Beberapa hari ini masyarakat Malaysia digemparkan dengan peristiwa penggodaman beberapa laman web kerajaan. Pihak kerajaan telah mengenalpasti 90% penggodam adalah rakyat tempatan bukan pihak antarabangsa.
Mari kita baca beberapa laporan berita yang saya kutip daripada akhbar-akhbar online tempatan.
Baru-baru ini, sebuah kumpulan menggelarkan diri mereka sebagai anonymous menyatakan hasrat untuk menggodam laman web kerajaan kerana mendakwa Malaysia sebagai salah satu negara paling tegas mengenakan sekatan, bukan saja Internet malah tayangan filem dan siaran televisyen.
Mereka merancang melakukan serangan yang dipanggil 'Operasi Malaysia' itu pada pukul 7.30 petang, Rabu waktu GMT (3.30 pagi Khamis waktu Malaysia). Ancaman mereka dimuat naik ke web i.imgur.com/ PTFWh.png Selasa lalu.
Kumpulan sama sebelum ini pernah menyerang laman web kerajaan Zimbabwe, Turki, polis Sepanyol serta memuat naik banyak video lucah ke Youtube sempena satu hari yang digelarkan mereka sebagai Youtube porn day. (Rujuk: Utusan Online).
Portal kerajaan Mula Digodam.
Portal rasmi Jabatan Pengajian Politeknik dan sebuah portal pelancongan swasta menjadi mangsa pertama sekumpulan penggodam yang dikenali sebagai Dragon Force Malaysia di awal pagi 15 Jun 2011.
Dalam kedua-dua portal itu, penggodam terbabit menyatakan tindakan tersebut dibuat sebagai protes terhadap kerajaan Malaysia supaya tidak menghalang kebebasan menggunakan Internet.
"Tiada yang selamat, terima kasih ahli Dragon Force. Kepada pentadbir, Dragon Force sudah datang. Terkejut huh? Jangan bimbang banyak yang akan datang lagi."
"Hormati kami, kami masukkan kod, kami ubah sistem anda, kami buka kata kunci anda, kami salah guna jaringan anda bukan kerana kami benci tetapi kami suka. Enjoy!," kata penggodam yang menggelarkan dirinya sebagai Kambeng Merah melalui mesej yang ditinggalkan dalam portal yang digodam.
Selain itu, sebuah lagi portal milik syarikat Impressions Holidays & Resort Sdn. Bhd. iaitu www.tourmalaysia.com.my turut menjadi mangsa kumpulan sama. (Rujuk: Kosmo).
Beberapa Laman Web Malaysia Telah Digodam
Agensi CyberSecurity Malaysia mengesahkan beberapa laman web di negara ini mula digodam selepas satu kumpulan bergelar anonymous yang mendakwa berpangkalan di luar negara mengancam mengganggu portal rasmi kerajaan di alamat www.malaysia.gov.my.
Kumpulan anonymous itu melalui satu video di laman Youtube mendakwa tindakan mereka adalah kerana tidak bersetuju dengan langkah kerajaan Malaysia menapis pelbagai laman web dalam dan luar negara.
Anonymous turut menggunakan wajah Guy Fawkes, salah seorang anggota kumpulan Kristian Katolik, The Gunpowder Plot 1605 yang cuba membunuh Raja England, James I bagi menentang pemerintahan Kristian Katolik, sebagai figura mewakili kumpulan itu. (Rujuk: Utusan).
Sekurang-kurangnya 41 laman web agensi kerajaan mengalami gangguan selepas digodam sejak kelmarin tetapi tiada data peribadi atau kewangan yang terancam, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Dalam serangan oleh kumpulan penggodam antarabangsa yang menggelar diri mereka "Anonymous", 51 laman web agensi kerajaan menjadi sasaran.
Serangan itu bermula lewat malam kelmarin susulan amaran kumpulan penggodam antarabangsa itu yang mendakwa kerajaan Malaysia mengenakan tapisan internet dan menyekat 10 laman perkongsian fail. (Rujuk: BHarian).
