23 Disember 2014
Kilang Memproses Padi Beroperasi 24 Jam Sehari
MASYARAKAT Malaysia sudah terbiasa mengisi perut dengan nasi sehingga ia menjadi hidangan wajib bermula daripada sarapan pagi hinggalah makan malam. Malah, ada yang mengadu badan tidak bertenaga jika tidak menjamah nasi.
Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menyumbang sebanyak 48 peratus hasil bekalan beras dalam negara atau 400,000 tan beras pada setiap musim.
Apabila selesai menuai, pesawah mula menghantar hasil tuaian masing-masing dan mereka boleh memilih sama ada menghantar kepada Bernas atau kilang swasta.
Kilang beras tidak seperti pejabat dengan pendingin hawa sentiasa terpasang. Di sini, habuk padi mendominasi hampir di semua ceruk. Para pekerja perlu memakai topeng muka lebih-lebih lagi semasa memunggah padi daripada lori.
Di kilang Bernas misalnya, padi yang baru dituai akan ditimbang dan seterusnya mutu padi akan dikenal pasti berdasarkan kandungan padi muda di samping kotoran seperti jerami dan sekam.
STOK padi di negeri-negeri di utara menyumbang 48 peratus bekalan beras negara.
Mesin pemisah akan digunakan untuk mengasingkan padi masak daripada bahan kotoran lain dan ia sekali lagi diasingkan sendiri oleh pegawai kualiti secara manual menggunakan tangan.
Wap air pada bijiran padi pula diukur menggunakan meter kelembapan.
Harga belian padi oleh Bernas akan mengikut timbangan yang dibuat ke atas padi masak selepas ditolak kandungan padi muda, kekotoran serta kelembapan.
Kadar ukuran tersebut adalah selaras dengan standard yang diguna pakai oleh negara-negara di rantau Asia.
PADI yang baru siap dituai akan dihantar terus ke kilang untuk diproses.
Stok padi itu kemudian akan dilonggokkan di satu tempat sebelum dimasukkan ke dalam jentera pembersih untuk mengasingkan padi masak dengan kotoran dan bahan asing lain.
Hanya bijirin yang boleh menjadi beras akan melalui proses pengeringan seterusnya. Padi masak akan dikeringkan menggunakan udara panas sehingga 40° Celcius yang dihasilkan daripada pembakaran sekam padi menggunakan mesin relau sekam siklonik (CHF).
Kebiasaannya padi yang dibeli di pintu kilang beras Bernas mengandungi air melebihi 20 peratus dan ia perlu dikeringkan dengan segera bagi memastikan mutu padi tidak jatuh.
Proses pengeringan mengambil masa kira-kira 18 jam sehingga wap basah bijirin padi turun antara 12 peratus hingga 14 peratus.
Selepas itu, stok padi akan disimpan di gudang simpanan khas dan pemantauan terhadap kandungan wap basah, suhu padi dan jangkaan kualiti beras dilakukan secara berterusan agar kualiti padi terjamin.
Proses simpanan padi ini perlu diawasi dengan baik agar stok padi itu boleh menghasilkan beras yang berkualiti tinggi.
Dari gudang, ia akan mengalami satu lagi proses pembersihan menggunakan mesin yang berfungsi seperti pengayak dengan mengasingkan lebihan kotoran seperti padi hampa dan jerami yang tertinggal.
Seterusnya, padi masak akan dikupas kulit menggunakan mesin khas dan setelag selesai proses itu, padi akan bertukar menjadi beras perang.
Permukaan beras masih berwarna keperangan kerana ia diliputi dedak yang sebenarnya ber khasiat.
PADA musim menuai, kilang padi Bernas di Jitra, Kedah ini boleh memproses 250 tan padi sehari.
Proses membersihkan dedak pada bijiran beras adalah perlu kerana rasanya yang kurang enak. Proses itu dipanggil pemutihan dan ia menggunakan mesin yang boleh menjadikan beras bertukar kepada warna putih bersinar.
Setelah selesai proses pemutihan, beras akan digredkan mengikut gred Super Tempatan 15 peratus (ST15).
Kilang Bernas hanya memproses beras mengikut gred ini dengan kandungan 85 peratus padi kepala beras dan 15 peratus lagi beras hancur.
Beras yang sudah siap digredkan akan dikampitkan mengikut saiz yang ditetapkan seperti 1,000 kilogram (kg) menggunakan beg jumbo atau 10kg menggunakan kampit plastik.
Sebelum menunggu beras dijual kepada pemborong, ia perlu dijaga rapi bagi mengelakkan stok beras siap proses tersebut diserang makhluk perosak.
Mengguna pakai sekam sebagai bahan api untuk menghasilkan udara panas bagi proses pengeringan padi amat menjimatkan berbanding penggunaan bahan api diesel pada lapan tahun dahulu.
Teknologi pembakaran sekam menggunakan mesin CHF yang diguna pakai sejak tahun 2006 itu sangat menjimatkan kerana bahan bakarnya ialah kulit padi iaitu sekam.
Teknologi yang digunakan sekarang adalah melibatkan pembakaran sekam dan udara panas yang terhasil akan dialirkan ke tong-tong besar berisi padi untuk dikeringkan.
Kebanyakan mesin di kilang Bernas adalah buatan Jepun dan India. Bernas memiliki sebanyak 31 kilang padi di seluruh negara setakat tahun 2010.
Kilang Bernas akan beroperasi selama 24 jam sehari sepanjang musim menuai dengan keupayaan memproses sehingga 250 metrik tan padi sehari.
Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
Sumber: Kosmo [Feb 2011]
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan