22 Januari 2015

Tercekik Objek Asing Undang Bahaya


UJIAN X-ray pada bahagian leher dan dada akan menunjukkan dengan jelas lokasi dan jenis objek yang terlekat.

TERCEKIK objek asing mungkin kedengaran agak pelik tetapi itulah yang terjadi, ditambah lagi jika situasi itu berlaku kepada anak-anak kecil yang baru belajar merangkak.

Kejadian tercekik dalam kalangan kanak-kanak merupakan sesuatu yang biasa dan bukannya jarang berlaku kerana boleh dikatakan hampir setiap minggu atau bulan ada sahaja kes-kes membabitkan golongan itu yang dibawa ke hospital.

Jika orang dewasa, gejala tercekik pada kebiasaannya berlaku disebabkan pemakanan seperti tulang ikan atau ayam yang tidak diperhatikan ketika mengambil makanan tetapi lain pula halnya dengan kanak-kanak yang biasanya terdiri daripada mereka yang berumur setahun hingga prasekolah.


Menurut Pakar Telinga, Hidung dan Tekak Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Irfan Mohamad, semangat ingin mencuba yang tinggi membuatkan kanak-kanak dalam lingkungan umur itu akan memerhatikan apa sahaja objek yang berada di lantai kerana itulah objek yang boleh dicapai mereka.

“Biasanya ia merupakan objek kecil seperti biji guli, duit syiling, pin atau sebahagian daripada alat permainan mereka yang telah tercabut daripada komponen asal.

“Koordinasi motor tangan mereka pula pada waktu ini sudah mula boleh berfungsi untuk memegang sesuatu menggunakan jari. Oleh sebab itu, melihat sesuatu objek bersinar atau menarik warnanya akan menggamit perhatian dan menarik tangan mereka untuk mengambilnya.

“Secara refleksnya ditambah dengan rasa ingin mencuba yang tinggi, tanpa mengetahui apa yang sebenarnya mereka ambil itu, anak-anak kecil ini akan memasukkan objek tersebut ke dalam mulut. Tidak lama kemudian, ia akan masuk ke kerongkong dan akhirnya menyebabkan gejala tercekik berlaku,” jelasnya.

Duit syiling

Kata Irfan, duit syiling merupakan antara objek paling kerap ditemui dalam gejala tercekik yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

“Ia mungkin disebabkan penampilannya yang bersinar, ditambah lagi dengan sikap ibu bapa atau penjaga yang mengambil mudah dengan tidak segera mengambil duit syiling yang terjatuh di lantai.

“Apabila ada anak-anak kecil yang merangkak atau bermain di sekitar kawasan tersebut, mereka yang akan mengutipnya. Adalah amat tidak wajar jika ibu bapa atau penjaga sengaja memberikan duit syiling sebagai objek untuk kanak-kanak kecil bermain,” katanya.

Tambahnya, dilaporkan secara konsisten dalam penerbitan jurnal di seluruh dunia, duit syiling merupakan objek paling kerap terlekat di dalam saluran makanan atau esofagus apabila kanak-kanak memasukkannya ke dalam mulut.

“Ia menjadi objek kegemaran termasuk di Malaysia, malah ada juga kes membabitkan pesakit yang tertelan paku, pin tudung, gigi palsu, ketulan daging yang tidak digigit dengan lumat dan besi di dalam makanan tetapi jumlahnya tidak begitu tinggi berbanding insiden tertelan duit syiling dalam kalangan kanak-kanak.

“Pada kebiasaannya, ibu bapa atau penjaga tidak akan tahu kanak-kanak mengalami situasi itu sehinggalah mereka menangis atau tidak mahu makan dan minum.

“Ada juga kanak-kanak yang cuba untuk makan tetapi muntah kerana saluran makanan telah tersekat,” ujarnya sambil memberitahu, kanak-kanak yang lebih besar mungkin boleh memberitahu ibu bapa atau penjaga sekiranya tertelan objek tanpa sengaja dan sedang terlekat di tekak.

Kata Irfan, kes-kes bayi tersedak ketika meminum susu sehingga meninggal dunia seperti dilaporkan akhbar merupakan komplikasi daripada penutupan saluran pernafasan secara tiba-tiba.

“Kes-kes sebegini termasuk dalam kategori kes kecemasan. Baik dalam saluran makanan (esofagus) lebih-lebih lagi dalam saluran pernafasan (larinks dan trakea), ia boleh mengakibatkan komplikasi yang tidak dijangka seperti membawa maut.

“Jika berlaku situasi sebegini, segeralah membawa kanak-kanak tersebut ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Doktor yang memeriksa akan memastikan kanak-kanak tersebut dapat bernafas dengan baik. Jika tidak, saluran pernafasan perlu distabilkan terlebih dulu,” jelasnya.

Sekatan

Ujarnya, langkah seterusnya adalah memastikan apakah objek yang menyebabkan sekatan tetapi pada kebiasaannya, pemeriksaan secara klinikal dalam rongga mulut tidak menemui sebarang objek kerana ia telah termasuk ke bahagian yang lebih dalam.

“Ujian X-ray pada bahagian leher dan dada akan menunjukkan dengan jelas lokasi dan jenis objek terlekat. Duit syiling umpamanya akan menunjukkan struktur bulat berwarna putih dalam paparan filem X-ray.

“Ada juga objek yang telah termasuk ke bahagian perut dan ia dapat dilihat melalui ujian X-ray abdomen. Dalam keadaan tertentu, CT Scan mungkin diperlukan,” katanya sambil memberitahu, objek tersebut akan dikeluarkan dalam kadar segera selepas lokasi dan jenis objek dikenal pasti.

Jelasnya, prosedur endoskopi akan dilakukan di bilik bedah oleh doktor dan prosedurnya hanya memakan masa selama beberapa minit sahaja bergantung kepada jenis dan lokasi objek tersebut.

“Walaupun prosedurnya nampak ringkas, tetapi jika tidak dirawat segera, ia boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius.

“Apa yang penting dan lebih senang untuk dipraktikkan pada pihak ibu bapa atau penjaga adalah aspek pencegahan.

“Jangan ambil mudah objek yang jatuh di lantai, terutamanya jika terdapat anak-anak kecil di rumah,” ujarnya.

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
Sumber: Kosmo

0 comments: