12 Februari 2015
Merotan Tidak Seperti Hukuman Sebat
SAIZ rotan untuk merotan pelajar atau anak-anak tidak boleh melebihi saiz jari telunjuk.
BUNYI derapan langkah guru disiplin seakan-akan satu bunyi kuat yang melenyapkan suasana bising di bangunan sekolah.
Rata-rata pelajar yang berkeliaran di koridor atau tangga berlari secara senyap untuk masuk ke kelas masing-masing. Ada pelajar yang tidak cukup nafas berlari menjauh dari bunyi derapan langkah itu.
Rotan bersaiz jari telunjuk dengan kepanjangan hampir satu meter yang dibawa oleh guru disiplin sambil meronda kawasan sekolah itu sudah cukup untuk membuatkan suasana gegak-gempita menjadi sunyi secara tiba-tiba.
Bagi pelajar-pelajar, bunyi derapan langkah guru itu sudah cukup untuk membuatkan mereka bergegas masuk ke kelas dan berada di tempat masing-masing tanpa berkutik.
Situasi itu adalah memori zaman persekolahan yang mungkin pernah dilalui oleh semua orang sewaktu bersekolah. Pengaruh guru disiplin sangat besar, bukan hanya pada badan atau mukanya yang bengis tetapi pada sebatang rotan yang sering dikepit bersamanya.
Che Nurmahirah Che Ghaffar, 26, memberitahu, gelagat rakan-rakan yang lari lintang-pukang ke dalam kelas sebelum guru sampai tidak dapat dilupakannya
“Semua pelajar takut dirotan. Takut didenda kerana membuat bising. Disebabkan takut dirotan, saya cuba untuk mematuhi peraturan sekolah dan menjadi pelajar yang baik,” kongsi gadis itu mengimbau memori lama.
Cerita Che Nurmahirah, guru disiplin merupakan insan yang paling digeruni kerana sering membawa sebatang rotan apabila berada di dalam kawasan sekolah.
Katanya, kebanyakan rakan-rakan sekolahnya gerun melihat rotan yang dibawa oleh guru disiplin tersebut.
Orang berguna
“Cikgu hanya merotan mereka yang melakukan kesalahan selepas dinasihati berulang kali. Ada sahabat saya yang dirotan lantas terus serik untuk melakukan kesalahan namun, ada juga yang tidak pernah serik.
“Bagaimanapun, saya yakin pelajar-pelajar yang pernah dirotan kini menjadi orang yang berguna. Arkitek, pensyarah atau pakar perubatan pernah melalui saat didenda berupa cubitan, rotan atau leteran percuma kerana kedegilan atau kenakalan ketika zaman kanak-kanak,” jelas gadis itu lagi.
Che Nurmahirah berkata, dia pernah dirotan ketika bergaduh dengan adik-adik, malas melakukan kerja rumah atau liat bersolat. Satu libasan rotan hinggap di tapak tangan atau betisnya.
Ketika mula-mula dirotan, memang ada terselit perasaan marah dan geram. Namun katanya, setelah direnung, dia memang patut dirotan kerana kenakalan dan kedegilannya.
“Jika ibu atau abah hanya membiarkan saya melakukan kesalahan tanpa teguran atau bidasan rotan, mungkin saya tidak akan jadi seperti sekarang.
“Saya bersyukur kerana mereka berusaha mendidik kami enam beradik sedaya upaya mereka. Disebabkan rotan kasih sayang itu, saya berjaya menjadi orang yang berjaya,” ulas pemegang Ijazah Sarjana Sains Kemasyarakatan Pengurusan Pembangunan Islam Universiti Sains Malaysia itu.
KANAK-KANAK perlu diterangkan dengan jelas tentang kesalahan yang dilakukan serta sebab mereka dihukum.
Anak jati Kelantan itu menjelaskan, setiap bidasan rotan yang hinggap di tubuhnya adalah anugerah yang mengingatkan untuk tidak melakukan sesuatu di luar batasan.
“Selepas dirotan untuk sesuatu kesalahan, saya serik untuk melakukan perkara yang sama. Walaupun ia tidak mendatangkan kesan luka, rasa sakit libasan rotan pada betis atau tapak tangan cukup untuk membuatkan saya gerun.
“Saya faham tindakan mereka bukan kerana benci sebaliknya kerana perasaan kasih seorang ibu atau bapa kepada anak. Mereka mahu mendidik saya menjadi insan berguna,” kongsi Che Nurmahirah yang berterima kasih kepada orang tuanya kerana berjaya mendisiplinkan dia dan adik-beradiknya.
Sementara itu, Pengasas Akademi Darul Huffaz, Ustaz Sheikh Lokman Shazly Azlanii Zaharin yang turut bertindak sebagai tenaga pengajar memberitahu, sebagai pendidik, rotan tidak dapat dipisahkan.
Bagaimanapun, Sheikh Lokman yang berpengalaman mengajar hampir 13 tahun memberitahu, objek yang paling banyak dirotan adalah lantai dan meja di dalam kelas. Bunyi ketukan atau libasan rotan pada meja serta lantai sekadar untuk memberi amaran kepada pelajar-pelajar supaya berasa gerun dan fokus.
Meskipun sentiasa memegang rotan, ia tidak bermaksud beliau kerap merotan pelajar. Beliau juga tidak menggalakkan guru-guru di akademi itu melakukan perkara yang sama.
Sheikh Lokman, 44, menegaskan, setiap kali pelajar-pelajar melakukan kesalahan, perkara pertama yang dilakukannya adalah memberikan nasihat.
“Jika kesalahan tersebut masih berulang-ulang, barulah saya mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman termasuk ketuk ketampi dan merotan.
“Hukuman berbeza dengan setiap kesalahan yang dilakukan. Jika pelajar membuat bising atau bercakap di dalam kelas, mungkin mereka disuruh melakukan ketuk ketampi. Jika dirotan, mungkin lebih perlahan berbanding kesalahan ponteng kelas atau merokok,” jelas Sheikh Lokman ketika ditemui di Akademi Darul Huffaz di Kajang, Selangor baru-baru ini.
Sheikh Lokman bercerita, cara guru dan ibu bapa pada konseptualnya mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk mendidik anak-anak yang masih memerlukan bimbingan supaya menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
Pengaruh emosi
Disebabkan tindakan itu berniat mendidik, ia tidak boleh dilakukan mengikut hawa nafsu dan dipengaruhi emosi semata-mata. Seorang guru atau ibu bapa perlu berada dalam keadaan tenang sebelum melakukan denda tersebut supaya tidak mendatangkan mudarat kepada anak-anak.
“Niatkan dalam hati perbuatan tersebut untuk memberi pengajaran. Beritahu anak-anak didik atau anak-anak kita, sebab mereka dirotan supaya mereka sedar dan faham akan kesalahan yang dilakukan.
“Biasanya, itulah perkara yang saya lakukan setiap kali perlu merotan pelajar. Saya akan bertanyakan sama ada mereka sedar atau tidak tentang kesalahan yang dilakukan selain turut memastikan mereka benar-benar bersalah sebelum didenda,” kongsi Sheikh Lokman yang turut memberikan hadiah berupa wang kepada pelajarnya selepas dirotan.
Katanya, dengan tindakan itu, emosi pelajar yang dirotan kembali ceria dan tidak berdendam. Mendidik pelajar memerlukan kasih sayang dalam ketegasan.
Menceritakan tentang kaedah merotan, Sheikh Lokman berkata, rotan tidak dilarang dalam Islam malah ada hadis yang menyatakan ibu bapa perlu merotan anak-anak dengan tujuan mendidik dengan cara-cara tertentu.
Jelasnya, bahagian badan yang ingin dirotan perlu mempunyai banyak daging seperti punggung, tapak tangan dan betis kerana dapat mengurangkan kesakitan dan risiko kecederaan seperti patah tulang.
Selain itu, seelok-eloknya menggunakan rotan kerana ia bersifat elastik dan tidak keras berbanding kayu, plastik atau besi. Jika menggunakan objek keras seperti penyangkut baju dan kayu, ia boleh mendatangkan kecederaan kepada individu yang dirotan.
“Perlu diingat, hukuman rotan yang dikenakan adalah untuk mendidik anak-anak, bukan bersifat menghukum semata-mata. Merotan anak-anak tidak seperti hukuman sebatan yang dikenakan di penjara. Anak-anak bukan pesalah yang melakukan jenayah, mereka masih dalam proses belajar dan perlu dibimbing,
“Hukuman tersebut dijalankan dengan penuh rasa kasih. Insya-Allah, dia akan turut dapat menyerap rasa sayang tersebut ketika dirotan,” tegasnya.
Tambah Sheikh Lokman, tangan yang digunakan untuk merotan tidak boleh diangkat sebaliknya perlu dilekatkan pada ketiak untuk mengehadkan kelajuan libasan rotan.
Sementara itu, Ramlee Abdul Rahman, 46, yang pernah bekerja sebagai tukang sebat di Penjara Kajang, Selangor memberitahu, hukuman sebat ke atas penjenayah dan merotan anak adalah sangat berbeza.
Hayunan rotan
Ramlee bertugas sekitar tahun 1990-an selama tiga tahun sebelum berhenti dan bekerja sendiri.
“Selain saiz rotan untuk menyebat lebih besar dan hayunan juga tinggi. Tukang sebat akan menghayun rotan bersaiz lebih besar daripada ibu jari itu seperti menghayun kayu golf.
Bapa kepada tiga anak itu memberitahu, dia turut merotan anak-anaknya sekiranya mereka melakukan kesalahan atau ingkar kepada arahannya.
Namun, kerjayanya sebagai tukang sebat tidak pernah mempengaruhi cara dia merotan anak-anaknya kerana bersifat lebih lembut dan menggunakan rotan yang kecil.
“Niat saya ketika menyebat pesalah adalah supaya mereka bertaubat dan sedar akan kesalahan mereka. Jika merotan anak-anak, sudah tentu saya mahu mereka berubah dan sedar akan kesalahan diri.
“Begitupun, sakit akibat rotan hanya sekejap. Saya akan lebih sakit jika anak saya menjadi insan yang tidak berakhlak. Mereka tahu, rotan itu tanda sayang, bukan kerana benci. Jika tidak dirotan, mungkin mereka masih melakukan kesalahan yang sama dan tidak pernah serik,” katanya yang turut dirotan oleh arwah bapanya.
Oleh KASANABILAH KAMARUL ZAMAN
Sumber: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan