12 Mac 2011

Tsunami Di Jepun Selepas Gempa 8.9



TOKYO, 11 Mac (Jumaat): Gempa bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun dengan ukuran 8.9 pada skala Richter, melanda timur laut Jepun, mencetuskan gelombang tsunami sehingga setinggi 10 meter pada kelajuan 1,000 kilometer sejam dan menyebabkan lebih 1,000 orang terbunuh. Bencana itu berlaku pada pukul 11.45 pagi waktu tempatan. Wilayah Miyagi, Iwate dan Aomori, adalah tiga wilayah yang teruk dilanda gempa bumi.

Menurut Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi tersebut berpusat 130 kilometer dari pantai timur Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer. Sendai terletak 400 km dari Tokyo.



Gempa bumi menyebabkan kerosakan besar kawasan di utara Jepun. Berjuta-juta rumah di seluruh Jepun bergelap, rangkaian telekomunikasi ditutup dan sistem kereta api dihentikan serta-merta menyebabkan 10 juta rakyat Jepun terkandas.



Pada 20 Mac 2011, Jumlah penduduk yang disahkan maut atau disenaraikan hilang oleh agensi polis nasional Jepun meningkat kepada lebih 21,000 orang semalam, sembilan hari selepas gempa bumi besar-besaran dan tsunami melanda negara itu.

Agensi polis nasional berkata 8,450 orang disahkan maut dan 12,931 disenaraikan secara rasmi sebagai hilang sehingga pagi 20 Mac akibat malapetaka 11 Mac lalu.

Angka kematian itu melepasi gempa dengan magnitud 7.2 yang melanda bandar pelabuhan barat Jepun di Kobe pada 1995, mengorbankan 6,434 orang.

Gempa 11 Mac lalu kini menjadi bencana alam paling teruk Jepun sejak Gempa Bumi Besar Kanto 1923, yang mengorbankan lebih 142,000 orang. (Rujuk: BHarian)



Beberapa loji jana kuasa nuklear dan pusat penyulingan minyak ditutup manakala sebuah firma pengeluar besi utama terbakar. Kira-kira 4.4 juta rumah di bahagian utara Jepun terputus bekalan elektrik.



Gelombang tsunami memusnahkan hampir apa saja di laluannya termasuk ladang pertanian, bangunan, rumah, kapal, kenderaan dan menyebabkan kebakaran. Tsunami turut menenggelamkan kawasan tanah pertanian di bandar Sendai, timur Jepun yang mempunyai sejuta penduduk. Turut disapu tsunami ialah Iwate, Miyagi dan Aomori.



Berikutan gempa dengan kekuatan 8.9 skala Richter yang melanda Jepun, amaran tsunami dikeluarkan oleh Pusat Amaran Tsunami Amerika di seluruh Pasifik, sehingga sejauh Amerika Selatan, Kanada, Alaska dan seluruh pantai barat Amerika Syarikat.

Antara negara yang menerima amaran tsunami ialah: Russia, Taiwan, Filipina, Indonesia, Papua New Guinea, Fiji, Mexico, Guatemala, El Salvador, Costa Rica, Nicaragua, Panama, Honduras, Chile, Ecuador, Colombia dan Peru.



Sumber:
http://www.kosmo.com.my
http://www.bharian.com.my
http://www.utusan.com.my
______________________________________________________________________



Jepun adalah kepulauan yang berada dalam Lingkaran Api Pasifik. Tokyo terletak dalam satu daripada kawasan yang amat berbahaya. Bandar raya itu berada di antara persimpangan tiga pentas benua Eurasian, Pasifik dan Laut Filipina yang bertentangan antara satu sama lain, mewujudkan tekanan seismik paling besar. (Rujuk: http://www.bharian.com.my )

Orang Jepun memperkenalkan istilah tsunami, bermaksud ombak gergasi, kepada dunia. Sememangnya fenomena laut naik ke darat itu menjadi sebahagian daripada sejarah Jepun. Tsunami yang dijana oleh gempa bumi, berlaku beratus-ratus kali setahun di Negara Matahari Terbit itu.



Jepun terletak di atas beberapa plat tektonik menyebabkan ia mengalami kira-kira 1,000 gegaran setahun.

Pada tahun 1923, satu gempa bumi besar melanda Tokyo. Dikenali sebagai gempa bumi Great Kanto, gempa sekuat 7.9 pada skala Ritcher itu mengakibatkan kebakaran rumah-rumah kayu dan membunuh 100,000 orang.

Pada tahun 1995, satu lagi gempa berukuran 7.9 melanda bandar pelabuhan Kobe di barat Jepun. Banyak lebuh raya bertingkat berguguran dan beribu-ribu bangunan hancur. Seramai 6,400 orang terbunuh dan lebih 400,000 cedera.(Rujuk: http://www.kosmo.com.my)


___________________________________________________________________

Sementara itu,

Tsunami yang melanda pantai timur Jepun berlaku dua hari selepas beberapa saintis memberi amaran mengenai pergerakan bulan yang boleh menyebabkan bencana alam di Bumi, lapur sebuah akhbar semalam.

Pergerakan bulan itu yang digelar adi bulan, diramalkan berlaku pada 19 Mac ini apabila bulan berada paling rapat dengan Bumi sejak tahun 1992. Ketika itu, jarak bulan dan Bumi sekitar 354,507 kilometer berbanding 384,403 kilometer pada hari-hari biasa.



Pada kedudukan tersebut, daya graviti bulan adalah sangat kuat dan dikhuatiri boleh mencetuskan bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi. Ahli astronomi Amerika Syarikat (AS) Richard Nolle percaya pergerakan bulan itu mencetuskan bencana di Bumi.



"Fenomena itu memiliki kaitan sejarah dengan ribut kencang, air pasang besar dan gempa bumi," katanya dalam satu wawancara dengan stesen ABC minggu ini.

Fenomena itu pernah berlaku pada 1955, 1974, 1992 dan 2005. Bencana tsunami yang menyebabkan 200,000 orang di Indonesia terbunuh itu melanda dua minggu sebelum fenomena bulan berada dekat dengan Bumi pada Januari 2005. - Agensi

Sumber:
http://www.kosmo.com.my



P/s: Ramalan saintis adalah berdasarkan pemerhatian. Bencana yang berlaku adalah tanda kekuasaan Allah dan sebagai peringatan kepada semua manusia.

Takziah kepada kerajaan dan rakyat Jepun di atas musibah gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu.
_________________________________________________________________



Pada 12 Mac iaitu sehari selepas peristiwa gempa bumi sekuat 8.9 pada skala Richter, Reaktor Nuklear di loji nuklear Fukushima Daiichi-I, 240 kilometer di utara Tokyo mengalami kebocoran radiasi mengakibatkan berlaku satu letupan.

Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan meluas masyarakat antarabangsa bahawa tragedi letupan loji nuklear di Chernobyl, Ukraine pada tahun 1986 yang mengorbankan lebih 9,000 nyawa manusia bakal berulang. (Rujuk: Kosmo)

Pihak berkuasa menetapkan kawasan larangan 20 kilometer di sekeliling loji nuklear Fukushima Daiichi milik Tokyo Electric Power (TEPCO) dan 10 kilometer di sekeliling sebuah lagi loji nuklear berhampiran. (Rujuk: Bharian)

Reaktor No. 3  di loji nuklear Fukushima Daiichi terbakar akibat gempa bumi Jumaat lalu.

Pada 14 Mac, Gas hidrogen di reaktor nombor tiga loji nuklear Fukushima Daiichi pula meletup, menyebabkan 11 cedera, tetapi tidak membocorkan radiasi seperti dibimbangi pelbagai pihak.

Jurutera bertungkus lumus menyejukkan teras reaktor yang musnah itu. Jika mereka gagal, bekas kalis radiasi di bahagian induk akan cair atau meletup, membebaskan bahan radiasi di udara.

Berikutan krisis nuklear itu, negara ketiga ekonomi terbesar dunia itu berhadapan dengan insiden terputusnya bekalan elektrik dan syarikat pengangkutan awam di Tokyo turut terhenti akibat tiada bekalan berkenaan. (Rujuk: Bharian)

Pada 15 Mac, 2 lagi loji meletup menjadikan empat daripada enam reaktor di loji nuklear Fukushima mengalami letupan hidrogen sejak gempa bumi melanda wilayah Tohoku. (Rujuk: Bharian)



INFO: KESAN RADIASI NUKLEAR KEPADA MANUSIA:

# Pendedahan radiasi berukuran 100 Rems akan merosakkan sistem peredaran darah menyebabkan sel limfosit darah akan berkurangan. Simptom awal selesema.

# Pendedahan kepada radiasi berukuran 200 Rems ke atas menyebabkan keguguran rambut dengan cepat, kerosakan saluran usus yang mengakibatkan mual, muntah dan cirit-birit. Pada kekuatan ini, radiasi boleh menyebabkan kerosakan saluran peranakan.

# Radiasi nuklear berukuran 1,000 hingga 5,000 Rems mengakibatkan kerosakan kepada pembuluh darah dan boleh menyebabkan jantung gagal berfungsi dan kematian.

# Pendedahan langsung kepada radiasi berukuran lebih 5,000 Rems akan menyebabkan sel otak rosak, selain membunuh sel saraf dan merosakkan pembuluh darah dalam jantung.

# Dalam jumlah tertentu, iodin radioaktif boleh merosakkan sebahagian atau seluruh bahagian kelenjar tiroid yang mengawal metabolisma (pengeluaran tenaga) manusia.

# Menurut data kesan pengeboman bom atom di Nagasaki dan Hiroshima menunjukkan mangsa cuma bertahan selama 10 tahun dan berdepan risiko jangka panjang seperti leukemia dan barah limfoma.

(Rujukan: Bharian)

Pihak berkuasa keselamatan nuklear Perancis (ASN) berkata, insiden letupan ke atas sebuah loji nuklear di Jepun dikelaskan pada tahap 5 atau tahap 6 mengikut skala antarabangsa dan dianggap berada pada tahap bahaya.

Tahap keselamatan dalam insiden letupan di loji tenaga nuklear di Fukushima itu boleh disamakan dengan tahap keselamatan dalam kejadian kebocoran di loji tenaga nuklear di Three Mile Island di Amerika Syarikat pada 1979.

Tahap risiko keselamatan tenaga nuklear mengikut skala antarabangsa diukur pada tahap 1 hingga tahap 7.

Anggaran risiko dalam kemalangan di loji Fukushima Daiichi Tokyo Electric Power Co itu, mengikut penilaian ASN berdasarkan data yang disediakan oleh agensi keselamatan nuklear Jepun menunjukkan ia berada pada tahap 4. (Rujuk: Utusan Online)
__________________________________________________________________

Lagi Gambar-Gambar Kesan Tsunami:






















Sumber Foto:
http://news.yahoo.com/

1 comments:

ijam ismail berkata...

ooo..sebab pergerakan bulan eh?
bru tau...
=)