08 Februari 2015

Baja Kompos Daripada Bahan Buangan



SETIAP pagi, Neo Yee Han akan meredah kesesakan jalan raya selama 40 minit dari rumahnya di Setia Alam ke Projek Ladang Organik Cetdem di Jalan 15/19 Petaling Jaya, Selangor.

Aktiviti harian bagi sukarelawan wanita yang umurnya menjangkau separuh abad itu bermula sekitar pukul 8 pagi. Kerja-kerjanya melibatkan aktiviti menjaga, menabur kompos dan memastikan tanaman mendapat air secukupnya serta bebas daripada serangan serangga perosak.

Yee Han akan memastikan semua kerja-kerja di ladang siap sebelum matahari berada tegak di atas kepala. Antara sayur-sayuran yang ditanam di ladangnya adalah kentang, ulam-ulaman, pokok selasih dan cili padi.


Selepas itu, dia mula menguruskan perkara-perkara lain di pusat tersebut seperti mengadakan kelas masakan Slow Food, jualan buku panduan organik dan menjual biji benih.

“Sudah tiga tahun saya menjaga tanaman organik di pusat ini secara serius sejak anak tunggal saya melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Singapura.

“Pada mulanya, memang saya tidak suka cuaca panas. Lagipun terpaksa memegang kompos dan nyamuk pula terlalu banyak,” kata Yee Han yang mengambil masa hanya tiga bulan mempelajari pembuatan kompos.

Yee Han tidak pernah mempunyai sukatan yang tepat untuk membuat baja organik tersebut. Sebaliknya, dia hanya mengikut gerak hati dan pertimbangannya.

“Apabila saya buka bekas berisi kompos, jika ada rasa sedikit hangat pada tapak tangan, ia sudah siap. Rupa kompos yang terbaik adalah ia kelihatan seperti tanah dan berbau tanah biasa,” ujarnya yang meminati tanaman herba.


YEE HAN menunjukkan hasil kompos yang masih lagi dalam proses pemeraman.

Bagi Yee Han, menjaga tanaman organik sama seperti menjaga tanaman kaedah lain, cuma tidak menggunakan racun dan baja kimia.

“Tanaman harus sentiasa dijaga supaya tidak dijangkiti serangga perosak seperti ulat bulu, air dan cahaya matahari yang mencukupi.

“Tanah pula perlu sihat dengan menggunakan kompos yang baik. Struktur tanah pula perlu seimbang iaitu tidak terlalu melekit dan sedikit berpasir supaya ada peredaran udara,” kata wanita yang lebih selesa dipanggil Puan Neo itu.

Kompos

Koordinator Projek Ladang Organik Cetdem, Tan Siew Luang, 60-an, berkata, baja kompos adalah bahan-bahan buangan yang diperam sekurang-kurangnya tiga bulan.

Asas komposisi kandungan kompos adalah tiga bahagian karbon dan satu bahagian nitrogen.

Antara bahan buangan yang digunakan ialah sampah sarap dari pasar, rumput, dedaun kering, hampas tebu, hampas kelapa, kulit pisang dan nangka.

Selain itu, penggunaan tulang haiwan seperti ikan, ayam dan najis ayam juga boleh digunakan.


BUKU panduan ringkas mengenai cara-cara menghasilkan kompos.

Bahan-bahan tersebut perlu disusun berlapis-lapis dan diperam di dalam bekas. Dalam tempoh pemeraman itu, mikroorganisma akan memecahkan semua bahan buangan tersebut.

Hasil kompos pula bergantung kepada kerajinan seseorang, jika bahan-bahan buangan tersebut dikisar halus maka hasilnya adalah lebih baik.

Menurut Siew Luang, baja kompos mengandungi serat yang tinggi dan nitrogen yang rendah. Ia boleh digunakan pada jumlah yang banyak berbanding baja organik.

“Komposisinya pula dapat meningkatkan struktur tanah, menentang penyakit dan mengekalkan kelembapan tanah,” katanya yang mendapat pendidikan mengenai tanaman organik di Jepun.

Pelopor tanaman organik di Malaysia itu sudah 26 tahun aktif menyedarkan masyarakat supaya beralih kepada tanaman organik.

Baginya, tanaman organik bukan saja tidak menggunakan bahan kimia bahkan pengamalnya tidak boleh mengambil jalan singkat.

“Dalam pembuatan baja organik, tidak boleh menggunakan sebarang mikororganisma asing bagi mempercepatkan proses penguraian tetapi kita boleh bereksperimen,” kata wanita yang berasal dari Sungai Abung, Muar itu.

Bagaimanapun, eksperimen dibenarkan bagi melihat kesesuaian bahan buangan dan keadaan tanah di sesuatu tempat kerana setiap kawasan mempunyai jenis tanah yang berbeza.

Oleh ADLAN JAAFAR
Sumber: Kosmo.

0 comments: