08 Jun 2011

Potensi Besar Gaharu

Artikel berkaitan gaharu ini menerangkan bagaimana gaharu terbentuk dan harga gaharu mentah dan gaharu ekstrak di pasaran kini. Turut diceritakan di sini adalah masalah berkaitan pengeluaran gaharu di Malaysia.



Ramai yang mungkin tidak tahu apa itu `Karas' atau `Depu", tetapi Gaharu tidak perlu diperkenalkan lagi.

Gaharu ialah bongkah atau kepingan beresin atau berdamar yang diperoleh hasil daripada tindak balas yang berlaku dalam pokok Karas.

Gaharu dikenali kerana baunya yang wangi. Disebabkan itu penggunaannya amat meluas di dalam industri haruman dan perkakasan ibadat pelbagai agama.


Disebabkan itulah permintaan terhadapnya tinggi.

"Pokok karas memerlukan lebih kurang 50 tahun untuk menghasilkan gaharu bermutu tinggi.

"Pun begitu, hanya 1-10 peratus sahaja pokok karas hutan akan menghasilkan gaharu, sebab itulah ia sangat sukar didapati dan bernilai tinggi," kata Abas Alias dari Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM).



Menurut beliau, ramai yang tidak faham perbezaan di antara karas dan gaharu, lantas membuat anggapan bahawa `Gaharu' ialah sejenis pokok.


Karas ialah nama sejenis tumbuhan malar hijau yang cepat tumbuh.

Berbatang lurus menjulang ke langit, tetapi tidak begitu tinggi. Biasanya pucuk pokok ini berada di lapisan kanopi kedua di antara pokok-pokok hutan yang lain. Umurnya boleh mencecah sehingga 100 tahun.

Terdapat pelbagai spesies karas di Malaysia. Antaranya ialah keluarga 'Aquilaria' seperti Aquilaria Malaccensis, Aquilaria Beccariana, Aquilaria Hirta, Aquilaria Microcarpa' dan Aquilaria Rostrata.

Gaharu sendiri ialah hasil tindak balas imun pokok daripada jangkitan penyakit dan kulat.

Pokok yang cedera menyebabkan ia terdedah kepada jangkitan mikrob.

Pokok yang dijangkiti tetapi berimun lemah menyebabkan penyakit terbentuk pada pokok seterusnya menyebabkan pembentukan gaharu daripada nutrien pokok.

"Resin yang terhasil dari proses ini mengandungi bahan sari atau resapan berbau wangi. Itulah yang kita panggil sebagai gaharu'" kata beliau.

Bagaimanapun, tidak semua pokok karas melalui proses ini, menyebabkan hanya sebilangan kecil sahaja pokok karas yang menghasilkan gaharu.

Hari ini masalah itu sudah dapat diatasi. Dengan penciptaan inokulan iaitu sejenis campuran yang dapat merangsang tindak balas pokok untuk menghasilkan gaharu, penghasilan gaharu dapat dilakukan secara sengaja.

Inilah antara faktor yang menjadikan penanaman pokok karas untuk mendapatkan gaharu secara intensif dapat direalisasikan hari ini.



POTENSI PASARAN

Turut dikenali sebagai 'Kayu dari Tuhan' atau 'Emas Hitam', harga untuk teras haharu di pasaran tempatan ialah antara RM 1,000 hingga RM25,000 sekilogram.

Selain dijual dalam bentuk teras kayu, ia juga boleh diekstrak untuk dijadikan pati minyak dan boleh dijual di antara harga RM350 hingga RM1200 setola (1 tola = 12 ml).

Jika dijual dalam bentuk ketulan kayu, ia boleh dijual dari harga RM4 hingga RM 350 sekilogram.

"Yang membezakan harga antara produk gaharu ialah gred dan mutu produk itu." kata Abas.

Pada waktu ini, pasaran gaharu dunia hanya dapat menampung 20 peratus daripada permintaan sebenar, menjadikannya satu bidang yang boleh menjanjikan pendapatan lumayan kepada mereka yang mengusahakannya.

Walaupun hanya memenuhi satu per lima daripada permintaan, transaksi pasaran dunia bagi industri gaharu bernilai kira-kira RM200 juta dan dikatakan berpotensi untuk berkembang, sehingga RM3 bilion diperuntuk jika mampu memenuhi keperluan pasaran.



NASIB GAHARU TEMPATAN

Abas berkata walaupun terdapat peluang yang sangat luas dalam industri ini, masih ramai yang tidak mengambil kesempatan sebaiknya.

Sedihnya, pokok karas diancam kepupusan akibat beberapa sebab. Spesies Aquilaria Rostrata yang dinobat mampu menghasilkan gaharu terbaik berbanding mana-mana spesies lain dikatakan sudah pupus sepenuhnya.

Antara ancaman besar ialah penuaian pokok yang berleluasa, teknik penuaian yang merosakkan pokok, kemerosotan kualiti alam semulajadi dan yang paling menyedihkan ialah banyak hasil gaharu yang sepatutnya dinikmati rakyat negara ini telah dicerobohi dan dicuri oleh pencari gaharu dari negara jiran.

PENANAMAN YANG MUDAH

Sesuai dengan statusnya sebagai pokok hutan, karas tidak memerlukan penjagaan yang melampau dan amat mudah untuk ditanam berdasarkan prinsip Empat T iaitu Tanam, Tinggal, Tengok-tengok dan Tuai.

Pokok ini hanya memerlukan pencahayaan sebanyak 45 hingga 75 peratus sahaja sehari serta boleh menyesuaikan dirinya dengan pelbagai jenis tanah.

Anak benih terbaik untuk penanaman berumur daripada empat bulan ke satu tahun kerana ia mudah diangkut serta pembentukan akar yang sedang berkembang untuk mencengkam tanah, mengelakkannya daripada mudah tumbang.

Penanaman pokok karas juga tidak memerlukan ladang terbuka. Ia lebih sesuai ditanam di dalam kongsi atau hutan asli untuk pembesaran yang lebih sempurna.

Untuk penanaman pokok Karas secara intensif, 0.4 hektar tanah mampu menampung kira-kira 450 hingga 1,000 batang pokok pada satu-satu masa.

Terdapat pelbagai spesies karas yang mana setiap satunya memerlukan jangka masa berlainan untuk mengeluarkan hasil. Spesies 'Sub-Integra' untuk mengeluarkan hasil dalam jangka masa singkat. Spesies ini ditanam secara meluas di Thailand sejak 40 tahun lepas dan terbukti dapat mengeluarkan hasil dalam jangka masa lima hingga tujuh tahun.

Pokok karas yang berusia empat tahun ke atas sudah sedia untuk disuntik inokulan yang mana hasilnya dapat dituai mulai dari tahun kelima penanamannya.

MENYELAMATKAN KHAZANAH NEGARA

Dr Yumi Zuhanis Has-Yun Hashim dari UIAM berkata banyak pokok karas secara kebetulan berada di dalam kawasan Taman Negara. Pun begitu ia tidak dapat melindungi pokok karas daripada ancaman kepupusan.

Oleh itu beliau mencadangkan perladangan pokok karas sebagai satu usaha untuk menyelamatkan khazanah negara ini.

GAHARU DALAM PERUBATAN

Dr Yumi Zuhanis berkata gaharu mempunyai pelbagai potensi selain hanya digunakan dalam bidang wangi-wangian.

Menurut beliau, produk terapi kesihatan daripada sumber alam semakin mendapat tempat di hati pengguna kerana dianggap lebih selamat.

Pelbagai kajian dijalankan di serata dunia terhadap pelbagai bahan semula jadi ini untuk mengetahui farmakologinya terhadap sesuatu penyakit untuk mencipta terapi bagi penyakit-penyakit berkenaan.

"Bahan aktif yang dicari daripada tumbuhan-tumbuhan ini dikenali sebagai 'secondary metabolites," ujarnya.

Berdasarkan catatan perubatan tradisional dan kajian moden, sumber dari pokok karas sememangnya sudah ada sejarah perubatan yang baik di pelbagai tempat terutama di Asia, di mana pokok itu mudah didapati.

Dr Yumi Zuhanis memfokuskan potensi gaharu dalam tiga bidang perubatan iaitu pencegahan dan terapi untuk kanser, keradangan, dan jangkitan kuman.

MEMBANGUNKAN MASYARAKAT LUAR BANDAR

"Kami yakin bahawa industri ini bakal memberi impak positif kepada masyarakat umum, khususnya kepada mereka yang tinggal di luar bandar di mana Karas boleh dijadikan tanaman tambahan kepada pekebun," ujar Setiausaha Eksekutif YA'MAL, Amiruddin Rasedin.

Industri gaharu ialah satu daripada aktiviti ekonomi terpilih dalam Model Baru Ekonomi (MBE), Pelan Induk Pembangunan Luar Badar yang dikeluarkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada Oktober 2010.

TANAMAN KETIGA NEGARA

Industri berasaskan gaharu menjanjikan pulangan yang besar kepada negara jika diusahakan dengan teliti, terancang dan mendapat sokongan wajar daripada pelbagai pihak.

Potensi industri ini masih belum diteroka sepenuhnya dan tidak mustahil suatu hari nanti penanaman karas dapat menyumbang meningkatkan ekonomi negara di samping kelapa sawit dan getah.

Pihak yang berminat untuk mendapatkan informasi atau menceburkan diri dalam bidang ini klik BERNAMA.

Oleh Ali Imran Mohd Noordin
Sumber: BERNAMA

3 comments:

Niena Muhammad berkata...

KT KELANTAN ada tanam pokok depu.. erm.. nice entry kt sini.. sy follow anda..

jmput kembali

http://www.my-shopping2u.com/2011/06/penutup-malam-ini-harga-sebuah-musibah.html

sjaa64 berkata...

ohh..macam tu ek rupa dia..ekeke

Dinkyrara :) berkata...

terima kasih untuk info:)
ira follow sini^^