20 Jun 2012

Beg Plastik Mudah Urai


Mesra Alam ~ Mereput dalam tempoh setahun

SETIAP pagi kecuali hari Khamis, Khairul Nazri Abdul Rahman, 28, keluar seawal pukul 7 pagi dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur ke Sekinchan, Selangor untuk membeli ikan secara borong. Hasil tangkapan para nelayan di situ diangkut oleh Khairul Nazri ke tapak Pasar Tani Mega Putrajaya, Presint 2 untuk jualan pada petang setiap hari Selasa dan Jumaat.

Selama ini, peniaga pasar tani itu menggunakan beg plastik biasa yang berwarna jingga, merah atau hitam untuk membungkus barang jualan. Bagaimanapun, sejak 27 April 2012 lalu, dia bersama-sama peniaga lain mula menggunakan sejenis beg plastik baharu.

Dari segi fizikal, beg plastik berwarna putih tetapi telus cahaya itu kelihatan sama seperti beg plastik lain cuma ia sedikit nipis.  Biarpun nipis, ia masih mampu berfungsi seperti beg plastik lain dengan menampung berat beberapa kilogram makanan basah seperti ikan segar.


Mereput seperti habuk


KAIRUL NAZRI (kanan) menggunakan plastik mudah urai sejak ia dilancarkan pada 27 April 2012 lalu.

Dalam tempoh lebih kurang enam bulan ke setahun, beg plastik tersebut boleh mereput sedikit demi sedikit menjadi habuk ringan yang mudah terbang apabila ditiup angin.

Dikenali sebagai beg plastik mudah urai, ia merupakan inisiatif yang dilakukan pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengurangkan pengeluaran karbon di bandar pintar Malaysia.

Pasar Tani Mega Putrajaya pula menjadi pelopor dalam kelompok pasar tani di Malaysia dalam menggunakan plastik mudah urai itu. Setakat ini, pasar tani itu merupakan satu-satunya lokasi yang menjalankan kempen penggunaan beg plastik tersebut.

Harganya dua kali ganda berbanding beg plastik biasa. Jika beg plastik biasa bersaiz 15x15 inci berharga RM2.50 sepaket, beg plastik mudah urai pula berharga RM5.80. Bagi saiz 17x15 inci pula berharga RM7.50 manakala beg plastik biasa berharga RM3.30. Dalam erti kata lain, ia boleh dikatakan menambah beban para peniaga pasar tani.

Jika di kebanyakan pasar raya besar lain terutama hari Sabtu di Selangor, kos beg plastik boleh urai ditanggung oleh pihak pembeli jika mereka mahukan beg plastik. Tetapi di Pasar Tani Mega Putrajaya, para peniaga yang akan menanggung semua kos pembungkusan.

Pada peringkat awal pengenalan kempen tersebut, memang terdapat rungutan daripada para peniaga dan perkara tersebut diakui sendiri oleh Pengerusi Pasar Tani Negeri Wilayah Persekutuan, Abdul Rahman Dollah, 50.

Bagaimanapun, selepas sesi taklimat yang disampaikan oleh pihak PPj mengenai kepentingan dan manfaat penggunaan beg plastik boleh urai, lama-kelamaan mereka mula bersetuju. Salah seorang peniaga di pasar tani itu yang menjual sayur-sayuran, Wan Saloha Debab, 41, seakan-akan kurang bersetuju pada peringkat awal tambahan pula stok plastik lamanya masih lagi banyak.

Selepas difikir-fikirkan mengenai manfaat yang bakal diterima dalam jangka masa panjang, dia yang masih lagi menggunakan beg plastik lama untuk menghabiskan baki yang ada dapat mengubah persepsi terhadap beg plastik mudah urai itu.


BEG Plastik mudah urai boleh mereput akibat cahaya, suhu dan tegasan mekanik. - Gambar hiasan.

“Selain memberi manfaat kepada alam sekitar, beg plastik tersebut akan dibawa balik pembeli ke tempat mereka. Lambang pasar tani mega yang tertera pada beg plastik itu boleh menjadi bahan promosi. Jika dibuat pernilaian semula terhadap faedah yang boleh didapati, kos yang ditanggung tidaklah membebankan,” ujar Wan Saloha sambil menunjukkan logo pasar tani mega yang terdapat pada beg plastik tersebut.

Selain di Putrajaya, Wan Saloha turut berniaga di Ampang, Setiawangsa dan sekitar Kuala Lumpur serta mampu mengutip hasil jualan sebanyak RM5,000 sehari.

Sejak ia dilancarkan oleh Pengerusi FAMA, Datuk Badruddin Amiruldin, beg plastik mudah urai mendapat sambutan menggalakkan daripada para peniaga.

“Mereka memberikan komitmen yang agak baik manakala stok beg plastik sentiasa ditambah dan peniaga tidak putus-putus membeli semula,” kata Abdul Rahman yang ditemui di Putrajaya.

Pasar tani terbesar

Sebuah gerai disediakan pihak FAMA untuk urusan jual beli beg plastik mudah urai dijalankan selain menjadi tempat pihaknya berkomunikasi secara terus kepada para peniaga.

Pasar Tani Mega Putrajaya merupakan pasar tani terbesar di Malaysia. Sudah hampir lapan tahun kewujudannya, ia mengumpulkan para peniaga lebih kurang 300 orang. Barang jualan tidak terikat hanya pada sayur-sayuran dan haiwan yang segar terus dari ladang tetapi turut menjual makanan serta perusahaan kecil lain seperti kek.

Menurut artikel yang disiarkan dalam laman web www.epi-global.com, beg plastik mudah urai yang menggunakan standard Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) secara semula jadi berlaku penurunan mutu seterusnya mengalami biodegradasi apabila terdedah pada cahaya ultralembayung, kenaikan suhu atau tegasan mekanik.

Plastik standard EPI mengandungi bahan Aditif Plastik Boleh Urai Sepenuhnya (TDPA), ia memuatkan bahan berkuantiti kecil antara dua hingga tiga peratus resin seperti polietilena, polipropilena dan polistirena.


PLASTIK sampah yang susah terurai akan berkumpul dan memerlukan banyak tapak pelupusan. - Gambar hiasan

Bahan ditambah ketika proses pembuatan dan ia menyebabkan beg plastik terurai dalam masa dan kadar pereputan terkawal. Tempoh pereputan boleh mengikut kehendak pelanggan dari beberapa bulan sehingga bertahun-tahun.

Bagi produk-produk polietilena seperti beg plastik untuk membungkus sampah, beli-belah atau barang runcit bahan TDPA menyebabkan terurai secara total. Produk-produk boleh urai yang menggunakan teknologi EPI tidak bertoksik dan selamat untuk makanan. Ia memenuhi standard keselamatan makanan bagi Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Kompos yang terhasil daripada plastik yang mengandungi bahan TDPA juga tiada efek toksik terhadap tumbuh-tumbuhan atau haiwan. Setakat ini, produk pelbagai bentuk yang mengandungi TDPA sudah digunakan secara meluas oleh jenama-jenama besar dunia di Eropah, AS, Asia, Australia dan New Zealand.

Langkah memperkenalkan beg plastik boleh urai di Pasar Tani Mega Putrajaya kelihatan kecil tetapi memberi impak yang besar.

Bandar hijau

Jika difikirkan secara logik, beg-beg plastik lama tidak menyumbang penambahan kuantiti sampah di Pasar Tani Mega kerana kebanyakan dibawa balik ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, dalam jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan kawasan pembuangan sampah yang besar diperlukan. Penambahan beg plastik yang tidak boleh atau sangat lama untuk terurai mendorong kuantiti sampah.


LOGO pasar tani mega yang terdapat pada beg plastik ini boleh menjadi sebagai alat promosi kepada para peniaga.

Timbalan Pengarah Bahagian Komersial, Pengembangan Perniagaan dan Pelesenan PPj, Tengku Aina Tengku Ismail Shah berkata, ketika proses penguraian boleh mencemarkan aliran sumber air.

“Tasik dan sungai boleh tercemar sekali gus menjadi menjadi racun kepada manusia apabila manusia meminumnya,” kata wanita berusia 44 tahun ketika ditemui di Putrajaya baru-baru ini.

Tengku Aina berkata, langkah memperkenalkan penggunaan beg plastik mudah urai hanyalah permulaan dalam usaha PPj menjadikan Putrajaya sebagai bandar hijau.

“Matlamat kami adalah dalam tempoh tertentu, semua pembeli di Putrajaya akan membawa beg sendiri. Bukan sahaja ke Pasar Tani Mega tetapi ke kedai-kedai lain setiap hari,” ujar Tengku Aina menaruh harapan.

Justeru, pihak PPj akan menjalankan kempen secara berterusan di pasar tani kerana keberkesanan perkara yang melibatkan sampah bergantung kepada sikap manusia. Dari semasa ke semasa, pihak PPj akan membuat analisis terhadap penggunaan beg plastik boleh urai terutamanya pada kuantiti sama ada berlaku kenaikan atau penurunan.

Jika berlaku penurunan, terdapat beberapa kesimpulan boleh dibuat berdasarkan trend pengguna atau sambutan peniaga terhadap beg plastik tersebut.

Setakat ini, menurut Timbalan Pengarah Kawalan Kebersihan Bandar Raya PPj, Jamal Nasir, 55, sebanyak 12 peratus sampah yang dikeluarkan penghuni Putrajaya dikitar semula. Menjelang tahun 2020, mereka menyasarkan sebanyak 20 peratus.

Oleh ADLAN JAAFAR
Sumber: Kosmo

6 comments:

Tanpa Nama berkata...

Mahal la pula..kos utk para peniaga kira naik sikit la...
Tq utk info ni ye en Koding

ch000tz berkata...

kerajaan perlu lebih bijak untuk membuat perancangan masa depan

yusuflaili(Goku) berkata...

Baguslah kalau cara tu...yang penting jangan bebankan rakyat.

caliph shuriken berkata...

idea yg menarik tp beban agak berat sebelah..

apa2pun, nice sharing info ^^

pet berkata...

menarik.. tp mcm susah pula :P

Unknown berkata...

salah satu cara nak selamatkan bumi, tapi kos??