31 Januari 2015
Teratak Bonda Jeliah ~ Rumah Jadi Galeri Persendirian
GALERI Teratak Bonda Jeliah
PERJALANAN kira-kira dua jam dari Kuala Lumpur menuju ke Galeri Teratak Bonda Jeliah yang terletak di Kampung Bukit Sri Pilah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan seakan-akan tidak terasa tatkala langkahan kaki terhenti di hadapan sebuah rumah kampung yang dihias indah.
Elemen kayu serta monumen seperti rumah Minangkabau yang menjadi identiti negeri tersebut menghiasi bahagian di pintu masuk utama ke galeri yang berkeluasan 1.4 hektar itu.
Dua orang pengurus galeri tersebut iaitu Rafidah Mostar, 34, dan Mohd. Noor Haffizi Hamizi Md. Hamzah, 28, yang berperanan mengendalikan setiap pengunjung yang datang ke galeri persendirian itu serta melayan mereka dengan penuh mesra.
Menurut Rafidah, pada permulaan, pemilik galeri itu hanya menjadikan kawasan tersebut sebagai destinasi untuknya bersantai bersama keluarga selain mengadakan majlis-majlis tertentu.
“Rumah ini dahulunya merupakan rumah peninggalan arwah ibu Noraini Idris iaitu Jeliah Pilus yang dibina pada tahun 1984 dan sudah ditinggalkan terbiar kira-kira 12 tahun.
“Sekitar tahun 2013, pemiliknya mengambil inisiatif untuk membaik pulih rumah pusaka tersebut yang dipenuhi semak samun selain struktur asalnya yang hampir roboh.
“Rumah asal dikekalkan selain pemilik mengindahkan kawasan sekitar dengan landskap dan elemen kayu pada galeri yang dibina sebagai tanda kasih sayang kepada arwah ibunya,” ujar Rafidah sambil memberitahu, galeri itu mula dibuka secara rasmi pada Ogos tahun 2014 lalu.
RUMAH asal ini merupakan bahagian utama di Galeri Teratak Bonda Jeliah yang menempatkan beberapa koleksi barangan antik yang jarang ditemui selain bernilai tinggi.
Laluan alternatif
Jelas Rafidah, pada awalnya, Noraini yang kini menetap di Kuala Pilah itu juga tidak terfikir untuk membuka galeri yang menempatkan beberapa koleksi barangan lama dan antik yang menjadi minat suaminya di galeri tersebut kepada orang ramai.
“Galeri Teratak Bonda Jeliah dibuka selepas mendapat permintaan yang sangat menggalakkan daripada agensi pelancongan, penduduk dan individu perseorangan yang melalui galeri ini.
“Lokasi galeri ini terletak di jalan untuk ke Seri Menanti selain ia merupakan laluan alternatif ke Seremban dan disebabkan itu, ramai yang berhenti untuk melihat keunikan galeri ini sehinggakan ada yang berhenti di sini semata-mata untuk merakam gambar kenangan di bahagian hadapan galeri.
“Malah, pihak kami juga menerima kunjungan daripada agensi pelancongan yang mengesyorkan supaya galeri ini dibuka kepada orang ramai kerana mereka yakin dengan sambutan yang mampu diraih oleh galeri ini,” katanya sambil memberitahu, kewujudan galeri itu secara tidak langsung dapat mendidik generasi muda untuk mencintai dan menghargai barang-barang lama.
Mohd. Noor Haffizi Hamizi memberitahu, kira-kira 15,000 koleksi barangan lama dan antik seperti peralatan tembaga, kerusi gunting lama, tong racun tembaga, pelita lama, televisyen, radio dan mesin jahit dipamerkan di galeri itu untuk tatapan pengunjung.
“Galeri ini menghimpunkan koleksi peribadi milik suami Noraini yang sudah dikumpul secara berperingkat-peringkat selama 25 tahun. Minatnya terhadap barangan lama dan antik ini mula bercambah ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang kewangan di Amerika Syarikat.
Sejak itu, dia mula mengumpul barangan sedikit demi sedikit, malah barangan yang dikumpul tidak tertumpu pada satu jenis sahaja.
“Antara barangan paling lama usianya yang terdapat di galeri ini ialah mesin taip yang dibuat pada tahun 1934, alat sukatan tembaga, alat yang digunakan untuk menyelam, pemadam api dan logo kayu perabot.
“Setiap barangan yang dipamerkan di galeri ini merupakan koleksi peribadi suami kepada Noraini yang diperoleh ketika melancong, melayari internet selain pemberian ahli keluarga dan rakan terdekat,” ujarnya yang memberitahu, setiap barangan yang diperoleh akan digilap atau dibaik pulih terlebih dulu sebelum dipamerkan.
PEMILIK turut meletakkan koleksi barangan antik miliknya di bahagian luar galeri.
Nilai sentimental
Jelas Mohd. Noor Haffizi Hamizi, galeri tersebut mempunyai 12 buah gazebo kayu, dua buah gazebo tinjau, tiga buah rumah dengan salah satunya dibina di atas pokok bidara yang dikenali sebagai rumah pokok bagi membolehkan pengunjung bersantai.
“Pengunjung akan dibawa melawat ke bahagian utama galeri yang menempatkan koleksi barangan antik yang jarang dijumpai selain mempunyai nilai tinggi.
“Beberapa barangan yang memberi nilai sentimental kepada pemilik turut dipamerkan seperti alat memasak air daripada tembaga yang digunakan oleh arwah ibu mertua Noraini, Maznah Mahmood ketika berniaga di Johor Bahru, Johor pada tahun 1970.
“Selain itu, di bahagian luar galeri turut terdapat beberapa koleksi yang dipamerkan dan disusun dengan kemas dan teratur, malah hampir setiap ruang tidak dibiarkan kosong,” tambahnya yang memberitahu, galeri tersebut turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup dan WiFi.
Kata Rafidah, pada kebiasaan, pihaknya mengehadkan kira-kira 15 orang pelawat sahaja yang boleh berada di atas rumah asal yang juga merupakan bahagian utama di galeri itu pada satu-satu masa.
“Kami menerima pelawat terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pelancong selain penduduk setempat dan galeri ini merupakan salah satu lokasi yang wajib dilawati di Negeri Sembilan.
“Sekiranya kami menerima jumlah pengunjung yang ramai, kami akan membahagikannya kepada beberapa kumpulan tertentu dan setakat ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan,” ujarnya yang memberitahu, daripada segi penjagaan, terdapat pekerja yang akan membersihkan habuk dan menjaga kawasan persekitaran galeri pada setiap hari.
Rafidah memberitahu, pihaknya tidak mempunyai cabaran membuka galeri itu kerana ia bukan bermotifkan keuntungan.
“Sebaliknya, galeri ini diwujudkan bagi memenuhi kepuasan peribadi kepada suami pemilik yang meminati barangan antik dan disebabkan itu, dia mahu berkongsi minatnya bersama masyarakat.
“Malah, ia juga dapat mengumpulkan peminat barangan antik dari seluruh negara untuk bertukar-tukar pendapat kerana tidak semua pengumpul barang antik mempunyai koleksi yang sama.
“Boleh dikatakan hampir 80 peratus barangan yang terdapat di galeri ini turut dijual kepada mereka yang betul-betul berminat untuk membelinya,” kata Rafidah.
Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
Sumber: Kosmo
Labels:
Kesenian,
Pelancongan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan