25 April 2015

Ujian Personaliti Kriteria Sebelum Diterima Bekerja


Sesetengah pekerjaan seperti polis, calon dikehendaki menjalani ujian working memory iaitu untuk menguji kepantasan otak membuat sesuatu keputusan. – Gambar hiasan

Beberapa hari yang lalu, kita dikejutkan dengan satu amuk seorang pengawal keselamatan yang menyebabkan seorang pegawai bank terbunuh dan seorang lagi cedera.

Dua tahun lalu, seorang pengawal keselamatan menembak mati seorang pegawai di sebuah bank terkemuka Subang Jaya, Selangor sebelum melarikan wang berjumlah RM450,000.

Dalam kedua-dua kes tersebut, ia membuatkan kita tertanya-tanya, mengapa manusia bertindak begitu kejam terhadap orang lain. Lebih merisaukan apabila kekejaman itu dilakukan pula oleh mereka yang sepatutnya bertindak menjaga orang lain.


Bagaimanapun, persoalan yang lebih utama, apakah kriteria yang sepatutnya diwujudkan sebelum sesebuah organisasi memilih kakitangannya khususnya bagi pekerjaan yang terdedah dengan penggunaan senjata dan menjaga keselamatan?

Sejak beberapa tahun ini, beberapa penambahbaikan telah dilakukan dalam proses melantik seseorang untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan. Antaranya, proses saringan dadah dan jenayah. Bagaimanapun, ia mungkin tidak mencukupi.

Di Australia misalnya, bagi sesetengah jenis pekerjaan seperti penyembelih kambing, sebelum seseorang itu dilantik, mereka perlu melalui ujian personaliti untuk melihat sama ada mereka mempunyai sifat pemarah yang melampau atau masalah personaliti yang lain.

Pekerja yang bakal dipilih juga akan dinilai sama ada mereka mempunyai kecenderungan sebagai pemabuk yang teruk atau tidak. Hal ini dinilai terlebih dahulu kerana biasanya pisau yang digunakan untuk menyembelih adalah sangat tajam. Sekiranya berlaku konflik sesama pekerja, ia mungkin akan menimbulkan musibah termasuk kecederaan dan kematian.

Dalam sesetengah pekerjaan seperti polis misalnya, ada cadangan untuk menguji working memory sebelum mereka dipilih masuk ke dalam perkhidmatan. Working memory ialah kepantasan otak untuk membuat penilaian sebelum satu-satu keputusan dibuat.

Kriteria lain

Dalam keadaan anggota keselamatan perlu melakukan tembakan kepada penjenayah misalnya, working memory inilah yang akan menentukan sama ada tembakan patut dilakukan atau tidak. Ia juga berfungsi untuk menilai sama ada suspek tadi seorang yang berbahaya, bersalah atau tidak.

Ini bermaksud bahawa dalam dunia pekerjaan yang kian mencabar, kelayakan akademik semata-mata tidak lagi mencukupi untuk membolehkan seseorang itu diterima bekerja. Banyak lagi kriteria lain yang patut diberikan keutamaan berbanding dengan kelulusan akademik.

Dalam konteks pekerjaan seperti pengawal keselamatan itu, ia dianggap sebagai pekerjaan ‘kelas dua’. Ia tidak memerlukan kelulusan yang tinggi seperti bidang pekerjaan lain. Ia juga mungkin boleh menerima sesiapa sahaja asalkan mempunyai tahap kesihatan yang baik.

Di sesetengah tempat, kita dapat melihat ada pengawal keselamatan yang merupakan pendatang luar yang tidak tahu berbahasa Melayu dengan baik.

Semua ini menimbulkan tanda tanya, apakah kriteria yang patut ada sebelum seseorang boleh masuk ke dalam dunia kawalan keselamatan?

Tanpa proses saringan yang sempurna, ada kemungkinan kita mungkin memilih mereka yang mempunyai masalah personaliti, termasuklah mereka yang pemarah dan tidak mampu mengawal perasaan untuk memegang senjata api.

Ada pula berkemungkinan mempunyai kecenderungan untuk melakukan jenayah dan mereka pula diletakkan untuk menjaga peti besi.

Dalam kes amuk pengawal keselamatan tadi, kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Lelaki tadi mungkin mempunyai masalah personaliti.

Dia juga mungkin mempunyai masalah dengan majikannya, atau masalah-masalah lain seperti keluarga dan kewangan.

Antara pandangan awal mengapa manusia boleh begitu cepat terangsang dengan kemarahan adalah disebabkan kekecewaan mereka dengan satu-satu perkara.

Apabila mereka cuba mendapatkannya, mereka mungkin menemui jalan buntu. Inilah yang cuba dirumuskan oleh teori Frustration-Aggression Hypothesis oleh Dollard dan Milller (1941) yang kelihatannya masih lagi benar dalam keadaan tertentu.

Hasilnya, kekecewaan mereka tadi mungkin telah diarahkan kepada orang lain yang tidak ada kaitan dalam kekecewaan mereka.

Individu berkualiti

Ia menjadi lebih teruk dalam keadaan apabila individu tadi tidak mempunyai upaya untuk melakukan coping strategy yang betul.

Semua ini adalah elemen psikologi yang penting bagi membolehkan seseorang mengawal dirinya khususnya dalam keadaan yang tertekan atau terancam.

Sebab itulah, dengan berlakunya banyak kes yang melibatkan pengawal keselamatan di Malaysia, mungkin penambahbaikan perlu dilakukan secara berterusan.

Sesuai dengan pekerjaannya yang menjaga keselamatan orang ramai dan aset, mungkin sudah tiba masanya kelayakan akademik yang baik perlu menjadi salah satu syaratnya.

Ini akan membolehkan kita menerima individu yang berkualiti sahaja. Calon juga mestilah disaring dengan ujian personaliti tertentu, agar kita mampu memilih mereka yang mempunyai daya kesabaran yang tinggi apabila menghadapi situasi yang tidak dijangka.

Kita tidak boleh beranggapan bahawa pengawal keselamatan adalah pekerjaan yang hanya sesuai untuk golongan tercicir persekolahan atau tidak bersekolah tinggi.

Sumber: Kosmo

0 comments: