11 Februari 2015

Kepentingan Vaksin Kepada Kanak-Kanak


DI sesetengah negara, vaksin Polio diberikan secara oral.

VAKSIN sangat penting kepada kanak-kanak kerana mereka merupakan kelompok yang sentiasa terdedah kepada penyakit.

Sebab itu, satu langkah pencegahan bagi menangani penyakit berjangkit dan berbahaya adalah melalui pemberian vaksin.

Pakar Kanak-Kanak Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr. Nor Mahani Harun berkata, vaksin adalah pemberian antigenik tertentu kepada kanak-kanak melalui suntikan atau oral, bagi membentuk imuniti dalam badan terhadap patogen iaitu ejen yang menyebabkan penyakit disebabkan oleh virus atau kuman tertentu.


“Vaksin dihasilkan dengan mengambil sebahagian kecil bakteria atau virus atau keseluruhan virus yang telah dilemah atau dimatikan untuk disuntik ke dalam badan.

“Tujuan vaksin adalah untuk membentuk antibodi atau pertahanan dalam tubuh supaya kuman tertentu yang memasuki badan akan membina antibodi. Secara semula jadi tubuh kita mempunyai sistem pertahanan atau imun sistem yang aktif untuk melawan kuman.

“Sistem ini akan bertindak seperti satu kumpulan pertahanan untuk menyerang, melawan dan memusnahkan kuman yang memasuki badan. Malah, bertindak membentuk sistem pertahanan baharu terhadap kuman yang menyerang,” katanya.

Dr. Nor Mahani menambah, badan manusia bertindak menerusi dua kaedah untuk melawan kuman yang berjangkit pada badan, sekali gus mencegah daripada penyakit berbahaya.

“Kaedah pertama berlaku secara tindak balas mendadak apabila sel vaksin membunuh kuman yang menyerang sistem badan.

“Kaedah kedua dikenali sebagai delete respond iaitu antibodi khusus yang menghasilkan sel antibodi dengan bertindak mengenali kuman atau bakteria dan seterusnya menghalang tubuh daripada terkena jangkitan dengan ‘mengikat’ kuman untuk dimusnahkan.

“Kebanyakan antibodi akan kekal lama dalam badan dan bertindak sebagai pertahanan jika kuman yang sama menyerang,” jelasnya.

Katanya, ketika kanak-kanak dilahirkan, golongan ini tiada sistem imuniti dalam badan yang berperanan mencegah jangkitan kuman.

Oleh sebab itu jelasnya, pentingnya pemberian susu ibu pada waktu ini kerana mengandungi kandungan imuniti pasif yang membantu bayi membina imuniti dalam badan selama tempoh tertentu.

“Vaksin diberikan kepada bayi seawal hari pertama kelahiran seperti suntikan Hepatitis B dan BCG (Bacillus Calmette-Guerin) supaya tubuh mempunyai pertahanan terhadap penyakit-penyakit berbahaya.

“Vaksin juga melindungi kanak-kanak daripada penyakit campak.

“Jika tiada imuniti dalam sistem pertahanan badan, kanak-kanak yang terkena penyakit ini akan mengalami demam dengan suhu badan yang tinggi dalam tempoh tiga hingga lima hari. Penyakit ini turut diiringi batuk, ruam dan selesema.

“Oleh kerana ketika ini sistem pertahanan badan adalah lemah, kanak-kanak mungkin mendapat jangkitan lain seperti pneumonia dan seterusnya membawa kepada kematian,” jelasnya.


Kanak-kanak disuntik vaksin mengikut jadual tertentu bergantung kepada usia.

Ujar Dr. Nor Mahani, semua penyakit yang menyerang kanak-kanak boleh dikawal dan dicegah melalui vaksin yang diberikan dalam tempoh dan kuantiti tertentu, justeru sejak di awal usia kelahiran sehingga mencecah usia tertentu, mereka mempunyai jadual suntikan vaksin yang telah ditetapkan.

“Kesan pada kanak-kanak selepas mengambil vaksin memang ada tetapi tidak ketara. Kebanyakannya mungkin mengalami sedikit kemerahan, bengkak, demam serta berlaku alergi reaksi,” katanya.

Ditanya pandangan sebahagian ibu bapa yang masih menolak pengambilan vaksin untuk anak-anak, Dr. Nor Mahani mengakui tindakan tersebut merupakan sesuatu yang tidak adil kepada kanak-kanak.

“Tidak dinafikan pada zaman ini masih ada ibu bapa yang tidak mempercayai keberkesanan vaksin dan enggan mengambil suntikan ini untuk anak-anak mereka.

“Hakikatnya, kanak-kanak yang tidak diberikan vaksin bukan sahaja mempunyai risiko tinggi terdedah kepada penyakit malah turut membahayakan orang di sekeliling mereka.

“Memang kanak-kanak boleh membina imuniti sendiri menerusi pendedahan kepada pelbagai penyakit, tetapi sanggupkah ibu bapa melihat anak-anak mereka dimasukkan ke hospital sehingga berhari-hari lamanya kerana menghidap pelbagai komplikasi penyakit,” katanya.

Sumber: Utusan

0 comments: