20 Januari 2015
Gadis Itali Si Penebar Roti Canai
KEMUNCULAN gadis jelita penebar roti canai di Jalan Teknik, dekat Alor Setar, pada awalnya tidak begitu disedari, sehinggalah gambarnya menjadi viral di laman sosial.
Turutan daripada itu, Gerai Din Roti Canai yang sudah memang terkenal dengan keenakan roti celaru dan roti gebu kini makin rancak dikerumuni pelanggan yang ingin merasa air tangan gadis berkenaan.
Pelajar sekolah sains, Liceo Sciemtifico Statale Democrito di Rome, Itali, Chantal Viola, 17, yang manis bertudung ketika menebar roti canai merupakan salah seorang pelajar pertukaran sejak Julai 2014 lalu.
Kini, dia yang belajar di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar tinggal bersama keluarga angkatnya, Ishak Mad Shah, 59, yang juga guru sekolah terbabit hingga Jun tahun 2015 ini.
Makin mahir berbahasa Melayu
Chantal berkata, dia akan membantu di gerai bapa rakan sekelasnya, Nur Sahira Md Sallehuddin, 17, ketika hujung minggu sejak enam bulan lepas.
“Pada mulanya, saya tidak mahir dan kurang faham percakapan pelanggan. Malah, saya pernah disangka dari Bosnia. Namun, kini saya sudah boleh mengambil tempahan pelanggan selain turut menebar roti canai,” katanya.
Chantal berkata, dia sudah boleh bercakap bahasa Melayu sedikit demi sedikit hasil pengalaman diperoleh dari gerai dan kediaman keluarga angkatnya.
Menurutnya, dia dapat menimba banyak pengalaman ketika membantu di gerai terbabit khasnya dalam meningkatkan kemahiran komunikasinya.
Katanya, selain itu, dia juga turut bergaul dengan masyarakat setempat dan mempelajari budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Biarpun, menghadapi kesukaran dalam berbahasa pada awalnya, namun saya berusaha sehingga mahir,” katanya.
Terkejut gambar jadi viral
Mohd Sallehuddin Shaari, 46, berkata, dia sememangnya terkejut gambar Chantal menjadi viral di laman sosial, sedangkan sudah lama gadis terbabit membantu di gerainya.
Katanya, gerai roti canai yang beroperasi sejak 14 tahun berkenaan sememangnya kerap dikunjungi pelanggan, namun disebabkan berita itu tersebar di laman sosial, ia kian menjadi tumpuan umum.
“Pelanggan lagi ramai dari biasa selepas gambar Chantal tersebar. Awalnya dia agak kekok, namun kini ada beberapa perkara dipelajarinya seperti cara menebar roti canai,” katanya.
Menurutnya, mereka semua berkomunikasi dengan Chantal dalam bahasa Melayu bagi membantu gadis berkenaan meningkatkan kemahiran komunikasinya.
Pernah pengsan pakai hijab
Sementara itu, Ishak berkata, beliau yang memberi cadangan kepada Chantal membantu jiran di gerai terbabit supaya dapat mendalami bahasa Melayu lebih baik.
“Berkenaan tudung, itu adalah permintaan pertama dia kepada saya untuk memakai hijab, walau beberapa kali pengsan, namun, dia tekad untuk terus memakainya.
“Saya akur permintaan Chantal atas kehendak dirinya sendiri kerana dia memaklumkan amat menghormati keluarga dan budaya kita.
Presiden Kedah Chapter Yayasan Antarabudaya Malaysia (AFS), Rohaya Md Yusoff pula berkata, gadis Itali berkenaan merupakan antara lima orang yang terbabit dalam program pertukaran pelajar sejak Julai 2014 lepas bagi memberi peluang mereka mengenali budaya kita.
“Pihak kami dapati Chantal dapat mendalami bahasa Melayu dan bergaul baik dengan masyarakat, bahkan mampu membantu menebar roti canai di gerai terbabit," katanya.
Sumber: Sinar Harian [16 Januari 2015]
Labels:
Semasa
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan