04 April 2011

Fenomena Pemanasan Global



Saya baru sahaja singgah dan terbaca salah satu entri rakan blogger yang bernama ‘Si Tembikai Susu’.

Dia menulis tentang cuaca yang sangat panas sekarang ini. Sehingga dia menyatakan hasrat dan keinginannya kalau boleh beliau nak masuk ke dalam peti sejuk untuk mendapatkan persekitaran yang sejuk dan nyaman.

Bukan ‘si tembikai susu’ sorang je yang merasakan dunia ini kini sangat panas. Saya pasti semua orang merasakan yang sedemikian. Demikian juga saya, anak-anak saya, keluarga saya dan rakan-rakan blogger yang lain. Walaupun hujan turun sekali-sekala dengan kadar yang agak lebat, tetapi ianya belum cukup untuk menyejukkan permukaan bumi yang telah sedia panas.

Cuma dalam hal ini untuk menyejukkan diri saya tak lah sampai masuk kedalam peti sejuk, atau freezer kilang atau gudang penyimpanan ayam atau daging. Cukuplah sekadar saya masuk ke dalam bilik yang berhawa dingin.

Fenomena kepanasan yang berlaku kini dikenali sebagai ‘Pemanasan Global’ (Global Warming). Punca Pemanasan Global antara lain adalah pertambahan ‘Zarah-zarah Rumah Hijau’. Zarah-zarah rumah hijau yang dikenalpasti penyumbang terbesar kepada pemanasan global adalah gas karbon dioksida dan CFC.




Punca lain adalah kemusnahan hutan yang berleluasa atau berlaku pengurangan jumlah bilangan tumbuh-tumbuhan kesan daripada aktiviti manusia.

Bagaimanakah cara tumbuhan memberi kesan kepada suhu bumi?

Tumbuhan berperanan dalam menjalankan fotosintesis. Fotosintesis menghasilkan gas oksigen yang antara lain berfungsi memberikan rasa sejuk dan nyaman kepada persekitaran selain fungsi penting yang kita tahu iaitu untuk pernafasan segala makhluk Allah di muka Bumi ini. Fotosintesis juga berperanan mengurangkan kandungan gas karbon dioksida di atmosfera bumi.

Apabila kurang tumbuhan di muka bumi ini maka gas karbon dioksida tidak dapat dikurangkan melalui proses semula jadi fotosintesis yang telah ditetapkan oleh Allah.

Adalah dibuktikan oleh para saintis dan pengkaji alam sekitar bahawa sebahagian besar punca pemanasan global adalah disebabkan gas karbon dioksida. Gas karbon dioksida berpunca daripada pembakaran bahan api fosil yang terdiri daripada arang batu, petroleum dan gas asli. Juga melibatkan sebarang aktiviti pembakaran yang lain.

Cuba anda senaraikan aktiviti-aktiviti manusia yang melibatkan pembakaran bahan api fosil. Saya beri contoh di sini adalah penggunaan kenderaan. Anda cari lagi contoh-contoh penggunaan yang lain.

Gas karbon dioksida yang banyak tebebas ini akan terkumpul di lapisan stratosfera atmosfera bumi. Lapisan karbon dioksida ini bertindak sebagaimana cermin kereta yang membenarkan cahaya masuk tetapi memerangkap haba daripada terbebas keluar.
CFC pula jatuh nombor dua selaku punca pemanasan global. Pembebasab zarah-zarah CFC ke atmosfera telah menyebabkan penipisan lapisan ozon yang berperanan menapis sinaran ultra ungu yang terdapat dalam cahaya matahari. Dengan kata lain panasnya bumi ini kerana banyaknya sinar ultra ungu yang masuk ke permukaan bumi.



Penggunaan CFC sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia digunakan sebagai bahan penyejuk yang menyejukkan peti sejuk, dan bahan penyejuk yang penting di dalam penyaman udara (yang seterusnya menyejukkan bilik dan rumah anda).

Rupanya di dalam fungsinya yang penting menyejukkan bilik dan rumah, terdapat pula fungsi negatif yang memanaskan bumi pula.

Suatu ketika dulu memang saya tak pakai pun penyaman udara. Konon nak menjaga atmosfera daripada kesan rumah hijau atau pemanasan global. Hakikat sebenarnya kedekut pahit nak bayar lebih untuk bil api (TNB). Padahal berapa sangatlah lebihnya.

Tetapi prinsip saya berubah apabila anak-anak saya yang bertaraf ‘budak bandar’ didapati alergi terhadap suhu persekitaran yang panas. Apabila cuaca panas, kebanyakan anak saya terutama yang peringkat bayi akan dinaiki ruam yang banyak di seluruh badannya. Kesian pulak menengoknya, tentulah gatal rasanya. Sebab itulah asyik menangis sahaja.

Untuk menyelesaikan masalah ini, maka saya pun pasang sebiji alat penyaman udara. Untuk berlaku adil kepada semua ahli rumah, disambil memelihara paras minima bil TNB, maka saya pasang dan letakkannya di ruang tamu. Sejak itu sehingga kini ruang lepak tak kira siang atau malam dan ruang tidur kami sekeluarga adalah di ruang tamu.

Yang herannya mereka semua selesa pula tidur berhimpit-himpit di ruang tamu yang kecil. Tak ada siapa pun yang heran dengan katil dan tilam yang gebu mereka di dalam bilik. Semuanya didapati lebih mementingkan suasana sejuk untuk tidur yang lena melebihi keperluan tilam yang empuk.



Moral cerita di sini sebagai kesimpulannya ialah cintailah alam sekitar kita. Sebagai penghuni alam, peranan terletak pada kesedaran semua melaksanakan sesuatu yang dapat menyumbang kepada pengurangan zarah-zarah rumah hijau. Seterusnya mengembalikan bumi kepada keadaan suhu yang selesa dan nyaman bagi semua orang.

Apakah sumbangan kita dalam mengatasi masalah ini?

Anda fikirkan dan kemudian laksanakan...

2 comments:

Tanpa Nama berkata...

gua selalunya takde kisah sangat panmas.. tido pon takde pasang kipas... sekarang ni.. mak aih... mau berpeluh satu badan ... manusia semakin rakus ... mengejar kemewahan....

Tanpa Nama berkata...

heeee. mmg pns la. sbb kt rmh sini x byk pokok. ngeee. tu cekodok tu tdo rilek je x pkai kipas kn, sekali sekarang?? haa x dapek la... penipisan ozon semakin laju. ngeee