13 Januari 2015

Suhu Sejuk Luar Biasa Penghujung Januari



UMUM mengetahui pengaruh monsun timur laut terhadap perubahan musim yang berlaku di Malaysia. Setiap tahun monsun timur laut akan bertiup antara bulan November dan Februari.

Namun, adakah kita tahu bagaimana monsun timur laut terbentuk?

Monsun timur laut atau east asian winter monsoon ini berlaku kerana perbezaan suhu yang ketara antara benua Asia atau lebih tepat lagi tanah tinggi Siberia-Mongolia dan bahagian barat Lautan Pasifik termasuk Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Ketika musim sejuk di hemisfera utara kawasan daratan menjadi semakin sejuk dan kawasan barat Lautan Pasifik menjadi panas disebabkan perubahan musim yang berlaku di antara hemisfera utara dan selatan. Perbezaan suhu ini akan menyebabkan berlaku perbezaan tekanan atmosfera di kedua-dua lokasi ini.


Monsun luar biasa

Tekanan atmosfera di kawasan tanah tinggi Siberia-Mongolia menjadi tinggi dan kawasan barat lautan Pasifik menjadi rendah. Perbezaan tekanan ini mendorong pergerakan angin sejuk dari kawasan bertekanan tinggi di tanah tinggi Siberia-Mongolia ke kawasan bertekanan rendah di barat lautan Pasifik.

Selain angin sejuk, kebiasaannya pergerakan angin monsun timur laut turut membawa bersama hujan lebat ke kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Hujan lebat yang dibawa oleh angin monsun timur laut sering menyebabkan banjir di negeri-negeri tersebut.

Bagaimanapun, musim monsun timur laut yang berlaku kali ini agak luar biasa. Kehadirannya menyebabkan berlakunya banjir terburuk di Malaysia selepas banjir besar yang berlaku pada tahun 1967. Sebahagian besar negeri-negeri di utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia telah ditenggelami air. Banjir besar ini telah meninggalkan kesan kemusnahan yang amat dahsyat.

Setiap kali selepas banjir berlaku kita akan memasuki satu fasa iaitu pasca banjir. Fasa ini begitu kritikal kerana bantuan awal kepada mangsa-mangsa banjir adalah amat penting. Selain bekalan makanan, ubat-ubatan dan air bersih yang boleh dianggap begitu penting untuk disalurkan kepada mangsa. Ada satu perkara yang agak merunsingkan iaitu cuaca sejuk luar biasa yang mungkin dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir.

Berdasarkan kepada perubahan cuaca dunia yang berlaku hari ini kita perlu berasa bimbang untuk menghadapi pasca banjir kali ini. Kita tentu masih ingat pada akhir Januari 2014 beberapa tempat di Malaysia telah mengalami suhu sejuk yang luar biasa.

Antara kawasan yang merekodkan suhu terendah ketika itu ialah Kuala Krai, Kelantan iaitu 17.2 darjah Celsius. Jadi, kebarangkalian suhu rendah luar biasa ini berulang di beberapa tempat di Malaysia adalah sangat tinggi memandangkan musim sejuk masih berlangsung di Hemisfera Utara.

Selain itu, saintis dari Universiti Cornell, Prof. Charles H. Greene telah menemui keganjilan di dalam pergerakan polar jetstream dan polar vortex. Kebiasaannya pergerakan polar jetstream yang mengelilingi kutub utara adalah laju dan ini akan menghalang apa yang kita namakan sebagai polar vortex atau gelombang sejuk Artik daripada memasuki kawasan yang terletak di selatan Artik seperti utara Kanada, Rusia, Eropah dan timur laut Amerika Syarikat.

Akhir-akhir ini pergerakan polar jetstream telah menjadi perlahan disebabkan saiz ais di Artik yang semakin mengecil. Pengecilan saiz ais di Artik ini adalah kesan langsung daripada pemanasan global yang berlaku hari ini.

Aliran udara sejuk

Pergerakan polar jetstream yang perlahan telah menyebabkan gelombang sejuk Artik telah sampai sehingga ke bahagian tengah benua Amerika Utara dan Eropah. Keadaan ini menyebabkan negara seperti Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom mengalami musim sejuk yang sangat luar biasa.

Cuba kita bayangkan apa akan berlaku jika gelombang sejuk Artik ini tiba di utara tanah besar China. Ketika itu tiupan angin monsun timur laut akan membawa aliran udara sejuk yang terhasil daripada gelombang sejuk Artik ini sehingga ke negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Kesannya, kita akan melihat beberapa tempat di Malaysia akan mengalami suhu sejuk yang luar biasa sekali lagi. Keadaan sejuk luar biasa ini dijangka berlaku pada penghujung bulan Januari  ini.

Oleh DR. HASRIZAL SHAARI
Sumber: Kosmo

0 comments: