19 April 2011

Pencegahan Sakit Belakang Adalah Terbaik



Tahukah anda empat dari lima orang di dunia menderita sakit belakang sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka?

Mungkin ada yang mengatakan khabar ini sengaja dibesarkan tetapi kita hanya perlu melihat situasi di sekeliling untuk melihat hakikat yang sebenarnya.

Bila membeli barangan di pasar raya, kita nampak ramai pelanggan mengangkat barangan yang dibeli secara membongkokan belakang padahal mereka sepatutnya membengkokan kaki bagi gerak 'mengusung' yang diperlukan.


Bagi pekerja kolar putih pula, mereka 'duduk' di meja kerja dan menghadap komputer masing-masing selama berjam-jam dan setelah penat bekerja dan pulang ke rumah ada yang akan terlena di atas sofa ketika menonton telivisyen.

Adakah senario yang digambarkan di atas menyamai rutin harian kehidupan anda? Kini semakin banyak terdapat iklan tentang pil, plaster, balm serta ubat sakit belakang dan ini adalah bukti bahawa insiden sakit semakin meningkat dalam masyarakat.



MEMAHAMI TULANG BELAKANG ANDA

Tulang belakang, juga di panggil tulang spina, adalah sebenarnya satu rangkaian tulang vertebra yang membentuk 'belakang' seseorang. Ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu servikal, torasik dan lumbar.

Bahagian servikal mempunyai tujuh tulang vertebra yang menyambungkan tengkorak kepada tulang belakang. Ia juga membentuk struktur leher selain memberi ruang untuk leher 'berpusing' ke kiri atau kanan.

Bahagian torasik pula adalah bahagian tulang belakang yang mempunyai paling banyak vertebra iaitu 12. Vertebra ini adalah di bahagian dada dan bercantum dengan tulang rusuk yang melindungi organ penting seperti paru-paru dan jantung.

Bahagian lumbar biasanya mempunyai lima atau enam vertebra. Bahagian ini adalah bahagian terkuat tulang belakang kerana ia menyokong berat badan. Ia juga bersambung dengan tulang pelvis.

Keseluruhannya, vertebra berfungsi melindungi kordus spinal dan saraf yang berkaitan. Kordus spinal adalah satu kumpulan saraf tunjang yang panjang serta sel-sel sokongan yang bersambung dengan otak lalu menjadikan sistem saraf pusat.

Fungsi lain vertebra tulang belakang ialah memberi fleksibiliti kepada pergerakan badan dan anggota, menyokong kerangka badan selain mengimbangi berat badan ketika berjalan atau berdiri.



SAKIT BAHAGIAN BAWAH BELAKANG

Kebanyakan sakit di bahagian bawah tulang belakang (LBP) berpunca daripada otot. Badan memerlukan otot yang kuat bagi memastikan postur yang betul tetapi kerana pelbagai sebab, ini tidak berlaku.

Di seluruh dunia, perubahan dalam gaya hidup memberi impak dan kesan terhadap kesihatan dan ini termasuk sakit belakang.

Di negara yang maju dan sedang membangun, masyarakat lebih cenderung meluangkan masa kepada bekerja daripada menjalani kehidupan mereka sendiri. Ini telah dikenalpasti sebagai antara sebab mengapa mereka yang bekerja lebih cenderung mengalami LBP.

Menurut Dr Barry Kluner: "Banyak kes LBP disalah diagnosa atau diberikan rawatan yang tidak sepatutnya dan ini menyebabkan masalah kesakitan berulang".

Katanya lagi, perlu diingat bahawa setiap kali LBP berulang menyebabkan 'kerosakan' akan meningkat. Kes sakit belakang yang boleh dianggap remeh mungkin sebenarnya mempunyai risiko penyakit osteoartritis degeneratif (OA) atau masalah piring spinal dan ini akhirnya akan menyebabkan penekanan serta stres pada saraf.

"Sakit belakang boleh terjadi pada mana-mana peringkat umur. Kejadiannya kini lebih prevalen di kalangan remaja dan anak kecil", kata Dr Kluner, pakar tulang belakang.

Beliau telah menjalankan operasi di Malaysia semenjak tahun 2001.



RAWATAN LBP

Bila ditanya mengenai rawatan LBP, Dr Kluner berkata terdapat beberapa cara yang digunakan oleh mereka yang mengalami sakit belakang bagi merawat masalah tersebut secara konservatif.

Antaranya rehat, menggunakan ubat penghilang sakit, manipulasi tulang spinal, ubat relaksasi otot, fisioterapopi serta kaedah mengurut.

Tetapi tiada rawatan tersebut boleh dikatakan berkesan sehingga punca masalah diketahui lebih awal dan pesakit tidaklah perlu 'tercari-cari' punca yang sebenarnya.

Beliau juga berkata kebanyakan sakit belakang yang berpunca daripada otot boleh pulih dalam hanya beberapa minggu jika diagnosa yang tepat dapat diberikan.

Jika sakitnya akut sudah tentu tempoh pemulihan juga akan mengambil masa yang lebih lama. Kesakitan berulang dapat dihalang jika punca sebenar LBP dapat diketahui kerana ini adalah kunci bagi kesihatan tulang belakang.



ORTOTIK

Kebanyakan aktiviti seperti bekerja, makan dan menonton telivisyen dijalankan secara 'duduk'. Menggunakan postur badan yang betul ketika melakukan aktiviti ini adalah penting bagi menghindari LBP atau kesakitan lain.

Menggunakan sokongan yang menghalang tulang pelvik dari 'senget' boleh membantu mengurangkan ketidak seimbangan pada puncanya dan mengurangkan risiko LBP.

BackJoy Orthotics dari Amerika Syarikat baru-baru ini melancarkan produk ortotik mudah alih di Pameran Perubatan dan Farmaseutikal Asia Tenggara ke-14 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Tanpa menggunakan pil atau preskripsi, dengan hanya duduk di atas alat ini, jajaran tulang belakang yang betul dan postur yang seimbang boleh didapati mereka yang menggunakannya dan ini boleh menghalang berlakunya LBP.

Menurut Bing Howestein, Pengarah Backjoy Orthotics: "BackJoy beroperasi rapat dengan badan anda bagi menyediakan sistem rawatan sendiri".

Produk ini sesuai digunakan oleh mana-mana peringkat umur dan ada ditawarkan di farmasi Vita Care dan stor Babyland. Ia akan ditawarkan di lebih banyak premis penjagaan kesihatan tidak lama lagi.



PENTINGNYA KESEDARAN

Di Amerika Syarikat kos perawatan bagi masalah LBP dianggar berjumlah AS$30 juta dalam setahun.

Kerugian masa bekerja, pengurangan produktiviti serta had dan sekatan dalam aktiviti harian adalah antara kemudaratan yang disebabkan LBP. Ini menyebabkan badan dan organisasi tidak dapat mengoptimum produktiviti.

Oleh itu masyarakat Malaysia perlu sedar betapa pentingnya mempunyai tulang spina yang sihat dan seperti mana masalah kesihatan lain, pencegahan adalah lebih lebih baik daripada rawatan.

Sumber: BERNAMA

1 comments:

Fyqa berkata...

thanks for sharing :)