07 Februari 2015

Bahaya Aksesori Kepala Bayi


Aksesori kepala, boleh mengganggu perkembangan tulang kepala

“Wah, comelnya anak kau pakai reben dekat kepala tu. Beli dekat mana? Murah ke mahal?”

Itu antara kata-kata atau pujian yang sering kita dengar jika memakaikan bayi atau kanak-kanak perempuan dengan pelbagai aksesori di kepala.

Bayi atau kanak-kanak perempuan pastinya tidak boleh dipisahkan dengan perhiasan sama ada di kepala, leher, pergelangan tangan mahupun di pergelangan kaki.


Tidak cukup dihias dengan pelbagai jenis dan bentuk reben, ada pula yang meletakkan kuntuman bunga pelbagai warna, manik dan labuci berkelipan serta menjadikan replika haiwan comel sebagai aksesori kepala pilihan.

Menurut Perunding Pediatrik Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr. Nor Mahani Harun, pemakaian aksesori kepala tidak salah jika ibu bapa bijak memilih kesesuaian aksesori untuk bayi mereka.

Katanya, jenis fabrik serta tahap fleksibiliti regangan aksesori kepala menjadi faktor penting yang perlu dititikberatkan ibu bapa dalam memilih aksesori untuk bayi mereka.

Tidak hanya mementingkan cantik ketika dipakaikan, Nor Mahani memberitahu, tulang bayi ketika usia selepas lahir sehingga 18 bulan amat sensitif, lembut dan masih dalam proses pertumbuhan menyebabkan tulang mereka mudah tercedera.

“Tulang kepala bayi yang baharu dilahirkan sehingga 18 bulan sangat mudah tercedera dan pemakaian aksesori kepala tanpa pengawasan dan pengetahuan boleh mengundang bahaya kepada bayi.

“Pada tempoh itu, tulang dan otak bayi akan membesar setiap hari dan pemakaian aksesori kepala terlalu kerap akan membantutkan perkembangan tulang bayi secara tidak langsung.

“Walaupun pemakaian aksesori bukanlah punca utama kepada masalah itu, ibu bapa harus berwaspada agar bayi mereka berada dalam keadaan yang tidak bahaya,” katanya.

Ditanya bagaimana pemakaian aksesori berkenaan mengganggu perkembangan tulang bayi, Nor Mahani berkata, risiko berkenaan bergantung kepada jenis aksesori yang dipakaikan sama ada selamat atau tidak.

Pemakaian terlalu lama atau kerap boleh mengganggu tumbesaran fizikal bayi dan dibimbangkan turut memberi kesan kepada bahagian dalaman.

Sebaiknya pemakaian aksesori kepala dipakai selama satu hingga dua jam dan paling elok dimulakan selepas bayi berusia 18 bulan.

“Bagi ibu yang gemar memakaikan aksesori kepala kepada bayi, harus diingatkan saiz aksesori itu mesti ditukar setiap bulan kerana otak dan tulang bayi akan membesar dan ukur lilit kepala mereka berbeza setiap bulan.

“Lazimnya saiz ukur lilit bayi sekitar 32 sentimeter ketika dilahirkan dan akan membesar sehingga 10 hingga 12 sentimeter lagi apabila mencapai usia setahun.

“Jadi, jika bayi anda masih memakai aksesori yang dililitkan pada saiz ketika dia masih bayi, kita tidak membenarkan tulang itu untuk membesar dan ketika itu ibu bapa harus sedar bahawa tumbesaran tulang kepala bayinya mempunyai masalah,” jelasnya.

Selain saiz, jenis dan warna fabrik serta penggunaan manik atau labuci merupakan faktor penting untuk dinilai ibu bapa sebelum memilih sebarang aksesori untuk anak mereka.

Ini kerana, aksesori yang menggunakan fabrik seperti bulu, kulit gantian, renda berbiku tajam bukan sahaja melukakan kulit bayi malah memberi alahan seperti ruam dan kegatalan kepada bayi yang mempunyai kulit sensitif.

“Biasanya, jenis fabrik perlu selesa misalnya diperbuat daripada kapas, selain penggunaan warna pada aksesori mestilah bebas toksin serta perlu mengelakkan penggunaan manik dan labuci kerana dikhuatiri mereka memasukkan bahan-bahan berkenaan ke dalam mulut.

“Jika mengikat rambut pula, jangan terlalu ketat kerana akar rambut bayi dan kanak-kanak terlalu rapuh dan sebaiknya jika mereka tidur, cabut aksesori yang ada di kepala mereka,” jelas beliau.

Perlu diberi perhatian, pemakaian aksesori kepala harus diawasi oleh ibu bapa agar tidak terjatuh sehingga ke leher kerana boleh menyebabkan leher bayi terbelit terutama aksesori jenis reben panjang.

Aksesori yang dipenuhi manik dan labuci pula harus dielakkan kerana pada usia enam hingga 18 bulan, bayi gemar memasukkan barang ke ruang rongga.

“Ada kes yang kita pernah kendalikan di mana kanak-kanak itu memasukkan manik ke dalam telinga mereka, malah ada yang lambat dikesan sehingga membusuk di ruang rongga hidung.

“Ada ibu bapa hendak melihat anak mereka cantik, sehingga mengabaikan keselamatan,” katanya.

Lazimnya, jelas beliau soal harga mahal atau murah, cantik atau tidak, jenama popular atau dibeli di mana yang sering menjadi keutamaan berbanding memilih kualiti fabrik atau jenis yang bersesuaian untuk dipakaikan kepada anak-anak mereka.

Malah, kegilaan memakaikan bayi dengan aksesori kepala semakin menjadi trend memandangkan golongan ternama dan artis yang diminati turut menggayakan fesyen yang sama pada kepala bayi mereka.

Dunia laman sosial yang menghidangkan pelbagai ruang untuk peniaga mempromosikan barangan mereka selain menggunakan anak-anak artis sebagai bentuk promosi menjadikan ibu bapa lebih teruja dengan trend pemakaian aksesori kepala.

Tambahan pula, harga aksesori kepala yang dijual serendah RM5 menyebabkan ibu bapa menjadi teruja apatah lagi jika menerima pujian rakan-rakan lain selepas memuat naik gambar-gambar comel anak mereka.

Ini kerana, hakikatnya pemakaian aksesori kepala oleh ibu bapa kepada bayi dan kanak-kanak lazimnya bertujuan menjadikan mereka kelihatan comel tanpa menghiraukan ketidakselesaan, keselamatan dan kemudaratan yang bakal berlaku.

Keghairahan tersebut ada kalanya mengundang risiko bahaya kepada perkembangan tumbesaran bayi jika ibu bapa mengabaikan beberapa aspek dalam pemilihan aksesori kepala.

Dr. Nor Mahani Harun
Sumber: Utusan

0 comments: