01 Februari 2015

Produk Daripada Palet Kayu Pain Kitar Semula



CHIN WEE SENG hanya seorang lelaki berketurunan Cina separuh usia yang sedikit pun tidak nampak luar biasa. Pada umur 46 tahun, dia kelihatan sama seperti kebanyakan lelaki seusia dengannya. Bertubuh gempal dan dalam kebanyakan bicara, bahasa Melayunya masih pekat, pelat lidah seorang Cina.

Bagaimanapun, dalam kalangan penggemar barangan kitar semula, terutama pemburu perabot kayu daripada barangan terpakai, dia yang juga dikenali sebagai Sam Chin sering menjadi pilihan pelanggan.

Belum memasuki pasaran secara komersial, namun hasil kerja tangannya dalam bidang kitar semula perabot yang dinaik taraf daripada kepingan palet menjadi beraneka jenis perabot sering menjadi dambaan pelanggan.



PALET kayu pain dibersihkan dan diketam untuk dijadikan perabot.

Palet tersebut diubah suai menjadi pelbagai produk daripada sekecil-kecil bangku hinggalah almari gah. Kepingan palet dalam bahasa lainnya dikenali sebagai dulang mengangkat atau menyimpan barang. Bagi kebanyakan pengguna, palet dibuang sebelum dilupuskan.

Potensi

Sam Chin sebaliknya mempunyai pemerhatian yang berbeza. Menurutnya, pada peringkat awal, dia mengambil kepingan palet lama yang masih elok untuk dicantumkan semula dan membentuk palet yang baharu. Idea tersebut bertukar menjadi lebih besar selepas dia melihat potensi lain daripada kayu-kayu terbuang itu.


SALAH satu produk palet kayu pain yang dikitar semula seperti yang diminta pelanggan.

“Saya rasa membuang palet ini merupakan sesuatu yang merugikan. Jadi sekitar tahun 2011 saya mula serius mengitar semula palet-palet tersebut menjadi perabot-perabot seperti yang dikehendaki pelanggan."

"Sayang, sebab kebanyakan palet masih elok dan kayu-kayunya tidak rosak, jadi mengapa ia perlu dibuang sedangkan ia mampu menjana pendapatan yang baik jika kita berfikir di luar kotak untuk memberi improvisasi terhadap barangan seumpama ini?"

“Saya kini menikmati hobi mengitar semula yang saya suka dan menjadikannya satu bisnes yang menguntungkan,” akui Sam Chin tentang industri kitar semula palet yang diusahakannya sejak empat tahun lalu bersama empat orang pekerja.



Menyifatkan kitar semula bukan sebagai satu trend, Sam Chin melihat masa hadapan yang cerah terhadap bidang yang sedang diterokanya itu.

Menerima banyak tempahan dalam kalangan pengusaha kafe dan Pejabat Kecil/Pejabat Rumah (SOHO), Sam Chin seronok dengan peningkatan tempahan yang diterimanya.

Sam Chin yang ditemui di bengkelnya di Kampung Bukit Changgang, Banting, Selangor memberitahu, ia bukan sekadar keuntungan, tetapi bagaimana generasi masa kini memberi penghargaan terhadap barang-barang terbuang yang mempunyai nilai besar apabila seseorang manusia menggunakan imaginasi dan kreativiti terhadap persekitaran mereka.

Sumber: Kosmo

0 comments: