Mengapa anda perlu mengambil berat terhadap penjagaan Tong Gas Memasak yang terdapat di dapur rumah anda?
DARYL CHUA, 27, menyangka dia dan kekasihnya Hibbie Tan, 23, akan mati selepas terhumban sejauh beberapa meter akibat letupan kuat yang menggegarkan Subang Jaya pada pukul 3.45 pagi Rabu, 28 september 2011.
Ketika kejadian, Daryl, seorang jurujual kereta dari Sri Hartamas, sedang berjalan ke arah mesin pembayaran automatik di pusat beli-belah Empire Shopping Gallery, Subang Jaya. Dia baru selesai minum kopi di sebuah kafe di tingkat bawah pusat beli-belah yang baru satu tahun setengah dibuka itu.
“Bunyi letupan itu sama seperti yang kita saksikan dalam filem,” imbasnya.
Selepas dia kembali tenang, Daryl dapat mendengar bunyi penggera keselamatan dan kaca berderai sebelum dinding-dinding retak dan jatuh di sekelilingnya. Penutup longkang di pusat beli-belah lima tingkat itu turut terbongkar, meninggalkan debu tebal berterbangan di udara.
“Pada mulanya saya fikir pusat beli-belah itu telah dibom,” kata Daryl yang mengalami luka-luka dan lebam di tangan.
Kekasihnya Hibbie pula terseliuh pergelangan tangan serta lebam di kaki dan paha. Menurut Chua, kereta mereka yang diletakkan di tempat letak kereta turut rosak. Letupan itu juga boleh didengar sejauh beberapa kilometer dan menggegarkan banyak kediaman di Subang Jaya.
Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul, berkata letupan itu mengakibatkan kesan teruk di laluan sepanjang 300 meter.
KEMUSNAHAN ini disebabkan letupan, bukan kebakaran.
Restoran
“Kesan kemusnahan itu lebih banyak diakibatkan oleh letupan berbanding kebakaran,” katanya sambil menambah, sekurang-kurangnya 40 buah kedai rosak teruk dalam kejadian itu.
Pengarah Suruhanjaya Tenaga bagi Peraturan Pembekalan dan Keselamatan Gas, Ahmad Nornadzmi Ahmad Zulkarnain memberitahu siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kecuaian manusia yang meninggalkan paip gas tanpa ditutup.
“Ada kemungkinan pekerja restoran di tingkat bawah bangunan itu membiarkan kepala gas tidak ditutup semalaman,” katanya.
Kejadian gas memasak bocor dan meletup sering dilaporkan di negara ini. Dalam hampir semua insiden, impak letupan itu bukan kepalang.
Pada 18 Jun 2011, tiga pekerja sebuah restoran mamak di Petaling Jaya melecur teruk setelah tong gas memasak meletup di dalam premis berkenaan.
Letupan berlaku semasa seorang pekerja mahu menukar tong gas yang sudah kosong dengan tong baharu pada pukul 8.30 pagi.
Tong gas yang mahu ditukar itu tiba-tiba meletup sehingga menyebabkan tiga pekerjanya cedera parah akibat melecur.
Letupan kuat itu turut menyebabkan barang-barang dalam restoran tercampak manakala siling premis runtuh.
Sebelumnya pada 8 Mei 2011, seorang warga Britain nyaris maut apabila kondominium yang baru didudukinya di Persiaran Hampshire, Jalan Ampang, Kuala Lumpur meletup akibat kebocoran gas.
Ketua Jabatan Kejuruteraan Gas, Fakulti Kejuruteraan Petroleum dan Tenaga Diperbaharui, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Zainal Zakaria berpendapat punca kebocoran gas sama ada di rumah, restoran atau kilang adalah disebabkan kecuaian dalam memastikan saluran paip yang digunakan mematuhi standard yang ditetapkan atau ia dipasang dengan cara yang salah.
Kegagalan melakukan pemeriksaan rutin turut menyumbang kepada kejadian gas bocor.
“Di rumah misalnya, walaupun paip getah berkualiti digunakan tetapi jika ia dipasang longgar atau digigit tikus, gas akan meresap keluar.
SEBUAH kereta yang diletakkan di luar bangunan rosak teruk.
Pemeriksaan
“Penghuni rumah yang tidak menyedari kebocoran itu mungkin secara sengaja mencetuskan percikan api dan dia tidak sempat menyelamatkan diri kerana letupan kuat itu berlaku sangat pantas. Di kilang pula, saluran paip boleh berkarat jika tidak selenggara,” katanya.
Beliau menjelaskan, gas yang digunakan untuk memasak adalah gas petroleum cecair iaitu jenis butana dan propana manakala gas yang digunakan pihak industri adalah daripada jenis metana.
Zainal menambah, tindakan membuka pintu dan tingkap bagi mengeluarkan gas itu dari rumah sebenarnya tidak memberi kesan serta-merta.
“Gas asli cecair lebih tumpat daripada udara, jadi ia lebih berat dan tidak mudah keluar dari sebuah kawasan tertutup. Ia akan berkumpul dan tersebar ke seluruh rumah selain melekat pada pelbagai barangan seperti langsir dan sofa.
“Keadaan ini menjelaskan mengapa letupan gas memberi impak yang besar terutamanya jika kebocoran itu berlaku dalam kuantiti yang banyak,” terang beliau.
Zainal bagaimanapun berkata, gas yang terperangkap itu boleh dikeluarkan dengan memasang kipas angin asalkan kawasan di luar rumah tidak terdapat objek yang menghalang pergerakan gas itu.
“Dalam hal ini, penghuni rumah perlu bertanggungjawab dan mengambil inisiatif memeriksa saluran paip gas memasak di dapur supaya ia sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Tindakan yang paling bagus ialah memeriksanya setiap tiga minggu atau sebulan sekali. Jangan tunggu sampai gas habis baru hendak melihat dan menggantikannya dengan tong gas yang baharu,” katanya.
Beliau menambah, Akta Bekalan Gas 1993 (Akta 501) hanya mewajibkan sistem bekalan gas berpusat pihak industri diperiksa oleh pihak berkuasa yang dilantik.
Namun, tiada klausa yang mencadangkan pihak berkuasa melakukan pemeriksaan ke atas gas memasak di rumah.
Zainal menerangkan, kekuatan sesuatu letupan bergantung kepada tekanan dan kapasiti gas yang bocor itu.
“Di Malaysia, sudah banyak dijual alat pengesan tekanan gas yang dipasang pada kepala tong gas. Alat itu boleh memberi amaran jika berlaku kebocoran gas sekali gus mengelak daripada berlaku kemalangan,” katanya yang berpendapat sebuah tong gas seberat 14 kilogram (kg) sudah cukup untuk memusnahkan sebuah rumah.
Beliau berkata, kejadian letupan gas di sebuah bangunan besar seperti pusat beli-belah perlu diberi perhatian serius.
“Selalunya banyak restoran terdapat di dalam sesebuah pusat beli-belah dan mereka turut menggunakan gas memasak. Kemusnahan akan menjadi lebih teruk jika medan selera itu terletak di tingkat bawah bangunan,” katanya.
LETUPAN dipercayai akibat kebocoran gas dari sebuah restoran di Empire Shopping Gallery di Subang Jaya meninggalkan kemusnahan yang besar.
Pada asasnya, mangsa yang terhidu gas memasak tidak akan berdepan masalah secara serta-merta. Kata Zainal, gas itu tidak beracun tetapi masih boleh menyebabkan mangsa pengsan jika terhidu dalam jumlah yang banyak.
Pensyarah UTM di jabatan yang sama, Profesor Dr. Ahmad Fauzi Ismail pula berpendapat tong gas 14kg sudah cukup untuk memusnahkan sebuah rumah dengan satu letupan kuat.
“Gelombang dan tekanan yang muncul akibat letupan itu yang membawa impak teruk sehingga mengakibatkan seluruh rumah dijilat api.
“Manakala letupan yang boleh menyebabkan kerosakan sebuah bangunan besar biasanya melibatkan kuantiti yang lebih banyak,” katanya kepada Jurnal.
Oleh KUMARA SABAPATTY
Sumber: Kosmo
5 comments:
pehh, vw golf tu..sayangnya. tapi seb baik xde kehilangan jiwa..
menakutkn...
kita mmg selalu ambil mudah pasal tong gas nih..huhu
pergh dasat letupan itu.. empire gallery ni baru je siap tahun lps
ish..teruk2..
Sungguh dahsyat!!! Tapi nasib baik tiada pengorbanan nyawa.
Catat Ulasan