebabkan fenomena Full Moon.
“Selain itu, hujan yang tidak berhenti sebelumnya menyebabkan aliran sungai dari hulu ke kuala tidak sampai dan menyebabkan air sungai melimpah keluar sehingga berlaku banjir teruk,” katanya.
Kata Mohd. Hisham, pihaknya menjangkakan hujan lebat akibat tiupan angin Monsun Timur Laut di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak minggu lalu akan berterusan sehingga awal Januari depan.
Mohd. Hisham berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan banjir akan berlaku lagi di kawasan-kawasan kedudukan rendah dan berdekatan dengan sungai.
“Ketika musim Monsun Timur Laut, kawasan Pantai Timur dijangka mengalami empat hingga lima episod hujan lebat menyeluruh dan berterusan selama tiga hingga tujuh hari bermula pada November hingga Januari 2015 serta di kawasan barat Sarawak dan Sabah pada Januari hingga Mac 2015,” jelasnya.
Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
Sumber: Kosmo
Peringatan:
Sebagai seorang penganut Islam, jangan kita lupa musibah yang berlaku adalah satu dugaan dan ujian daripada Allah terhadap ketaatan dan ketaqwaan hambanya serta menunjukkan kekuasaan Allah serta qada' dan qadar-Nya
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan