10 November 2011

Menuai kabus demi setitis air


PROJEK yang dibangunkan sejak tahun 2007 ini mampu membekalkan air bersih sehingga 2,500 liter jika cuaca baik.

APABILA kepulan kabus berkumpul di atas gunung-ganang berbatu mengelilingi sebuah perkampungan Afrika Selatan, riak wajah anak-anak tempatan kelihatan keseronokan lantaran mengetahui mereka akan menikmati air minuman bersih di sekolah.

Tidak ubah seperti kebanyakan kawasan luar bandar di negara berkenaan, bekalan air bersih di kampung Tshiavha wilayah Limpopo agak sukar diperoleh. Maka, jaring-jaring penuaian kabus yang diletakkan di kawasan sekolah telah membawa sedikit kelegaan kepada penduduk.

Dengan landskap bergunung-ganang dan iklim berkabus membuatkan kampung Tshiavha merupakan salah satu daripada beberapa kawasan kering di Afrika Selatan sesuai menjadi lokasi menawan kabus menggunakan sistem yang diguna pakai di Banjaran Andes dan Himalaya.

Bagaimanapun, pakar-pakar telah membuat ramalan bahawa Afrika Selatan akan menjadi semakin kering dan panas dalam tempoh empat dekad lagi.

Skim yang diguna pakai itu akan membawa perubahan baharu apabila Afrika Selatan bakal menjadi tuan rumah kepada perbincangan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan November 2011 ini.


Jaring-jaring halus setinggi empat meter yang kelihatan seperti jaring bola tampar ini berfungsi untuk memerangkap titisan air daripada kabus.

Projek penuaian kabus yang telah dibangunkan pada 2007 dengan bantuan sebuah universiti tempatan memperlihatkan kabus terperangkap dalam jaring-jaring mampu membekalkan air sehingga 2,500 liter ketika hari terbaik.

"Air yang diperoleh melalui proses ini lebih bersih dan selamat kerana tiada bahan kimia," kata Pengetua Sekolah Rendah Tshiavha, Lutanyani Malumedzha.

Menurut Malumedzha lagi, akses terhadap air bersih memberikan impak ketara kepada pelajar-pelajar sekolah malah mengurangkan wabak penyakit yang dibawa oleh air.

"Kebiasaannya, pelajar-pelajar ini akan membawa bekalan air sendiri ke sekolah pada bulan kering dan panas. Air tersebut pula dikumpul daripada perigi berlumpur dan tidak sesuai diminum manusia," katanya.

Di sesetengah kawasan pula, masyarakat setempat akan berkongsi air bersama lembu-lembu.

Walaupun, kualiti air Afrika Selatan dinilai sebagai antara terbaik di dunia, masyarakat di kawasan luar bandar masih berdepan keterbatasan bekalan air bersih.

"Kita telah mempelajari untuk menghargai air dan menganggap ia sebagai komoditi tidak ternilai dalam masyarakat.

"Tiada setitik airpun akan dibazirkan. Setengah daripadanya akan pergi ke sana," kata Malumedza sambil menunjuk ke arah kebun sayur yang menyediakan makanan untuk skim makanan sekolah.


TITISAN air yang dituai akan mengalir ke tangki penakungan melalui sebuah saluran yang dihubungkan daripada jaring penuai.

Jaring halus yang berdiri kukuh setinggi empat meter di luar taman permainan sekolah kelihatan seakan-akan jaring bola tampar kecuali terdapat palung titisan air menghubung kepada tangki air terletak beberapa meter.

Malumedza menambah, penggunaan sistem berkenaan tidak melibatkan tenaga elektrik dan memerlukan penyelenggaraan yang sedikit bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.

Sebagai sebuah negara yang agak kering, air sukar didapati di Afrika Selatan dan kawasan terpencil tidak mempunyai infrastruktur menerima tamparan paling hebat apabila berlaku pola perubahan cuaca.

"Ini merupakan alternatif kos efektif yang boleh diterokai dengan jayanya memandangakan cabaran air dialami negara," kata Penyelidik Universiti Pretoria, Liesl Dyson.

Wilayah Limpopo utara, yang dipisahkan negara Botswana, Zimbabwe dan Mozambique merupakan kawasan cukup terkenal menempatkan Taman Negara Kruger. Ia juga merupakan salah satu kawasan paling panas di negara berkenaan.

Begitupun, kawasan berkenaan merupakan salah satu lokasi yang mempunyai iklim sesuai untuk melakukan penuaian kabus.

"Kabus sahaja tidak mencukupi, ia turut memerlukan sedikit angin untuk meniupnya.

"Ia tidak banyak membantu sekiranya kabus terhenti pada satu kedudukan di gunung-ganang tanpa bergerak," kata Dyson.

Dia berkata, sistem berkenaan telah digunakan di beberapa kawasan pantai barat dan wilayah Eastern Cape, Transkei.

Dalam pada itu, menurut Majlis Kajian Saintifik dan Perindustrian, Afrika Selatan mempunyai hujan tahunan mencecah 490 milimeter merupakan separuh daripada purata jumlah dunia.

Walaupun tidak berdepan isu perubahan iklim, Afrika Selatan dijangka berdepan masalah kekurangan bekalan air pada tahun 2025.

Dalam perancangan, empangan baharu di Lesotho akan dibina untuk menambah bekalan air negara. - AFP

Sumber: Kosmo

0 comments: