12 Januari 2015

Zaman Berubah Namun Setem Masih Diminati



Setem datang dalam pelbagai warna, saiz sehinggakan bentuk yang memaparkan perkembangan dan pencapaian sesebuah negara, flora dan faunanya, rakyat dan aspirasi mereka dan banyak lagi.

Mengumpul setem bukan sekadar hobi kerana pengumpulnya turut memperoleh ilmu dari segi sejarah dan pencapaian penting di sebalik rekabentuk setem.

Generasi muda masa kini mungkin tidak begitu menghargai setem, namun seorang warga emas V.T. Nathan berpendapat mengumpul setem bukan sekadar hobi.


Berusia 99 tahun, Nathan yang berkacamata dan boleh berjalan tanpa bantuan masih dapat mengingati dengan jelas hobi mengumpul setem beliau yang bermula pada zaman mudanya.

Walaupun suara beliau agak lemah namun ingatan beliau masih tajam apabila berbicara mengenai setem. Malahan bekas presiden Persatuan Filateli Malaysia (PSM) (2000-2010) ini menyuarakan kebimbangan beliau terhadap generasi muda masa kini tidak lagi berminat dengan setem.

Dahulu setem menjadi buruan pengumpul profesional dan mereka yang menjadikannya sebagai hobi tetapi semua itu telah berubah sekarang. Dengan mel elektronik mendominasi komunikasi, nilai setem semakin pudar.

Nathan berkata demikian kepada Bernama semasa ditemui pada Pameran Setem Pemuda Dunia Kuala Lumpur (KLwyse) 2014 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), di penghujung tahun 2014. Pameran enam hari itu menyaksikan lebih dua juta setem dari 46 negara dipamerkan.

SETEM KHAZANAH PENGETAHUAN

Beliau menjelaskan secara terperinci bahawa kertas berukuran 'satu inci persegi' itu sebenarnya membawa lebih banyak pengetahuan yang tersirat berbanding sebuah buku 1,000 mukasurat apabila seseorang berminat mengumpul setem yang dianggap sebagai hobi tersohor.

"Mengumpul setem boleh menjadi sebahagian daripada proses pengajaran dan apabila anak muda sudah biasa dengannya, mereka dengan sendiri akan belajar lebih banyak lagi. Membaca buku teks mungkin membosankan dan mereka mungkin tidak mahu belajar.

Setem memerlukan kita bertanya, mengapa, bila, di mana, siapa, apa, bagaimana... Ia juga membolehkan kita menghargai apa yang terdapat di sekeliling kita seperti pokok, haiwan dan buah-buahan," kata beliau lagi.

SEJARAH SETEM MALAYSIA

Nathan dalam nukilan beliau bertema 'Gems of Malaysia's Philatelic heritage' dalam buku cenderahati acara itu berkata rekod menunjukkan bahawa surat terawal di Malaysia bertarikh 12 Jan, 1611 ditulis dalam bahasa Portugis dan dikirim dari Melaka ke Portugal.

"Pada zaman itu surat dimateri dengan lilin merah dan diserahkan kepada nakhoda kapal. Setem pos berpelekat pertama kali diterbitkan di India pada Oktober 1854.

"Setem-setem ini diagihkan ke pejabat-pejabat pos di India dan pejabat-pejabat pos di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura (Negeri-negeri Selat) pada bulan yang sama dengan kadar pos mengikut matawang India," katanya.

Selain dijadikan hobi, mengumpul setem juga adalah satu bentuk pelaburan bijak bagi pengumpulnya memandangkan setem dengan nilai sejarah boleh membawa keuntungan.

Pengarang risalah PSM, V. Senthilnathan berkata kepada Bernama pada acara yang sama bahawa nilai setem ditentukan oleh sejauh mana jarang sesuatu setem itu boleh ditemui.

"Selain jarang ditemui, keunikannya dan tahun setem itu diterbitkan turut penting dalam menentukan nilainya," tambah beliau.

Senthilnathan, 65, yang mula mengumpul setem sejak berusia 10 tahun pernah memenangi beberapa anugerah bagi koleksinya dan beliau juga penulis ruang di sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai hobi itu.

MINAT BERKURANGAN

Nathan dan Senthilnathan bersependapat bahawa hobi mengumpul setem dan bidang filateli itu sendiri semakin terpinggir.

"Pendapat yang golongan muda tidak berminat dengan setem adalah tidak benar. Apa yang berlaku adalah mereka tidak didedahkan kepada aktiviti itu. Ibu bapa sibuk cari makan... pameran seperti ini boleh mencetuskan minat," katanya kepada Bernama semasa di KLwyse.

Nathan berpendapat bahawa apabila ibu apa sendiri tidak menulis surat dan mengajar anak mereka hobi mengumpul setem, maka anak pasti tidak sedar mengenai aktiviti itu dan manfaatnya.

Senthilnathan menasihatkan mereka yang baru mula mengumpul setem supaya mengumpul mengikut tema, misalan setem mengenai negeri tertentu, buah-buahan, hidupan liar, senibina dan matawang.

Pameran kali ini turut menjadi acara penting bagi Senthilnathan kerana buku nukilannya 'Signs, Symbols and Stamps' dilancarkan pada hari pertama acara itu.

DARIPADA PENGUMPUL KEPADA PEREKABENTUK SETEM

Sementara itu, seorang lagi peminat setem Peter Howeveket Khang, 63, yang bermula sebagai pengumpul setem kini adalah perekabentuk setem.

Beliau telah merekabentuk lebih 12 siri setem dan satu daripadanya menampilkan keris sebagai elemen grafik hingga beliau menerima anugerah rekabentuk setem terbaik pada 1984.

"Saya dipilih oleh Pos Malaysia memandangkan mereka tahu akan kemampuan saya untuk merekabentuk selain minat saya terhadap setem dan rekabentuk setem pertama saya membabitkan siri burung kenyalang Malaysia," katanya.

Antara rekabentuk setem yang pernah beliau hasilkan adalah siri buah-buahan Malaysia yang digunakan selama 10 tahun, siri hidupan liar terlindung di Malaysia, ulangtahun ke-25 Parlimen dan siri ulangtahun ke-20 ASEAN.

Khang berkata beliau amat meminati pemuliharaan hidupan liar dan minatnya itu terserlah dalam setem nukilannya mengenai hidupan liar.

"Perlu berunding dengan banyak agensi termasuk universiti yang menjalankan penyelidikan jika ingin muncul dengan satu rekabentuk dan mesej yang hebat," katanya.

Oleh Vikneswaran Raman
Sumber: BERNAMA, Sinar Harian

1 comments:

Unknown berkata...

ayah sy minat kumpul setem...terbaik ;)