21 Januari 2015
Kesunyian Di Hari Tua Yang Ditempah
APA yang dilakukan di waktu muda, kesannya akan juga dirasai pada penghujung usia. – Gambar hiasan
LANGIT tidak selalunya cerah. Begitulah perumpamaan yang menggambarkan nasib hidup seseorang. Jika semasa mudanya penuh dengan kemewahan dan dikelilingi kesenangan, namun itu bukan jaminan kebahagiaan di hari tua.
Semuanya bergantung kepada nasib diri atau lebih tepat takdir yang ditentukan oleh Allah SWT sejak azali lagi. Ada orang ketika mudanya dipenuhi dengan pelbagai nikmat dunia seperti wang ringgit dan harta yang melimpah serta anak-pinak yang sentiasa mendampingi diri. Namun di saat usia beransur senja pelbagai dugaan datang menimpa sehingga hidup sebatang kara.
Contoh Situasi
HASHIM tidak pusa hati. Dia menjerit-jerit memanggil nama Halimah. “Apa yang kau dah buat betina?,” katanya kasar. Halimah yang datang dari dapur, tiba-tiba diterkamnya bagai harimau lapar. Muka Halimah ditampar-tampar. Tiada sedikit ruang pun diberikan kepada Halimah untuk bertanya apa sebenarnya yang berlaku.
Setelah puas memukul dan memaki hamun Halimah, Hashim dengan muka bengisnya keluar meninggalkan rumah. Anak-anak yang terdiam melihat perlakuan ayahnya berlari mendapatkan Halimah sebaik sahaja Hashim berlalu. Masing-masing saling berpelukan dan menangis.
Bukan sekali dua Halimah diperlakukan sedemikian. Hashim seakan hilang pertimbangan, apabila apa yang dihajatinya tidak dipenuhi. Bahkan kerana salah faham pun, Halimah akan menjadi mangsanya. Halimah dipanggil dengan pelbagai gelaran termasuk nama-nama binatang haram. Luluh hati Halimah mendengarnya.
Dia bukan binatang yang selayaknya menerima panggilan seumpama itu. Dia manusia yang juga punya perasaan. Namun Hashim tidak pernah untuk ambil tahu semua itu.
Pernah juga tergerak di hati untuk meminta cerai. Tetapi sebaik melihat dua pasang mata anak-anaknya yang masih kecil, mana mungkin Halimah sanggup hidup sendiri membesarkan anak-anaknya.
“Mak, jom kita lari”. Ungkapan itu juga bukan sekali dua Halimah mendengarnya. Sudah banyak kali. Tapi Halimah terus memujuk, “Nanti ayah akan berubah,” sambil Halimah mengusap-usap kepala kedua-dua anaknya.
Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia menuruti kata-kata anaknya. Tapi dia tahu, Hashim akan terus mencarinya dan hidupnya akan sentiasa tidak tenang. Paling dirisaukan Halimah, bukan sahaja dia yang menjadi mangsa bahkan anak-anaknya.
Dia tidak mahu melihat betapa kasarnya Hashim memperlakukan anak-anaknya. Jangan silap sedikit, tali pinggang di seluarnya ditarik keluar lalu menyebat anak-anaknya tanpa belas kasihan.
Kini anak-anak Halimah telah dewasa dan membina rumah tangga masing-masing. Anak-anaknya sering mengajak Halimah tinggal bersamanya. Namun Halimah menolak. Sebaliknya Halimah punya perancangan. Tanggungjawabnya membesarkan anak-anak sudah selesai.
Malam itu Halimah dalam diam membungkus kain bajunya lalu keluar rumah membawa diri. Hashim ditinggalkan bersendirian. Bagi Halimah, inilah masa terbaik untuknya mencari ketenangan diri. Biar waktu yang menetapkan perjalanan usianya.
