02 Mac 2015

Aplikasi SLURP Kurangkan Masa Menunggu Di Restoran


Slurp memudahkan urusan untuk membuat pesanan makanan di restoran terutama pada waktu puncak.

SETIAP kali berkunjung ke restoran atau gerai, kita pasti tidak boleh lari daripada mengalami masalah ketika membuat pesanan makanan.

Adakalanya, kita terpaksa memekik-memekik memanggil pelayan untuk mengambil pesanan makanan di meja.

Kita juga pasti mempunyai pengalaman bergaduh dengan pelayan apabila menu dipesan tidak sama dengan yang dihantar.


Situasi itu pastinya mengganggu emosi untuk menikmati makanan di tempat tersebut, sekali gus menyebabkan hidangan yang dimakan berasa seperti tidak sedap.

Namun, menerusi Slurp iaitu sebuah sistem terminal pusat jualan (POS) berasaskan pengkomputeran awan untuk perniagaan makanan dan minum membolehkan pelanggan membuat pesanan menggunakan telefon pintar atau iPad.


Pelayan restoran akan melihat menu dan nombor kerusi pada alat khas selepas pelanggan membuat tempahan menerusi telefon pintar.

Salah seorang pengguna aplikasi tersebut, Shahrul Ambri Samsuddin berkata, dia sangat teruja apabila mengetahui wujudnya kemudahan tersebut di salah sebuah restoran yang sering dikunjungi di ibu negara.

Menurut pemuda berusia 28 tahun itu, Slurp memudahkan urusan untuk membuat pesanan makanan di restoran terutama pada waktu puncak.

“Selalunya, saya terpaksa menunggu sehingga 10 atau 15 minit sebelum pelayan mengambil pesanan.

“Namun kini, sebaik sahaja duduk, saya terus menghantar pesanan dan memperoleh makanan dengan cepat. Ini dapat menjimatkan masa saya,” katanya.

Sebelum itu, pelanggan perlu memuat turun aplikasi Slurp ke dalam peranti mereka secara percuma menerusi Google Play dan App Store.

Selepas itu, pelanggan perlu berkunjung ke mana-mana restoran yang menggunakan Slurp.

Menerusi aplikasi tersebut, pengguna boleh mendapatkan senarai menu serta harga yang disediakan restoran berkenaan.


Pengguna perlu klik pada butang menu yang dipilih untuk membuat pesanan.

Imbas kod

Bagi membuat pesanan, pengguna perlu klik pada butang harga makanan atau minuman yang dipilih terlebih dahulu.

Bagaimanapun, sebelum pesanan tersebut dihantar ke dapur, pengguna perlu mengimbas kod QR yang terdapat di atas meja.

Jelas anak kelahiran Temerloh, Pahang itu, aplikasi Slurp juga memudahkannya mendapatkan bil sebelum membuat bayaran di kaunter pembayaran.

Di samping itu, aplikasi Slurp membolehkan pengguna membuat pesanan makanan untuk dinikmati di rumah menerusi kaedah penghantaran oleh restoran berkenaan.

Katanya, urusan menjadi lebih mudah dan teratur selain dapat memberi pengalaman berbeza kepada pengguna selepas menggunakan Slurp.

“Ia satu inovasi yang menarik dan perlu diperluaskan ke seluruh negara terutamanya di restoran-restoran mamak 24 jam,” katanya yang berkhidmat sebagai penguatkuasa di sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur.

Pengasas Silent Mode Sdn. Bhd. (Silent Mode) iaitu anak syarikat kepada Terato Tech Sdn. Bhd., Reza Fahmi Razali berkata, idea untuk menghasilkan Slurp tercetus hasil daripada pengalaman berkunjung ke restoran-restoran terkemuka.

Katanya, pengalaman itu mencetuskan idea untuk menghasilkan sebuah platform yang membolehkan pelanggan membuat pesanan secara terus tanpa perlu menunggu pelayan.

“Slurp tercetus ketika kami berkunjung ke sebuah restoran yang menyediakan kemudahan iPad di tepi meja bagi membolehkan pelanggan membuat pesanan.

“Namun, pemilik restoran tersebut memaklumkan kepada kami bahawa sistem berkenaan memerlukan kos yang tinggi. Pengalaman itu mencetuskan idea untuk menghasilkan Slurp,” terangnya.

Jelas Reza, idea untuk menggunakan telefon pintar sebagai platform memesan makanan diperoleh daripada data yang menunjukkan bahawa masyarakat di negara ini lebih banyak luangkan masa menghadap peranti berkenaan.


PELAYAN perlu mengimbas kod bar bagi mendapatkan jumlah harga.

Selain itu, pemilik restoran juga boleh menggunakan Slurp untuk memudahkan pelayan mereka mengambil pesanan daripada pelanggan.

Situasi itu memudahkan pelayan kerana mereka tidak perlu berulang-alik untuk menghantar pesanan ke dapur, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi restoran.

“Slurp bukan sahaja dicipta untuk memudahkan pengguna tetapi pengusaha restoran turut merasai tempiasnya.

“Ini kerana, aplikasi ini dapat meningkatkan kecekapan operasi restoran dan meringankan tugas pelayan,” ujar Reza.

Slurp juga dapat memudahkan pengusaha restoran mendapatkan data prestasi jualan, melihat trend keluar masuk pelanggan dan jumlah pesanan yang diambil oleh setiap kakitangan.

Restoran terkemuka

Terang Reza, data-data tersebut sangat penting kepada pengusaha untuk membuat sebarang perubahan terhadap pengurusan restoran.

“Kami menerima maklum balas positif daripada pemilik restoran yang telah menggunakan Slurp.

“Hal ini kerana, ia berjaya membantu memajukan lagi perniagaan mereka hasil daripada data yang diperoleh daripada sistem ini,” katanya.

Sejak mula diperkenalkan pada Jun 2014, Slurp boleh berbangga apabila 10 buah restoran terkemuka di Lembah Klang telah menggunakan sistem tersebut.

Antaranya ialah Talent Lounge, Rotiboy, A Good Maid, Restoran Boat Noodle, Niko-Niko Onigiri dan Taiwan Recipe.


Aplikasi Slurp memudahkan pelanggan mendapatkan bil sebelum membuat bayaran di kaunter pembayaran.

Penolong Pengasas Silent Mode, Calvin Tam berkata, bagi pengusaha restoran yang berminat untuk menggunakan Slurp, mereka boleh melayari laman web www.getslurp.com.

Katanya, Slurp didatangkan dalam dua pakej iaitu Slurp Basic dan Slurp Premier dengan bayaran bulanan sebanyak RM150 serta RM300.

Kedua-dua pakej tersebut didatangkan bersama sistem terminal jualan berasaskan pengkomputeran awan, analisis dan laporan perniagaan.

“Kami menyediakan dua pakej Slurp untuk dimiliki oleh pengusaha restoran yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga cawangan,” katanya.

Jelas Calvin, pihaknya turut menyediakan perkakasan Slurp seperti iPad, pendiri iPad, sebuah mesin daftar tunai dan pencetak resit dengan harga RM4,888.

“Kos yang murah membolehkan pengusaha menggunakan Slurp di restoran mereka.

“Harga ini jauh lebih rendah daripada yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan seumpamanya di negara ini,” terangnya.

Oleh MOHD. SHAZWAN YUSOP
Sumber: Kosmo

0 comments: