03 Mac 2015

Keistimewaan Kedai Ayamas dan Restoran RasaMas



BERKONSEPKAN hidangan keluarga, Restoran RasaMas merupakan lokasi yang menjanjikan suasana santapan seperti di rumah sendiri.

Suasana dekorasi restoran yang nyaman dan bersih nampaknya menjadi keuta­maan Restoran RasaMas bagi memastikan pelanggan berasa selesa ketika menikmati hidangan bersama keluarga dan teman. Ini termasuklah ruang dalaman restoran yang kondusif memberikan keseronokan khususnya kepada golongan kanak-kanak.

Penggunaan cermin kaca di panel dinding pu­la menyuntik ilusi keluasan tatkala kaki melangkah ke dalam restoran apatah lagi permainan warna merah menimbulkan mood ceria. Keselesaan santapan semakin terasa apabila disambut dan dilayan mesra petugas restoran yang tidak lokek dengan senyuman.


Berbicara tentang menu, Restoran RasaMas menawarkan variasi hida­ngan mengikut cita rasa pelanggan terutamanya menu ayam panggang yang sentiasa menjadi pilihan.


Kedai Ayamas turut menawarkan khidmat penghantaran kepada pelanggan yang memesan hidangan ayam panggang.

Pengurus Kawasan RasaMas KL Sentral, Abd. Ghafar Yusoff berkata, menu ayam panggang disediakan dalam dua rasa berbeza dan rasanya yang tidak pedas ideal untuk dinikmati oleh kanak-kanak.

“Bagi mereka yang menggemari selera ala Barat ayam panggang Pepper rasa perisa lada hitam memenuhi kehen­dak itu. Ayam ini diperap de­ngan herba dan ramuan berkhasiat mengikut jangka masa tertentu sebelum dipanggang pada suhu kawalan agar ia dimasak sempurna.

“Ayam Panggang Percik pula khusus buat pelanggan yang mempunyai cita rasa Asia dan menggemari rasa herba pada hidangan tersebut. Menariknya, menu ini turut mendapat permintaan tinggi daripada pelancong luar negara yang ingin merasai signatur sajian tempatan,” ujarnya.

Selain daripada itu, para pelanggan juga berpeluang memesan menu tambahan lain yang ditawarkan di Restoran RasaMas. Antaranya hidangan Asam Laksa dan Kari Laksa yang memikat selera. Pes asli yang direneh dengan didihan terkawal membuatkan setiap titisan kuah itu amat bermakna.

Beralih lidah pada cita rasa Barat, Restoran RasaMas juga menyediakan beberapa menu pilihan seperti fish and chip, chicken chop, spageti dan burger.

Bagi mereka yang datang bersama anak kecil boleh mencuba set hidangan junior yang menyajikan gaya persembahan sajian menarik dan lazat.

“Kanak-kanak gemarkan makanan yang ringkas dan sedap.

“Justeru, kami hidangkan menu Chicken Rice with Drummets dan Crispy Fried Tofu, Chicken Rice with Honey Prime Roast dan Crispy Fried Tofu, spageti bersama koktel sosej dan koktel sosej yang dihidangkan bersama curahan sos perang,” tuturnya mengenai sajian makanan di Restoran RasaMas yang se­imbang dengan karbohidrat dan kaya kan­dungan pati galian.

Ayam Panggang Oishii

Terkini, Restoran RasaMas menawarkan menu promosi Ayam Panggang Oishii selama dua bulan yang berakhir pada 1 April 2015 ini bersempena peralihan musim bunga di negara Jepun.

Diinpirasikan daripada resipi masakan turun-temurun dari Jepun, perkataan Oishii sendiri membawa maksud sedap di Negara Matahari Terbit itu. Pastinya menu terbaharu tersebut memberi pengalaman rasa yang menyelerakan.

“Ayam panggang ini diperap bersama ramuan istimewa sos soya dan sedikit madu. Ia kemudian dimasukkan ke dalam ketuhar dan dipanggang sempurna.

“Sebelum dihidangkan, Ayam Panggang Oishii disapu sos teriyaki bersama sedikit ekstrak nanas untuk rasa kemanisan asli buah,” jelasnya yang turut memberitahu pelanggan boleh jimat 50 peratus daripada harga sebenar.


Kedai Ayamas menampilkan konsep kedai serbaneka.

Selain itu, Restoran RasaMas turut membuat promosi bulanan pada pertengahan dan akhir bulan yang menawarkan satu hidangan percuma pada setiap pembelian bagi menu terpilih.

Jelas Ghafar, restoran itu turut menawarkan khidmat katering minimum 100 orang tetamu bagi majlis keramaian.

Dalam pada itu, seorang pelajar jurusan perakaunan dari Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Taman Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur, Shaffawani Mohd. Sukri, 20, berkata, dia sudah jatuh hati dengan keenakan resipi Ayam Panggang Oishii walaupun baru pertama kali mencuba hidangan tersebut.

“Menu promosi Ayam Panggang Oishii berjaya memikat selera saya. Kombinasi sos, sup bebola, sayuran segar dan tofu goreng membuatkan saya bagaikan berada di Jepun.

“Sajian ini sangat berbeza dengan restoran-restoran lain yang menawarkan menu ayam panggang,” je­las­nya yang turut menggemari keunikan sos cicah ayam panggang tersebut.

Jelas pelajar tahun dua itu lagi, Restoran RasaMas sangat sesuai dijadikan lokasi bagi meraikan hari istimewa seperti sambutan hari lahir dan ulang tahun perkahwinan.

Menariknya, selain menikmati keistimewaan menu ayam panggang di Restoran RasaMas, para pelanggan juga boleh mendapatkan hidangan Ayam Panggang Oishii di rangkaian Kedai Ayamas.

Di Kedai Ayamas pelanggan boleh merasai hidangan ayam panggang istimewa yang mempunyai variasi rasa tersendiri seperti Golden, Percik dan Pepper serta hidangan set nasi yang sesuai dengan cita rasa masyarakat Asia.

Menepati selera Asia

Menurut Pengurus Kawasan Ke­dai Aya­mas, Fauzura Abdul Rahman, keistimewaan Kedai Ayamas terletak pada perkhidmatan penghantaran dan khidmat pesanan secara dalam talian buat pelanggan yang ingin memesan hidangan yang ditawarkan.

“Caranya mudah saja, pelanggan hanya perlu menghubungi khidmat penghantaran di talian 1300 88 2323,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rangkaian Kedai Ayamas di Wisma KFC, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Selain hidangan variasi menu ayam panggang, Kedai ­Ayamas turut menawarkan produk-produk runcit lain bagi mempelbagaikan pilihan pelanggan.

“Di sini, ka­mi juga menawarkan ayam segar serta produk lain seperti makanan sejuk beku dan minuman sebagai nilai tambah buat pelanggan.

“Bagi mereka yang membeli produk sejuk beku seperti nuget ayam, bebola ayam, karipap dan po­pia kami turut menyediakan khidmat goreng percuma,” katanya.

Fauzura berkata, sehingga kini terdapat lebih 75 rangkaian Kedai

Ayamas di Semenanjung Malaysia dengan 72 daripadanya menyediakan perkhidmatan penghantaran.

Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Suhaila Mohd. Ariffin, 39, berkata, dia dan beberapa rakannya sering mengunjungi kedai tersebut bagi menikmati hida­ngan makan tengah hari.

“Memandangkan lo­ka­si kedai ini berdekatan dengan tempat kerja, saya sering mengunjunginya dan set nasi serta ayam panggang menjadi pilihan. Lagipun ia dijual pada harga yang berpatutan. .

“Konsep yang diperkenalkan di kedai ini amat menarik. Ia turut menawarkan produk sampingan kepada para pelanggan,” ujarnya.

Tambah Suhaila, perkhidmatan penghantaran yang disediakan oleh Kedai Ayamas juga memudahkannya membuat pesanan makanan dari rumah.

“Dengan tersedianya perkhidmatan penghantaran ini, ia memudahkan pelanggan memesan hidangan pada bila-bila masa,” katanya.


Oleh HAIKAL RAMAN dan FARID AHMAD TARMIJI
Sumber: Kosmo

0 comments: