18 April 2011

Apa Itu Hemofilia?



TAHUKAH anda ketika ini dianggarkan 2,200 orang di Malaysia mengalami masalah pendarahan dan daripada jumlah itu, 1,008 dilaporkan menghidap penyakit hemofilia A dan 180 lagi hemofilia B?

Namun, majoriti masyarakat negara ini tidak tahu malah tidak langsung mahu ambil peduli mengenai penyakit ini kerana ada yang menyifatkannya pendarahan biasa dan bukan masalah serius.




Hemofilia adalah gangguan pendarahan sepanjang hayat yang menghalang darah daripada membeku secara normal disebabkan kekurangan faktor pembekuan. Ini mengakibatkan pendarahan berpanjangan, justeru kecederaan kecil atau luka biasa boleh membawa kesan buruk serta membahayakan seseorang yang menghidap hemofilia, apatah lagi jika berlaku pendarahan dalaman.



Hemofilia adalah penyakit keturunan dan anak lelaki mempunyai peluang 50 peratus untuk mewarisi penyakit ini daripada ibunya. Ia membabitkan seorang bagi setiap 5,000 lelaki manakala anak perempuan mempunyai peluang 50 peratus menjadi pembawa.



Presiden Pertubuhan Hemofilia Malaysia merangkap pakar perunding patologi, Datuk Dr Faraizah Abdul Karim, berkata penyakit ini boleh mendatangkan kesakitan sehingga berisiko lumpuh dengan kerosakan teruk pada sendi, kehilangan upaya serta kematian awal jika semua ahli keluarga tidak dimaklumkan mengenainya.

“Masih belum ada ubat untuk hemofilia tetapi rawatan awal serta dilakukan berterusan nyata membolehkan pesakit hemofilia hidup lebih lama dan berkualiti.

“Rawatan yang betul membolehkan mereka yang dilahirkan dengan hemofilia bukan saja dapat menjalani kehidupan normal dan aktif malah tidak mustahil mampu mencapai kejayaan,” katanya ketika mempromosikan Hari Hemofilia Sedunia 2011.

Bertemakan ‘Cetus inspirasi, babitkan diri dalam rawatan untuk semua’, kempen Hari Hemofilia Sedunia 2011 pada 17 April ini menggesa masyarakat lebih peka terhadap pesakit hemofilia dan membantu mereka daripada segi emosi serta kewangan.

Lebih 300 ahli Pertubuhan Hemofilia Malaysia bersama kakitangan Bayer HealthCare dan rakyat Malaysia dijangka menyertai masyarakat antarabangsa untuk meraikan kehidupan sihat dan aktif di kalangan pesakit hemofilia sempena kempen itu pada tarikh berkenaan dengan pelbagai acara menarik termasuk acara jalan kaki dan kempen derma darah di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Tidak ketinggalan, disediakan gerai mainan manakala semua hasil kutipan pada hari itu akan disalurkan kepada Pertubuhan Hemofilia Malaysia.

“Sempena meraikan hari berkenaan, kami ingin menggalakkan orang ramai mengambil tahu masalah pendarahan ini dan menyokong pesakit menerusi tahap kesedaran dan kefahaman yang lebih tinggi.

“Langkah kecil ini amat penting bagi mereka apabila masyarakat di sekeliling faham dan sedar apa itu hemofilia. Selain sokongan berterusan daripada Bayer HealthCare, kami berharap dapat melihat lebih ramai rakyat Malaysia menyertai kempen ini,” tambah Dr Faraizah.

Sempena Hari Hemofilia Sedunia tahun ini, Bayer HealthCare mengadakan peraduan kreatif untuk memilih peserta Malaysia menyertai Kem Hemofilia Asia Pasifik Bayer HealthCare di Taiwan, Julai ini.

“Kem tahunan ini bertujuan membantu memperbaiki dan meningkatkan kualiti hidup generasi muda yang membesar dengan hemofilia.

“Ia pertama kali dianjurkan oleh Malaysia pada 2009, disusuli Indonesia pada 2010. Kem ini menghimpunkan kanak-kanak dan penjaga mereka dari seluruh rantau ini bagi menimba pengalaman dan pembelajaran, berkongsi cabaran dan memberi semangat kepada satu sama lain untuk mengecap nikmat hidup sepenuhnya,” ujar Pengurus Kanan Perhubungan Awam Bayer HealthCare, Janice Chow.

Sumber: Harian Metro

1 comments:

mykhalis berkata...

ada emeriksaan ke untuk periksa penyakit nie?