Pengajaran
Inilah yang berlaku kepada mereka yang lupa melakukan persediaan di hari tua. Demikianlah bermulanya kisah nasib seorang ayah yang hidup melarat seorang diri menanggung kesusahan apabila isteri dan anak-anak meninggalkannya akibat ‘dosa lampau’ yang pernah dilakukan.
Sikap ayah yang panas baran, kaki pukul serta bibir yang sentiasa basah dengan kata-kata maki hamun, telah menghiris banyak jiwa terutama orang yang paling hampir dengannya – isteri dan anak-anak.
Bagi yang tidak mengetahuinya, apabila anak-anak mengambil sikap menjauhkan diri serta isteri pula tidak mahu lagi pulang ke rumah, pastinya mereka akan digelar isteri dan anak derhaka. Namun aib keluarga bukan untuk dicanang. Segala penderitaan disimpan demi maruah keluarga.
Dan apabila masing-masing sudah boleh berdikari, inilah masa terbaik untuk menjauhkan diri daripada kesengsaraan yang ditanggung selama ini. Cukuplah pengalaman yang penuh dengan penderitaan dan biarlah ia menjadi cerita keluarga yang amat memeritkan.
Hakikatnya, fenomena warga emas yang ditinggalkan isteri dan anak-anak bukan lagi luar biasa pada hari ini. Lihat sahaja di pusat-pusat perlindungan warga emas, berapa ramai yang menghabiskan masa bersendirian di sana?
Sekalipun cerita setiap orang itu berbeza, namun tidak dinafikan, angkara perbuatan ketika zaman muda, kini hukuman itu berbalas. Yang pasti cerita sebenar di sebalik ‘kesunyian yang ditempah’, hanya empunya diri yang tahu.
Fikir Dahulu Sebelum Bertindak
SEBAGAI seorang suami dan ayah yang ditinggalkan isteri dan anak-anak akibat sikap buruk yang dilakukan perlulah mengajar diri agar belajar daripada apa yang telah terjadi. Tip kaunselor kali ini memandu pembaca agar fikir dahulu sebelum bertindak.
1 Setiap sesuatu peristiwa yang berlaku dalam hidup berkeluarga pasti ada asal usul ceritanya. Mustahil sesuatu perkara itu terjadi dengan sendiri tanpa sebab. Justeru, rendahkan ego dan kembalilah ke pangkal jalan kerana ia tidak merugikan apa-apa.
2 Orang yang mempunyai akal yang waras akan menggunakan fikiran dan perasaannya untuk menimbangkan sesuatu perkara. Apabila terjadinya sesuatu tindakan orang lain terhadap dirinya pasti ada sesuatu maklumat yang perlu difahami mengapa perkara itu terjadi dan perlu diperbaiki untuk kebaikan diri dan orang lain .
3 Orang yang bersikap keras kepala, panas baran dan tidak terbuka di atas pandangan dan nasihat orang lain hanya akan menampakkan sikap kelemahan dirinya, sekali gus menunjukkan kerendahan ilmu dan kebijaksanaannya. Bahkan akan menjatuhkan maruah diri sendiri. Mereka juga tidak akan dihormati dan dikasihani.
4 Jadikan setiap apa yang terjadi sebagai pelajaran kehidupan. Kalau kita memang bersalah, maka jangan malu untuk mengakuinya. Perkataan maaf, cukup besar kesannya kerana ia boleh melembutkan hati sesiapa sahaja. Jangan mencari 1000 alasan untuk menampakkan kebenaran diri. Lambat laun orang akan tahu mana yang benar dan salah tentang apa yang kita perkatakan.
5 Jadikan sikap keterbukaan dan tidak sombong untuk berubah sebagai amalan diri kerana sikap ini akan membuatkan diri kita dihormati dan disayangi oleh orang lain. Kita juga akan menjadi lebih tenang lapang dan riang. Hidup akan menjadi lebih bermakna dan bahagia.
Sumber: Utusan
Labels:
Motivasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
owh sy menjangkau usia 40tahun...masanya tak lama lagi...terfikir juga bagaimana sy nnti???
Catat Ulasan