25 Januari 2015
Sindrom Homesick Yang Pasti Melanda Pelajar Asrama
“MAMA, nak balik. Afiq nak tukar sekolah. Tak nak sekolah sini. Abang-abang buli Afiq. Mama, tolong mama. Tukarkan sekolah Afiq,” suara rintihan Afiq kedengaran di hujung telefon. Merayu-rayu meminta papa dan mamanya mengambilnya dari sekolah berasrama itu.
Hati mama mula gundah. Apa pula yang tidak kena dengan Afiq. Ketika pendaftaran sekolah dan asrama tempoh hari, Afiq kelihatan tenang. Tapi baru seminggu, telefon bimbit mama dan papanya sering ‘diganggu’ dengan suara rintihan anak sulung mereka itu.
Kejadian buli yang pernah dipaparkan di dada akhbar mula melintas satu persatu. Khuatir, anak menjadi mangsa buli yang keterlaluan. Tidak sanggup rasanya melihat anak sulungnya didera, dipukul dan diperlakukan sehingga mendatangkan kecederaan.
Paling menakutkan hati si mama, kalau itu adalah suara terakhir anaknya yang didengarinya. Risau dan bimbang dengan‘rintihan’ itu, mama dan papa Afiq mengambil cuti menjenguk anaknya. Namun sebelum itu, si papa telah menghubungi kaunselor sekolah tersebut untuk melihat terlebih dahulu apa sebenarnya yang berlaku kepada Afiq.
MEMILIKI penguasaan kendiri yang tinggi membuatkkan seseorang itu tidak menghadapi masalah dalam menerima pengalaman baharu tinggal di asrama. - Gambar Hiasan.
Memohon kepada kaunselor kalau-kalau nasihat dan bimbingan awal boleh diberikan kepada si anak. Sekurang-kurangnya satu tindakan awal telah dibuat. Kepada warden asrama turut ditelefon agar Afiq diperhatikan. Khuatir jika Afiq melakukan tindakan di luar kewarasan akal.
Hakikatnya, hati ibu bapa mana yang tidak risau kalau setiap hari anaknya menelefon dalam keadaan menangis.
Tiba hari yang dijanjikan, papa dan mama memohon Afiq dibawa keluar sebentar dari asrama. Membeli apa jua keperluannya sambil memujuknya menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.
Afiq meluahkannya segala yang dianggap membebankannya.
“Abang-abang suruh Afiq basuh baju mereka. Mereka minta duit untuk telefon keluarga mereka. Bukan itu sahaja, ada yang meminta bekalan makanan,” kata Afiq sambil merayu-rayu agar dia dipindahkan sekolah.
“Tak adalah teruk sangat. Ingatkan kena dera dan kena pukul,” kata si mama memujuk. Apa pun mama berpesan, andai ada kes pukul dan dera, jangan didiamkan. Sebaliknya ambil tindakan awal dengan melaporkan kepada warden asrama. Afiq angguk tapi hatinya masih tidak keruan dan masih mengharapkan mereka termakan rayuannya.
Sumber: Utusan
Labels:
Santai Sejenak
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan