Nuff Atas

18 Mei 2015

Fahami Kecelaruan Kognitif-Neuro



Kebole­han untuk meng­ingati sesuatu perkara adalah salah satu fungsi kognitif atau minda individu yang sangat penting. Kepentingan memori dalam kehidupan seharian memang tidak dapat disangkal. Malah, kehidupan seseorang dalam aspek sosial mahupun profesional sudah tentu akan terjejas jika seseorang itu menggalami gangguan dalam fungsi minda ini.

Gangguan ingatan seperti lupa adalah perkara yang normal dalam kehidupan seharian. Setiap individu sudah tentu pernah terlupa dari semasa ke semasa. Walaupun ia perkara yang tidak menyenangkan dan boleh menimbulkan pelbagai masalah, namun bukanlah sesuatu yang serius.
Bagaimanapun, ia harus dipandang serius jika insiden-insiden lupa menjejaskan fungsi kehidupan seharian seseorang.


Selain ingatan, gangguan-gangguan terhadap fungsi kognitif lain seperti kebolehan untuk memberi perhatian, aspek pembelajaran, bahasa, persepsi, dan sosial sudah tentu akan mendatangkan masalah bagi individu untuk menjalani kehidupan seharian mereka.

Menurut buku Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5) terbitan American Psychological Association, kecelaruan terhadap fungsi kognitif ini dinamakan kecelaruan kognitif-neuro yang diklasifikasikan sebagai kecelaruan major ataupun minor.

Ia meliputi kecelaruan dan gangguan seperti delirium, dementia, dan amnesia yang menjejaskan bukan sahaja fungsi ingatan seseorang, malah memberi kesan pada aspek lain seperti aspek pembelajaran, bahasa, persepsi dan fungsi kognitif dalam kehidupan sosial seseorang.

Penyebab dan rawatan

Secara umumnya, kecelaruan kognitif-neuro ini atau kecelaruan sistem kognitif individu adalah disebabkan oleh gangguan terhadap otak melalui perubahan berbentuk sementara ataupun kekal, yang berlaku terhadap struktur tisu mahupun komposisi kimia otak seseorang.

Ia berlaku disebabkan oleh pelbagai perkara termasuk disebabkan faktor umur, strok, kecederaan pada kepala, penyakit dari jangkitan HIV, penyakit Parkinson, dan lain-lain penyakit yang menyebabkan kemerosotan fungsi otak.

Selain itu, fungsi kognitif seseorang juga boleh terjejas melalui pengambilan berlebihan bahan-bahan seperti dadah, alkohol, dan terdedah kepada bahan-bahan beracun.

Walaupun kemerosotan fungsi kognitif lazimnya dikaitkan dengan peningkatan umur, ia juga boleh berlaku di mana-mana peringkat umur. Terutamanya yang disebabkan oleh pengambilan bahan seperti alkohol dan dadah selain kecederaan pada otak.

Oleh yang demikian, risiko kemerosotan fungsi kognitif ini lebih tinggi dalam kalangan mereka yang mengambil alkohol secara berlebihan dan berpanjangan dan juga barang terlarang seperti dadah. Selain itu, atlet juga terdedah kepada risiko kemerosotan fungsi kognitif melalui kecederaan pada kepala seperti konkusi.

Ia merujuk kepada gegaran yang berlaku pada otak disebabkan oleh berlaga, terjatuh dan lain-lain punca khususnya mereka yang terlibat dalam sukan seperti sukan mempertahankan diri, ragbi, bola sepak, dan lain-lain sukan yang bercirikan pertembungan.

Gegaran pada otak ini boleh menyebabkan pelbagai gejala fizikal, emosi dan juga kognitif termasuk kemerosotan fungsi kognitif seperti hilang ingatan. Walaupun kesan ini tidak teruk, langkah-langkah pencegahan perlu diambil untuk mengelak daripada menjadi buruk.

Diagnosis untuk menentukan bahawa seseorang itu mengalami kecelaruan kognitif-neuro sama ada major ataupun minor perlu dilakukan oleh pakar psikiatri ataupun psikologi. Walau bagaimanapun, pengetahuan berkenaan gejala kecelaruan ini dapat membantu untuk mengenal pasti kecelaruan ini dan dirujuk kepada pakar yang berkaitan.

Gangguan ingatan yang kronik seperti kesukaran mengingati nama-nama objek umum, sesat di laluan yang biasa ditempuhi, perubahan personaliti dan emosi yang drastik merupakan petunjuk untuk merujuk seseorang kepada perhatian pakar.

Terdapat pelbagai pilihan rawatan untuk menangani kecelaruan kognitif-neuro ini seperti terapi pemulihan kognitif. Terapi ini memberi tumpuan terhadap proses pembelajaran semula kemahiran kognitif yang telah hilang dengan tujuan untuk membantu individu dalam menguruskan rutin setiap hari.

Kehilangan fungsi asas kehidupan sudah tentu akan menggangu emosi individu yang terlibat. Oleh yang demikian, aspek penting dalam membantu individu selain pemulihan fungsi-fungsi kognitif ialah sokongan sosial yang diberikan.

Selain itu, penglibatan dalam aktiviti-aktiviti fizikal dan sukan, hobi dan aktiviti-aktiviti sukarela dan kemasyarakatan boleh menjadi strategi untuk membantu individu mengharungi pengalaman ini.

Oleh: ANUAR HASHIM  [17 Mei 2015]
Sumber: Utusan

0 comments: