02 Februari 2015

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Kini Berusia 41 Tahun



Kisah Orang KL

Tatkala rakyat bersiap sedia untuk menyambut Hari Wilayah Persekutuan pada Ahad, 1 Feb 2015 dengan tema "Wilayah Ceria" mereka yang menjadikan Kuala Lumpur sebagai tempat tinggal mempunyai cerita tersendiri untuk dikongsi bersama.

Kuala Lumpur, adalah yang pertama dan merupakan satu daripada tiga Wilayah Persekutuan di Malaysia, yang selepas itu diikuti oleh Labuan dan Putrajaya.

Hanya bermula sebagai pekan kecil perlombongan bijih timah, Kuala Lumpur yang diterokai sejak 1857 itu, kini berdiri megah hasil pertumbuhan dan pembangunan pesat sebagai ibu negara.


Dalam tempoh masa yang panjang itu, yakni melebihi empat dekad perjalanannya, wajah bandar raya ini sudah jauh berbeza hasil daripada pelbagai bentuk transformasi yang membanggakan.

Meliputi kawasan seluas 243 kilometer persegi bandar raya ini diteduhi bukit-bukau dan disuburkan dengan sungai yang mengalir dari mata air di Banjaran Titiwangsa.

Perut buminya pernah dibongkar dalam pencarian logam sehingga menyebabkan kuala sungainya dinodai daki lumpur, justeru lahirlah nama 'Kuala Lumpur' hasil sebutan mulut ke mulut orang terdahulu.

Sejarah menyebut kawasan ini dibuka oleh kapitan Cina Yap Ah Loy pada 1980-an. Beliau menjadi pemimpin kepada orang Cina yang berhijrah dari Tanah Besar China ke kota ini dalam usaha mencari kelangsungan hidup dengan melombong bijih timah.

Seabad lebih selepas itu, walaupun telah dipijak jutaan kaki yang mencari rezeki dan melalui pelbagai peristiwa namun Kuala Lumpur terus hidup dan membangun.

KUALA LUMPUR 1960-an

Mohd Hisham Talib mempunyai cerita untuk dikongsi bersama. Beliau datang ke Kuala Lumpur dari Teluk Intan pada 1967, dan empat tahun selepas Malaysia ditubuhkan. Kuala Lumpur masih dalam jajahan Selangor.

Mungkin didorong gelodak darah muda, Mohd Hashim, atau mesra dipanggil Jenggo, tidak betah duduk menumpang di rumah abang di Kem Tentera Wardieburn Setapak. Beliau dan beberapa rakan bujang yang lain mula membina 'rumah kilat' di kawasan lapang berdekatan.

"Kami ambil masa satu setengah hari untuk membina sebuah rumah. Siap sahaja rumah, beberapa hari selepas itu datanglah orang pejabat daerah runtuhkan. Satu hari kami kejar mereka dengan tukul dan kayu, mereka datang pula dengan FRU," ceritanya.

Dari hari ke hari lebih ramai yang mengikut langkah mereka. Dalam masa tiga bulan sahaja terbinalah satu penempatan melibatkan lebih 300 buah rumah. Pihak pejabat daerah akhirnya berhenti daripada mengambil tindakan.

Episod membangunkan setinggan yang dinamakan Kampung Pasir itu hanyalah sebahagian kecil pengalaman beliau. Peminat irama pop yeh yeh itu juga menyimpan kenangan manis bekerja sebagai pelakon tambahan atau 'pak pacak' di bawah seniman Allahyarham Tan Sri P.Ramlee di Studio Merdeka, Hulu Klang (sekarang FINAS).

Namun peristiwa hitam 13 Mei, 1969 yang menimpa Kuala Lumpur, khususnya di Kampung Baru, menjadi titik perubahan dalam hidupnya. Beliau yang menyaksikan sendiri pertumpahan darah ketika itu, memutuskan untuk memasuki perkhidmatan polis pada Ogos tahun yang sama. Keputusan itu juga dibuat setelah dinasihatkan P.Ramlee sendiri.

Tamat tempoh latihan, Jenggo memulakan tugas sebagai polis hutan. 10 tahun selepas itu, beliau kembali ke ibu kota dan melapor diri di Balai Polis Dang Wangi, Bahagian Jenayah. Jika sebelum ini beliau bertempur menentang komunis dalam hutan, kini beliau berhadapan pula dengan penjenayah di hutan konkrit.

Pada masa itu Kuala Lumpur telahpun diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan dan ibu negara Malaysia, iaitu pada 1 Feb 1974. Sebagai pusat ekonomi dan pentadbiran, populasinya semakin padat apabila menjadi tumpuan rakyat dari negeri lain.

Melangkah ke bulan Februari pada Ahad 1 Februari, 2015, maka genaplah sudah 41 tahun usianya Kuala Lumpur diwartakan sebagai Wilayah Persekutuan.

Bapa kepada empat anak ini bersara daripada polis selepas 37 tahun berkhidmat dan kini tinggal di bahagian lain bandar raya ini, Taman Lembah Keramat. Kini beliau berumur 67 tahun dan memandu teksi sekitar bandar raya ini.

Kuala Lumpur dahulu dan sekarang pada beliau sangat jauh berbeza. Pelbagai kemudahan yang dikecapi seperti pengangkutan awam, jalan raya, dan pusat-pusat perniagaan yang memberi peluang pekerjaan kepada anak bangsa, baginya nikmat yang wajib disyukuri.

Bagaimanapun ada sesuatu tentang bandar raya ini yang menggundahkan jiwa Jenggo.

"Anak muda. Mereka tiada disiplin. Tiada hala tuju. Dahulu pun pada zaman saya ada yang nakal-nakal, tetapi sekarang budi bahasa itu sudah semakin kurang. Kebanyakan mereka suka membuang masa, ponteng sekolah, dan terlibat dalam gejala tak sihat," luahnya.

Bagi beliau ini sangat penting memandangkan generasi mudalah yang akan mewarisi wilayah ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.



KUALA LUMPUR 1990-an

Selain itu, ramai warga asing, yang datang selepas era kemerdekaan negara ini untuk mencari rezeki di bandar raya ini, mempunyai cerita untuk dikongsi bersama.

Ye Aung, 32, dari Myanmar pertama kali menjejakkan kaki di Kuala Lumpur pada 1996. Beliau datang sebagai pekerja am atau buruh dalam sektor pembinaan.

Di bawah naungan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang baru sahaja siap dibina tahun itu, Kuala Lumpur dirasakan Aung sangat maju berbanding kampung halamannya di Yangoon, Myanmar.

"Orang KL pun baik-baik. Banyak tolong (saya) sesuaikan diri dengan kehidupan di sini," kata lelaki ini yang pernah terlibat dalam pembinaan KLIA dan Menara TM.

Aung seorang daripada ribuan pendatang asing, termasuk warga Indonesia, Bangladesh dan Nepal yang mula membanjiri Kuala Lumpur pada dekad itu.

Hasil kepesatan ekonomi negara ketika itu telah menggalakkan pertumbuhan perniagaan dan projek pembinaan yang memerlukan tenaga pekerja am.

Walaupun beliau hanya pendatang di sini, Aung tetap berasa bangga kerana pernah menyumbang kepada pembangunan Malaysia pada zaman pemerintahan Perdana Menteri Malaysia keempat Tun Mahathir Mohamed, yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin yang hebat.

"Saya amat mengagumi Tun Mahathir yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan terkenal di dunia.

"Orang Malaysia amnya dan Kuala Lumpur khasnya amat bertuah kerana duduk di sebuah negara yang makmur dan mempunyai banyak peluang untuk membina kehidupan yang baik, tidak seperti kami yang terpaksa meninggalkan negara sendiri semata-mata mahu beri keluarga makan," katanya yang kini bekerja dalam sektor perindustrian.

SEBUAH BANDAR RAYA YANG HARMONI

Berlatar belakang kesibukan lalulintas dan orang ramai yang lalu-lalang, Christine Lim, 25, duduk menikmati kopi di kafe kegemarannya di sebuah pusat membeli-belah di sini.

Seperti generasi muda Kuala Lumpur yang lain, sejak kecil lagi Christine mengenali bandar raya ini sebagai sebuah bandar yang membangun dan harmoni.

Segalanya ada di sini termasuk bermacam-macam jenis makanan, sama ada tempatan atau antarabangsa, fesyen terkini, seni atau hiburan.

"Saya harap keamanan ini terus berkekalan dan Kuala Lumpur akan menjadi setanding dengan bandar raya lain di negara maju lain, terutama dari segi pengangkutan awam," demikian harapan pelajar Kolej Taylor itu.

Beliau yang akan menamatkan pengajian tidak lama lagi, turut melihat prospek untuk membina kerjaya amat cerah di Kuala Lumpur.

Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid
Sumber: BERNAMA

Turut Memetik Sebahagian Tulisan Daripada Artikel:
Mengecapi Kehidupan 'Selesa' Warga Kuala Lumpur
Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA

0 comments: