24 Januari 2015

Inovasi Periuk Nasi Asing Gula


Periuk nasi Grayns merupakan pilihan terbaik untuk pengguna yang mementingkan kesihatan.

TERTARIK dengan penerangan seorang rakannya, Zulfazly Abu Bakar, 39, mengambil keputusan untuk menggunakan periuk Grayns kira-kira empat bulan lalu.

Bapa kepada dua orang cahaya mata itu mula sedar mengenai kandungan gula dalam nasi yang menjadi santapan rakyat Malaysia saban hari.

Lebih membimbangkan, kedua-dua ibu bapa Zulfazly yang kini menetap di Kepong, Kuala Lumpur menghidap penyakit diabetes dan hipertensi yang berpunca daripada pemakanan sejak enam tahun lalu.


Atas nasihat doktor, kedua-dua ibu bapanya perlu menjaga makanan harian mereka sebagai langkah terbaik untuk mencegah penyakit itu daripada bertambah buruk.

Herba

“Selain ubat daripada hospital, ibu bapa saya turut mengamalkan herba-herba yang berupaya menurunkan kadar gula dalam badan. Doktor juga menasihatkan mereka agar menjaga pemakanan.

“Oleh itu, saya membeli periuk nasi Grayns sebagai langkah untuk penjagaan pemakanan ibu bapa saya. Setakat ini, mereka amat menggemari nasi yang ditanak dengan periuk ini,” ujarnya.

Jelasnya, sebelum ini, ibu bapanya pernah menggunakan beras hidroponik dalam pemakanan seharian. Namun, ia tidak menepati selera kedua orang tuanya itu.

Setelah mencuba periuk nasi Grayns, selera makan mereka kembali seperti biasa. Di samping itu, kadar gula dalam badan ibu Zulfazly juga berkurangan sehingga membolehkannya mengurangkan dos ubat diabetes yang diambil setiap hari.

Selain untuk ibu bapa, Zulfazly juga membeli periuk nasi itu bagi kegunaan keluarga di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

“Nasi merupakan makanan utama saya setiap hari. Bagi saya, periuk ini juga memudahkan pengguna untuk menanak nasi dan ia direka dengan pelbagai fungsi. Paling penting, ia mampu membuang kandungan gula dalam nasi dan ia baik untuk kesihatan.

“Membeli periuk nasi ini juga merupakan satu pelaburan jangka panjang dan langkah pemakanan sihat di rumah.

“Biasanya, rakyat Malaysia menikmati minuman teh tarik kurang manis tetapi tidak sedar bahawa nasi juga mengandungi gula yang tinggi,” ujarnya yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Teknologi periuk Grayns dihasilkan oleh syarikat tempatan, Granys Malaysia Sdn. Bhd. (Grayns) dengan pembangunan bersama Grayns Labs, California, Amerika Syarikat. Produk yang direka dan dikilangkan di Malaysia itu merupakan satu-satunya teknologi periuk nasi di dunia yang boleh mengasingkan gula.

Nasi dikategorikan sebagai zat makanan karbohidrat yang mempunyai dua kandungan kanji iaitu amilosa dan amilopektin. Ia merupakan nisbah kanji bagi menentukan kelas karbohidrat sebagai kanji cepat dihadam (RDS) atau kanji lambat dihadam (SDS).

Selain itu, nasi pada asalnya tinggi dengan kadar amilopektin berbanding amilosa yang dikategorikan dalam kelas RDS dan ia merupakan masalah utama dalam pengambilan pemakanan karbohidrat itu.

Kandungan RDS dalam nasi juga memecahkan gula ringkas yang menyebabkan peningkatan tahap gula dalam darah manusia.

Selain itu, zat makanan karbohidrat yang mengandungi RDS tinggi juga menyebabkan peningkatan indeks glycemic (langkah-langkah pengiraan kandungan karbohidrat yang meningkatkan glukosa darah).

Pengarah Urusan Granys, Zeeshan Khan memberitahu, satu mangkuk nasi bersamaan dengan pengambilan 10 sudu gula dalam indeks glycemic.

Senaman

Jelasnya, pengambilan tiga sudu gula sudah cukup untuk memberikan rasa manis minuman setiap individu. Namun, nasi berbeza kerana ia tidak mempunyai rasa dan membolehkan ia dinikmati dalam kadar yang banyak.

“Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia tahu bahawa nasi mempunyai kandungan gula yang tinggi. Selain itu, kita juga jarang bersenam dan pemakanan akan memberi tindak balas buruk terhadap badan.

“Ramai yang tidak mengambil makanan manis seperti minuman dan kek tetapi mengambil kuantiti nasi yang banyak.

“Nasi yang ditanak dengan periuk Grayns akan melalui empat proses sebelum ia masak sepenuhnya. Teknologi yang dicipta dalam periuk ini juga berupaya membuang kandungan amilopektin melalui air sewaktu nasi ditanak.

“Ia merupakan kaedah terbaik bagi mendapatkan zat pemakanan baik untuk badan. Justeru, rakyat Malaysia kini boleh menikmati hidangan nasi tanpa rasa bersalah,” ujarnya.

Jelasnya, apabila nasi mengandungi gula, badan perlu membakarnya dalam kadar segera dan salah satu cara terbaik ialah dengan bersenam atau melakukan aktiviti.

Mengambil contoh masyarakat terdahulu, mereka makan nasi untuk tenaga dan melakukan pekerjaan harian yang mampu membakar kandungan gula dalam badan. Tidak seperti masyarakat dewasa ini yang bekerja di pejabat dan memandu kenderaan untuk ke satu-satu tempat.

Kandungan gula dalam makanan yang diambil secara berlebihan boleh menyebabkan penyakit jantung, diabetes, obesiti, penuaan pramatang, kolesterol tinggi dan kanser.

Nasi yang ditanak dengan menggunakan periuk Grayns berwarna lebih putih kerana setelah melalui proses pembuangan RDS berbanding periuk konvensional yang berona kekuningan. Selain itu, nasi yang ditanak dengan periuk Grayns juga tahan selama seminggu.

Melalui empat proses sewaktu memasak nasi iaitu thermosense, debond, transuded dan demoisturize, periuk Grayns merupakan pilihan terbaik untuk pengguna yang mementingkan kesihatan. Tempoh masakannya juga lebih lama berbanding periuk konvensional iaitu selama 35 minit.

Produk yang mula dijual di pasaran sejak September tahun 2014 lalu itu merangkul Anugerah Rekaan Terbaik dan Anugerah Kualiti Pameran Dekorasi Kediaman (Homedec) 2014.

Pengguna boleh melihat perubahan setiap proses pada paparan skrin periuk Grayns. Melalui proses thermosense, periuk Grayns akan memberikan suhu sesuai untuk membuang kandungan RDS melalui air dan mengekalkan zat pemakanan penting serta mineral.

Debond ialah proses untuk mengekalkan suhu bagi membuang RDS. Apabila RDS melalui proses transuded, air dalam periuk akan dikeringkan dan dikeluarkan ke takungan. Proses demoisturize pula, nasi yang tinggal akan menjadi gebu, sihat serta sedap untuk dimakan.

Takungan air

Jelas Zeeshan, setiap proses memasak berupaya menjadikan nasi itu tiada kandungan amilopektin, sekali gus memberi pemakanan tanpa gula kepada pengguna.

“Apabila selesai proses memasak, pengguna boleh melihat larutan air yang bertakung di bawah periuk nasi. Takungan air itu mengandungi gula yang telah diasingkan daripada kandungan nasi.

“Disebabkan itu, tekstur nasi juga menjadi lebih lembut dan gebu. Selain itu, periuk ini tidak mendidihkan nasi tetapi memanaskannya secara maksimum.

“Grayns merupakan inovasi periuk nasi moden tetapi mengaplikasikan teknologi yang digunakan oleh masyarakat terdahulu. Nasi yang ditanak seperti menggunakan kayu api juga mengasingkan kandungan gula.

“Tempoh memasak nasi dengan menggunakan kayu api lebih lama kerana airnya juga perlu sentiasa dibuang,” jelasnya.

Kajian kesihatan menunjukkan bahawa selepas beberapa jam seorang individu menikmati hidangan nasi, tekanan darah akan mulai meningkat. Gula yang tidak digunakan akan bertukar kepada triglycerides yang boleh menyebabkan penyakit jantung.

Selain pelbagai jenis hidangan nasi, periuk Grayns juga boleh memasak makanan karbohidrat lain seperti pasta, mi dan mihun dengan memperoleh hasil yang sama, sekali gus baik untuk kesihatan pengguna.

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Sumber: Kosmo

0 comments: