11 Mac 2011

Bukti Cintakan Rasulullah SAW.

Oleh MOHD. HISHAMUDDIN MANSOR



Firman Allah SWT:

Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya). (al-Hasyr: 7).

Berdasarkan ayat di atas, syarat untuk dikasihi Allah SWT serta mendapat pengampunan daripada-Nya hendaklah menyintai Rasulullah saw serta mengikut ajaran yang disampaikan oleh baginda dengan sepenuhnya. Jangan sekali-kali menidakkan ajaran baginda, baik yang berupa suruhan mahu pun larangan.

Sabda Rasulullah SAW:

"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya kamu tidak akan sesat, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah rasul-Nya". (riwayat Malik)


Menyintai Allah dan Rasul hendaklah diutamakan daripada perasaan cinta dan kasih kepada yang lain. Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya:

Katakanlah jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta kekayaan yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya dan Allah tidak memberi pertunjuk kepada orang-orang fasiq. (at-Taubah: 24)

Justeru, mereka yang lebih mengutamakan perasaan cinta kepada bapa, cinta kepada anak, isteri, keluarga, harta, perniagaan dan tempat tinggal (rumah) melebihi daripada cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, golongan ini bakal mendapat seksaan yang amat pedih sama ada cepat atau lambat, di dunia mahu pun di akhirat.

Tegasnya, jika diletakkan antara kepentingan agama dan kepentingan dunia maka hendaklah diutamakan kepentingan agama dari segala-galanya.

Pernah suatu ketika Saidina Omar bin al-Khattab r.a berkata kepada Rasulullah SAW,
"Ya Rasulullah yang paling aku cintai dari segala sesuatu selain diriku sendiri".

Rasulullah SAW bersabda,
"Tidak! Demi Allah yang menguasai jiwaku, sehingga aku lebih engkau cintai melebihi daripada dirimu sendiri".

Lalu berkata Saidina Omar,
"Maka sesungguhnya engkau sekarang demi Allah, lebih aku cintai daripada diriku sendiri".

Nabi SAW bersabda:
"Sekarang wahai Omar, barulah benar kecintaanmu".



Menyintai Rasulullah SAW hendaklah dibuktikan dengan kepatuhan terhadap segala ajaran yang disampaikan oleh baginda.

Kewajipan mentaati baginda SAW juga dijelaskan dalam al-Quran:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (an-Nisaa': 59)

Maksud mentaati Allah dalam ayat di atas ialah mengamalkan isi kandungan al-Quran, manakala maksud mentaati Rasul pula ialah menjadikan segala ajaran baginda yang berupa hadis dan sunnah sebagai panduan.

Sedangkan mentaati Ulil Amri bererti mematuhi pemimpin yang mengetuai urusan kaum muslimin selagi mereka tidak menyeru kepada maksiat dan juga kemungkaran.

Firman-Nya lagi:

Sesiapa yang taat kepada Rasul, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan). (an-Nisaa': 80)

Ayat ini menegaskan, tunduk dan patuh kepada setiap perintah Rasul yang berupa peraturan dan syariat bererti tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT.

Ringkasnya, mengingkari Rasul bererti mengingkari Allah SWT kerana pada hakikatnya yang memerintah dan yang menegah itu sebenarnya datang daripada Allah SWT.

Sumber: utusan

1 comments:

Faidhyna Darwina berkata...

insyallah bersama2 lah kita mencintai Rasulullah s.a.w