14 Januari 2015
Hasil Gigi Palsu Dengan Teknologi CAD/CAM
KAEDAH konvensional pembuatan gigi palsu memakan masa yang lama untuk dihasilkan.– Gambar hiasan.
AMALAN penjagaan gigi merupakan langkah penting bagi memastikan kesihatan oral sentiasa berada dalam keadaan baik, sekali gus memberikan kesan positif terhadap penampilan diri.
Memiliki barisan gigi yang cantik dan teratur sudah pasti menjadi idaman setiap individu tidak mengira status sosial mahupun usia terutama mereka yang sentiasa berhadapan dengan khalayak setiap hari.
Bagaimanapun, kehilangan beberapa batang gigi sama ada disebabkan oleh pengambilan makanan yang manis atau faktor usia sedikit sebanyak mengganggu aktiviti harian terutama apabila hendak menikmati makanan kegemaran di samping mampu merendahkan keyakinan diri.
Kerosakan
Pemakaian gigi palsu adalah satu penyelesaian terbaik bagi menggantikan barisan gigi yang hilang akibat pelbagai kerosakan seperti gigi berlubang, rapuh dan sensitif.
Meskipun pemakaian gigi palsu mampu menyelesaikan masalah berkaitan gigi, dalam masa sama ia masih mempunyai sedikit kekurangan seperti tidak dapat melekap dengan kemas, bentuk tidak sekata dan pesakit terpaksa menunggu lama untuk gigi palsu mereka siap.
Pengenalan teknologi baharu dalam pembuatan gigi palsu mampu menyelesaikan masalah yang sering dialami pesakit ketika mendapatkan rawatan daripada pengamal pergigian yang menggunakan kaedah konvensional.
Inovasi yang dikenali sebagai sistem rekaan dan pembuatan bantuan komputer (CAD/CAM) itu mampu menghasilkan gigi palsu dengan lebih pantas dan reka bentuk secara tepat untuk rawatan tampalan, implan dan sarung gigi.
Selain itu, teknologi yang diperkenalkan oleh Kumpulan Pergigian Q & M Malaysia itu menggunakan teknik yang selamat dalam proses menghasilkan gigi palsu melalui proses imbasan dan percetakan tiga dimensi.
Pakar Pergigian Bersekutu Kumpulan Pergigian Q & M Malaysia, Dr. Foo Mooh Thong berkata, teknologi itu sangat berbeza dengan kaedah penghasilan gigi palsu tradisional yang digunakan pada masa sekarang.
Menurut beliau, kaedah CAD/CAM menggunakan komputer 100 peratus bermula daripada proses mengambil data bentuk gigi pesakit hingga ke penghasilan gigi palsu.
“Kaedah penghasilan gigi palsu yang kita perkenalkan ini sangat berbeza dengan cara tradisional kerana ia 100 peratus menggunakan mesin berbanding konvensional secara manual menggunakan tangan.
“Berdasarkan kaedah konvensional, doktor gigi akan meletakkan sejenis bahan seperti tanah liat ke dalam mulut pesakit untuk mendapatkan bentuk gigi dan gusi mereka bagi tujuan pembentukan acuan. Selepas acuan siap dibuat, gigi palsu akan mula dihasilkan dan proses ini mengambil masa selama lebih seminggu.
“Doktor gigi tidak perlu lagi melakukan semua kerja tersebut sebaliknya hanya mengimbas mulut pesakit menggunakan mesin pengimbas khas yang hanya mengambil masa kurang daripada lima minit,” ujarnya.
Masa singkat
Tambah Mooh Thong, tempoh paling cepat untuk menyiapkan satu set gigi palsu pesakit daripada proses imbasan hingga pembentukan menggunakan teknologi CAD/CAM hanya mengambil masa selama beberapa jam.
“Disebabkan proses mengambil imej melalui imbasan dilakukan dalam masa singkat dan data pula disimpan dalam bentuk digital, maka jika terdapat sebarang perubahan atau penambahbaikan pada reka bentuk gigi palsu boleh dibuat segera dengan hanya mengubah data dalam komputer.
“Jika perkara sama dilakukan menggunakan kaedah konvensional, pembuat gigi palsu perlu mengukir sendiri acuan yang telah dibentuk menggunakan tangan tanpa bantuan komputer,” jelasnya.
Di samping kepantasan masa menghasilkan gigi palsu, teknologi itu juga mempunyai ketepatan yang tinggi dari segi ukuran dan kesesuaian pemakaian gigi palsu pesakit.
“Kami mendapat maklum balas yang sangat positif daripada pesakit kerana gigi palsu yang mereka gunakan daripada teknologi ini melekap dengan sempurna dalam mulut tanpa perlu banyak membuat penambahbaikan.
“Selain itu, pesakit juga mempunyai pelbagai pilihan dari segi material yang boleh digunakan untuk membentuk gigi palsu seperti batu zirkonia, seramik, titanium dan bermacam lagi variasi bahan asas yang sedang kami kaji kesesuaian dan ketahanannya,” katanya.
Sumber: Kosmo
Labels:
Teknologi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan