02 Oktober 2011
Apa Ibu Bapa Patut Lakukan Demi Kecemerlangan Akademik Anak-Anak?
Sesi persekolahan telah masuk ke bulan-bulan yang terakhir. Di saat ini pihak sekolah telah merancangkan beberapa program kecemerlangan untuk memastikan pencapaian akademik pelajar di tahap yang membanggakan dalam peperiksaan awam yang mereka duduki.
Setakat ini peperiksaan UPSR telah pun berlalu. Apa yang tinggal adalah perasaan berdebar-debar pihak sekolah terutamanya pihak guru yang terbabit dengan pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar Tahun 6. Yang pastinya debaran guru-guru adalah melebihi debaran sebahagian besar pelajar dan sebahagian besar guru.
Menyusul selepas ini adalah peperiksaan PMR, SPM dan STPM.
saya setuju dengan kata-kata PM Datuk Seri Najib bahawa semua pelajar berpotensi untuk berjaya dibidang pendidikan asalkan pelajar menunjukkan kesungguhan untuk maju dalam pelajaran di samping bantuan dan bimbingan guru yang komited serta dorongan dan sikap ambil berat ibu bapa.
Pelajar di dalam usia mentah, para remaja sebahagian besar daripadanya hanya memikirkan keseronokan hidup di alam remaja. Mereka idak mampu lagi berfikir secara waras apa yang terbaik untuk masa depan mereka. Dalam peringkat ini jika tidak dibimbing, diberikan panduan dan diawasi serta diberikan dorongan, mereka pastinya akan hanyut dalam arus keseronokan yang mereka kejar. Mereka ini sebahagian besarnya datang ke sekolah dengan wawasan yang tidak jelas.
Pihak guru telah berusaha sedaya mungkin untuk memberikan motivasi, bimbingan dan tunjuk ajar. Berbagai program kecemerlangan telah dirancang sepanjang tahun. Program kecemerlangan ini ditingkatkan lagi menjelang saat-saat hampirnya peperiksaan awam.
Bagaimanapun usaha guru pastinya tidak akan mendatangkan hasil yang baik dan cemerlang tanpa sokongan ibu-bapa. ibu-bapa perlu memantau adakah anak-anak mereka benar-benar ke sekolah untuk belajar. Adakah buku-buku nota dan buku-buku kerja pelajar ini disemak oleh ibu-bapa mereka? Adakah ibu-bapa mereka mengawal aktiviti anak-anak mereka ketika di rumah dengan memastikan mereka memberikan tumpuan kepada penguasaan ilmu iaitu melaksanakan latih-tubi dan ulangkaji pelajaran sebelum menduduki peperiksaan? Adakah ibu-bapa mengambil tahu tentang program-program kecemerlangan yang dilaksanakan oleh pihak sekolah? Adakah anak-anak mereka mengambil bahagian secara aktif dalam program-program kecemerlangan ini?
Adakah ibu-bapa sering berhubung dengan guru-guru yang mendidik anak-anak mereka untuk bertanyakan perkembangan anak-anak mereka bukan sahaja di segi perkembangan akademik malahan di segi faktor-faktor lain termasuk aspek rohani dan sahsiah mereka. Apakah ibu-bapa mengambil tahu siapakah kawan-kawan anak mereka? Adakah rakan-rakan anak-anak mereka itu membantu dalam meningkatkan kecemerlangan akademiknya.
Kerapkali ibu-bapa hanya akan mengambil tahu hal anak mereka apabila anak mereka dihukum kerana melakukan kesalahan. Tetapi tidak mengambil tahu apakah kesilapan anak-anak mereka yang menyebabkan mereka dihukum. Pelajar yang bermasalah disiplin biasanya adalah pelajar yang ketinggalan di segi pencapaian akademiknya.
Oleh itu ibu-bapa perlu membantu anak-anak mereka, agar mereka berjaya dalam akademik dan berjaya dalam kehidupan mereka bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Agar anak-anak ini mencapai kejayaan di akhirat, ibu-bapa perlu memastikan hubungan anak-nak mereka dengan Allah tidak diabaikan. Jangan sampai anak-anak meninggalkan solat fardhu. Anak-anak perlu digalakkan untuk solat malam melaksanakan solat tahajjud, solat taubah dan solat hajat serta memanjatkan doa agar beroleh kejayaan dalam kehidupan termasuk beroleh kejayaan cemerlang dalam akademik.
.........................................................................................................
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sistem pendidikan negara memberi peluang kepada semua golongan tanpa sebarang diskriminasi untuk berjaya.
"Apa yang penting ialah kita dedahkan pelajar dalam satu sistem, mempunyai guru yang komited, dorongan ibu bapa, maka mereka (para pelajar) akan menjadi berjaya.
"Melalui sistem pendidikan kita, kita memberi laluan untuk setiap orang untuk menjadi orang yang berjaya. Kejayaan dalam pendidikan dalam mengubah nasib hidup ini hanya menerusi satu generasi sahaja, ada yang berjaya sebagai pemimpin, tokoh korporat dan sebagainya," katanya.
"Tapi di Malaysia, kita mempunyai peluang untuk ubah kehidupan menerusi pendidikan, kita telah menggubal sistem pendidikan yang tanpa mengira taraf sosial ekonomi, tapi jika ada keinginan, kita akan berjaya," katanya.
"Pelajar yang mendapat keputusan 'C' dalam matematik dan sains (dalam UPSR), sebenarnya juga masih berpeluang untuk berjaya jika didedahkan dengan sistem pendidikan, guru yang komited dan dorongan ibu bapa (dalam peperiksaan menengah)," katanya. (Rujuk: Bernama).
Labels:
Masam Manis Payau,
Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan