09 Februari 2015
Pravokal Cara Bayi Berkomunikasi
Uswatun Hasanah menunjukkan lima jenis bunyi yang dikeluarkan bayi sebelum menangis.
MENDENGAR tangisan kuat daripada seorang bayi yang baru dilahirkan pasti meresahkan seorang ibu. Apatah lagi jika tangisan itu berlanjutan dan sukar dipujuk.
Bagi seorang wanita yang pertama kali menjadi ibu, situasi yang berlaku boleh menyebabkan mereka panik.
Biasanya, apabila bayi menangis kebanyakan beranggapan si comel ini lapar atau mengalami sakit perut. Jadi, sebagai langkah untuk meredakan keadaan, bayi akan diberi susu atau disapu minyak angin untuk memberi sedikit kelegaan.
Wanita muda yang belum bergelar ibu juga pasti gusar tatkala melihat situasi bayi yang menangis dan sukar dipujuk. Pastinya pelbagai perasaan bermain di fikiran termasuklah tidak yakin untuk menjadi seorang ibu, takut untuk menghadapi situasi tersebut dan bimbang jika bayi yang bakal dilahirkan sukar dipujuk.
Afiza Suriani Sarimin, 32, memberitahu, sebelum melahirkan anaknya pada bulan Disember 2014 lalu, dia juga berfikiran sebegitu.
Katanya, dia bimbang sekiranya bayi yang bakal dilahirkan suka menangis dan sukar untuk dipujuk.
“Pastinya ia perkara yang menakutkan kerana ini adalah pengalaman pertama saya bergelar ibu.
“Perkara yang paling saya bimbang ialah jika bayi mengalami sawan tangis iaitu menangis dengan kuat, kerap dan tanpa sebab. Saya bimbang tidak dapat menangani situasi tersebut,” jelas wanita kelahiran Ampang, Selangor ini.
Cerita daripada rakan-rakan dan pengalaman melihat bayi yang mengalami sawan tangis membuatkan wanita ini gerun memikirkan kelahiran bayinya.
MEMBEDUNG bayi merupakan salah satu kaedah Cuddle Care iaitu bayi merasakan mereka berada di dalam rahim ibu.
Jenis tangisan
Walau bagaimanapun, Afiza Suriani menyifatkan dirinya bertuah kerana bertemu dengan seorang konsultan tangisan bayi yang banyak memberikan ilmu kepadanya sebagai seorang ibu baharu.
Menurut suri rumah ini, selepas menjalani beberapa sesi konsultasi, dia lebih yakin untuk mengendalikan anaknya, Raisya Adelia Rahman.
“Jika Raisya Adelia menangis, saya akan memeriksa lampinnya atau menyusukannya. Jika tangisannya tidak reda, saya akan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari daripada konsultan untuk memujuk. Jadi, saya tidak perlu mengejutkan suami yang sedang tidur apabila anak menangis.
“Daripada sesi yang dijalankan, saya kini tahu bahawa jenis-jenis tangisan yang disuarakan oleh bayi mempunyai maksud-maksud tertentu. Jika tidak, selama ini saya hanya beranggapan bayi menangis kerana lapar, tidak selesa atau sakit sahaja selain bunyi tangisan yang sama,” ujarnya.
Tambah wanita ini, daripada konsultannya, Uswatun Hasanah Mohd. Habib juga dia tahu bahawa anaknya itu tergolong dalam kalangan bayi sensitif iaitu mudah untuk menangis.
Afiza Suriani kini lebih selesa dan yakin untuk mengendalikan bayinya kerana mempunyai ilmu yang boleh digunakan saat bayinya meragam.
Dalam pada itu, Uswatun Hasanah ketika ditemui di kediaman Afiza Suriani ketika memberikan konsultansi berkata, sebagai orang dewasa, bayi juga mempunyai bahasa mereka untuk berkomunikasi iaitu melalui bunyi yang dikeluarkan atau jenis tangisan mereka.
Wanita yang lebih mesra disapa sebagai Uswatun Hasanah ini memberitahu, ada lima faktor berkaitan keperluan rutin yang menyebabkan bayi menangis iaitu lapar, mengantuk atau letih, sendawa, kembung perut atau sakit dan berasa tidak selesa.
Kongsi wanita yang mendapat pengiktirafan daripada dua institut antarabangsa ini, faktor tersebut dapat dikenalpasti melalui pravokal yang dibunyikan oleh bayi sebelum menangis.
LAPAR atau dahaga antara faktor yang menyebabkan bayi menangis.
Bunyi
Misalnya, bayi akan mengeluarkan bunyi neh apabila berasa lapar. Oleh itu, apabila ibu mendengar bunyi tersebut, cara terbaik adalah dengan menyusukan bayi mereka.
“Selain bunyi tersebut, bunyi owh akan kedengaran apabila bayi berasa penat manakala eh pula apabila sendawa.
“Bunyi eairh pula menandakan perut bayi kembung. Jadi, ibu boleh mengurut bayi mereka untuk meredakan masalah tersebut,” jelas konsultan berusia 32 tahun ini.
Uswatun Hasanah yang juga merupakan salah seorang penulis dalam laman web Drbudak.com memberitahu, secara umumnya bayi dikategorikan kepada tiga iaitu bayi yang mudah, sensitif dan sawan tangis.
Bayi mudah ialah bayi yang senang untuk diredakan dan tidak banyak menangis malah tangisan mereka juga tidak berpanjangan.
Bayi sensitif pula menurut Uswatun Hasanah ialah bayi yang sangat mudah terganggu secara emosi dan mudah untuk menangis kerana berasa rimas atau terasing.
Bagi kategori bayi sensitif, mereka boleh ditenangkan dengan cara banyak memegang atau melakukan sentuhan pada badan.
Sawan tangis adalah kategori yang paling sukar untuk ditenangkan sehinggakan ada ibu yang sudah kehabisan kaedah untuk memujuk bayinya.
Kumpulan ini memerlukan teknik yang tepat untuk dipujuk dan memerlukan ibu untuk bertenang di samping perlu melakukan kaedah untuk menenangkan bayi.
Tegas Uswatun Hasanah, adalah amat penting untuk para ibu mengetahui bayi mereka tergolong dalam mana-mana kategori untuk memudahkan mereka mengendalikan situasi yang berlaku.
Misalnya, bayi yang mengalami sawan tangis akan menangis kira-kira tiga jam sehari dan dapat dikenalpasti seawal tiga minggu selepas tarikh sepatutnya dilahirkan.
“Bayi ini biasanya akan menangis dengan teruk tiga hari seminggu selama tiga minggu berturut-turut. Lazimnya, mereka akan beransur baik selepas tiga bulan kelahiran.
“Situasi ini digelar Peraturan-Peraturan 3 dalam ciri kolic atau sawan tangis,” ujar ibu kepada dua anak ini yang berasa puas dengan kerjayanya sekarang.
Sementara itu, menurut Uswatun Hasanah , kaedah Cuddle Cure digunakan untuk menenangkan bayi yang baru lahir dalam tempoh tiga bulan ke bawah.
Jelasnya, lima cara dalam kaedah Cuddle Cure yang digunakan merujuk atau meniru sensasi yang dialami oleh bayi ketika bayi berada di dalam rahim ibunya. Dalam tempoh peringkat awal kelahiran, bayi masih berasa dekat dengan suasana yang dialami ketika dikandung oleh ibu.
Langkah pertama menurut Cuddle Cure ialah membedung bayi kerana ketika berada di dalam rahim, bayi dihimpit oleh dinding rahim dan berasa seolah-olah berada dalam kandungan ibunya.
SALAH satu dari posisi perut yang digunakan untuk menenangkan bayi.
Terasing
“Posisi perut pula digunakan untuk meniru kedudukan bayi ketika dalam kandungan manakala shushing atau bunyi shhhh pula merujuk kepada bunyi yang didengar oleh bayi ketika berada dalam rahim ibu.
“Kaedah hayun atau buai pula dilakukan kerana ketika dikandung, bayi sentiasa mengalami pergerakan hasil daripada gerakan ibunya,” cerita Uswatun.
Langkah menghisap digunakan kerana ketika berada di dalam rahim ibu, bayi sudah pandai menghisap jarinya. Sehubungan itu, bayi akan berasa keadaan yang sama ketika berada di dalam rahim ibunya apabila diberi sesuatu untuk dihisap.
“Pada tempoh awal kelahiran, bayi juga sebenarnya berasa terasing kerana mereka lebih mengenali dunia dalam rahim ibu berbanding dunia luar.
“Mereka akan menangis kerana berasa sangat terasing dan dunia luar berbeza dengan dunia awal yang dikenalinya,” kongsinya.
Menurut Uswatun Hasanah, beliau kerap mendapat undangan daripada ibu muda untuk berkongsi ilmu mengendalikan bayi pada peringkat awal kelahiran selain jemputan daripada hospital.
Selain bertemu pelanggan di rumah, dia juga menyediakan perkhidmatan ceramah dan latihan selain menyediakan cakera padat video berkaitan tangisan bayi.
Oleh KASANABILAH KAMARUL ZAMAN
Sumber: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan