04 Mac 2015
Penipuan Alam Siber ~ Yang Duduk Diam Pun Boleh Tertipu
BETTY COLE, Tina Ab, Jessica Wilson dan Sheena Edward sudah tentu nama ini semua milik orang perempuan. Tetapi yang peliknya mereka ini menghantar emel kepada saya dalam bahasa Inggeris mahu berkenalan lebih rapat dan kalau boleh mahu menjadi teman hidup!
Tepuk dahi saya membacanya. Setiap kali dapat emel sebegini, saya akan tertawa. Agak-agaklah kalau hendak menipu. Nampak sangat main hentam keromo, tidak tahu lelaki atau perempuan, asalkan dapat mencari mangsanya. Sudah jelas ini semua mengarut. Mungkin hendakkan wang atau mahu diumpan menjadi keldai dadah.
Tetapi itulah, dalam saya bergelak ini dan mungkin juga ramai yang lain turut menerima emel sebegini juga tertawa, rupa-rupanya diam tak diam, ramai juga yang sudah terjebak.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), saban tahun kes salah laku atau penipuan di alam siber terus meningkat. Contohnya, pada tahun 2010, jumlah kes yang melibatkan salah laku siber adalah sebanyak 8,090 manakala 2011 meningkat pada 15,216. Pada 2012 jumlah itu menurun kepada 9,986 tetapi meningkat semula pada tahun 2013.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sering mendedahkan kepada kita mengenai statistik penipuan sebegini di samping terus mengingatkan agar orang ramai tidak mudah terpedaya. Namun begitu, ramai juga terkena. Ruginya bukan setakat ratusan ringgit tetapi mencecah ratusan ribu ringgit.
Yang ditipu bukannya orang yang tidak berpendidikan tinggi, apatah lagi yang buta huruf tetapi orang yang cerdik pandai dan golongan profesional. Itu kata PDRM. Agak menghairankan sekarang ini, orang cerdik pandai paling senang ditipu berbanding yang biasa-biasa.
Yang hairannya juga, mangsa yang kena tipu ini begitu percaya kepada orang yang tidak dikenalinya. Yang tidak pernah bersua muka. Sedangkan orang yang kita kenal dan rapat pun boleh menipu kita, inikan pun orang yang kita tidak tahu asal usulnya.
Selain taktik ingin berkenalan, ada yang menghantar emel kononnya si penerima emel akan mendapat wang ratusan ribu ringgit iaitu harta yang diwasiatkan oleh orang dari luar negara yang telah meninggal dunia kerana mereka tidak ada pewaris. Justeru pihak di sana meminta maklumat lengkap kita untuk pemindahan wang. Ini pun ramai yang sudah tertipu.
Tidak ada kena-mengena dengan kita pun, boleh dapat wasiat puluhan ribu ringgit. Jika difikirkan secara logik, tidak ada sesiapa yang akan beri wang sebegitu banyak kepada kita begitu sahaja. Tidak buat apa-apa pun boleh dapat wang yang banyak. Hendak cari pewaris pun sampai melangkaui benua!
Sedangkan kadang-kadang apabila kita kurang membayar 5 sen di kedai pun, juruwang atau tauke kedai akan menuntut kepada kita wang 5 sen tersebut, inikan pula hendak beri saja-saja ratusan ribu ringgit! Pihak bank pun begitu juga, kalau kita tidak cukup bayar RM1 pun dia akan gigih mengingatkan dan menuntutnya.
Tetapi itulah disebabkan umpannya duit, ramai yang gelap mata. Mangsa menolak untuk berfikir secara logik dan kewarasan berfikir pun terus hilang.
Baru-baru ini pula, saya menerima sistem pesanan ringkas (SMS) mengucapkan tahniah sim kad telefon saya telah meraih RM19,000 dan meminta saya menelefon nombor yang diberikan. Tak pasal-pasal hendak beri saya wang sebanyak itu. Logikkah?
Ini lagi satu penipuan yang kerap kali didedahkan oleh pihak PDRM dan media. Sekali lagi pada yang gelap mata, mereka akan melonjak gembira tetapi percayalah kegembiraan itu pasti tidak akan lama.
Betullah kata seorang kawan, hidup ini penuh dengan penipuan. Bunyinya macam kejam tetapi ada kebenarannya. Kalau tidak dapat menipu kita depan-depan, di belakang-belakang dan di alam siber pun boleh. Yang duduk diam-diam tidak kacau orang pun boleh kena tipu, inikan pula yang tidak reti duduk diam.
Oleh: FAUZIAH AROF
Sumber: Utusan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
betul...betul, setuju sgt2.sbb byk sgt kes penipuan skrg ni..tp entah lah kenapa ramai pulak yg tertipu dgn mudah...hurmmm :/
Catat Ulasan