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, berkata semua cubaan menggodam itu berjaya dipatahkan berikutan arahan berjaga-jaga yang dikeluarkan kepada semua agensi sejak kelmarin, selain persiapan awal yang dibuat untuk menghadapinya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga sudah bersiap sedia menghadapi ancaman siber berkenaan serta yakin berupaya menangkis cubaan mereka.
"Sebelum ini pun ada serangan siber dilakukan terhadap laman web kerajaan tetapi kita (SKMM) dapat memulihkannya dengan pantas kerana sudah ada mekanisme dan prosedur bagi menanganinya.
"Bagaimanapun, SKMM akan terus berjaga-jaga terhadap sebarang ancaman siber bagi memastikan keselamatan maklumat dan rangkaian perhubungan demi integriti pelanggan di Malaysia," katanya.
‘Anonymous' dikesan pegawai sebuah syarikat perisian keselamatan di Finland dan makluman mengenainya dibuat pada jam 4.42 pagi Selasa lalu.
Minggu lalu, 'Anonymous' melancarkan DDoS atau 'distributed denial of service' terhadap laman web Kerajaan Turki sebagai bantahan terhadap rancangan kerajaan itu untuk memperkenalkan penapisan internet.
Hujung minggu lalu pula, laman web Senat Amerika Syarikat diceroboh kumpulan penggodam Lulz Security tetapi gagal melepasi 'firewall' untuk memasuki rangkaian laman web yang lebih sensitif.
Rais menjelaskan Malaysia tidak pernah mengenakan sekatan internet tetapi akan mengambil tindakan terhadap mana-mana laman web yang mengandungi unsur jenayah.
Beliau berkata, semua laman web yang berkenaan (disekat) boleh merayu kepada SKMM agar sekatan itu ditarik balik, bagaimanapun setakat ini suruhanjaya itu tidak menerima sebarang rayuan. (Rujuk; BHarian)
Serangan siber juga dipercayai dilakukan kumpulan lain berikutan pengesanan modus operandi berbeza oleh satu kumpulan tempatan, "Dragon Force", yang lebih gemar melumpuhkan laman sesuatu web dan menghiasi laman itu dengan imejnya.
Kumpulan "Anonymous" cuba mempamerkan kemarahannya terhadap tindakan Kerajaan Malaysia menyekat laman web perkongsian fail kerana ia melanggar Akta Hakcipta 1987. (Rujuk: BHarian).
Godam: 90% Dilakukan Orang Tempatan
Sembilan puluh peratus serangan penggodam ke atas beberapa laman web rasmi kerajaan dan swasta beberapa hari yang lepas, dilakukan orang tempatan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada hari Jumaat 17 Jun 2011.
"Kami sudah mendapat tahu bahawa hampir semua ini dilakukan orang tempatan, bukan pihak antarabangsa,” katanya. (Rujuk: Kosmo).
Exco Kerajaan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata rakyat tempatan yang dikenal pasti terbabit menggodam laman web kerajaan, dilabel sebagai penderhaka negara kerana tindakan mereka bermatlamat menghancurkan kerajaan.
Katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap pihak terbabit termasuk melucutkan taraf kewarganegaraan jika terbukti mereka melakukan perbuatan yang boleh dianggap tindakan subversif.
“Mereka yang melakukannya boleh dianggap menderhaka kerana berniat menghancurkan negara,” katanya. (Rujuk: BHarian)
Nota Kaki:
Berdasarkan Maklumat yang saya temui daripada www.melvister.com, ada khabar mengatakan bahawa kumpulan hacker anonymous ni juga akan menggodan atau hack beberapa laman blog yang tersenarai dalam data laman gengblogger. Gengblogger merupakan sebuah laman web terkenal khusus untuk para blogger memasukkan artikel baru mereka untuk dikongsi bersama.
Untuk melihat senarai blog yang bakal kena hack oleh anonymous, anda boleh klik di sini.
1 comments:
huhu bahaya ni
Catat Ulasan