23 Disember 2011

Along Dan Angah Selamat Dikhatankan


Kanak-kanak yang bakal dikhatankan dibasahkan di bawah pancuran air dalam satu majlis berkhatan beramai-ramai (Foto: Kosmo).

Along akan berusia 13 tahun pada tahun 2012 ini. Manakala Angah pula berusia 10 tahun pada tahun tersebut.

Sepatutnya Along telah disunatkan lebih awal. Bagaimanapun disebabkan seorang OKU daripada kategori Autisme maka aku tangguhkan hasrat aku itu sehingga dia benar-benar dewasa dan mampu mengawal kesakitan akibat berkhatan kelak.

Suatu temujanji telah diputuskan oleh isteri aku dengan seorang doktor pada 22/12/2011 melalui satu panggilan telefon. Oleh kerana ketidakyakinan terhadap kemampuan Along mengawal rasa sakit semasa dikhatankan, maka isteri aku bertanya pelbagai soalan, termasuk kemungkinan dipengsankan agar Along tidak merasa sakit dan tidak meronta-ronta semasa dikhatankan.


Sehari sebelum dikhatankan doctor minta Along dibawa ke kliniknya agar dia boleh melihat dan menilai kesediaan Along. Melalui pengamatannya, doctor mendapati tiada sebarang masalah terhadapnya. Ini kerana Along bukanlah OKU dalam kategori Hiperaktif.

Malam itu aku minta Along dan Angah agar tidur awal kerana mereka perlu bersedia untuk pergi ke klinik pada jam 9.00 pagi.

Aku tidak pasti samada Along dan Angah faham akan maksud dan tujuan khatan.

Pagi khamis tersebut sebaik selesai mandi pagi dan bersiap, ini adalah beberapa persoalan yang dikemukakan oleh Angah.

“Kita nak pergi mana ni?”

“Nak kena potong semua sekali ke?”

Manakala Along, macam biasa tiada sebarang persoalan.

Di Dewan Pembedahan Kecil Klinik, Along menjerit-jerit kesakitan ketika disuntik dengan buat bius pada kemaluannya.

Doktor meminta Along membaca surah Al-Fatehah. Dia pun membaca surah tersebut sehingga selesai. Doktor minta dia baca lagi. Dan dia pun akur lalu membaca surah tersebut lagi dan lagi tanpa disuruh. Sepanjang prose berkhatan itu, Along terus menerus membaca Al-Fatehah tanpa berhenti sehingga kering aku rasa tekaknya menjadi kering.

Sepanjang pagi tersebut dia belum lagi makan dan minum, kerana doctor memintanya berpuasa untuk memudahkan keberkesanan ubat bius jika ada kemungkinan Along perlu dipengsankan.

Atas rasa bersalah kerana arahannya itu, doctor telah membelikannya segelas air Milo dan 2 keping roti untuk Along bersarapan pagi sebaik sahaja Along selesai disunatkan.

Alhamdulillah. Tiada sebarang masalah dihadapi sepanjang proses bersunat tersebut. Dia tidak pun meraung-raung ataupun menangis sebagaimana kebiasaannya apabila merasa sakit.

“Macamana. Abang rasa sakit tak?” tanyaku semasa Along sedang duduk menikmati sarapannya.

“Tak”, jawabnya sambil terus menerus menghirup air Milo yang dibelikan oleh doctor.

Sampai giliran Angah, doctor menegurnya kerana menggeletar ketakutan.

“Apa nak takut. Bukannya sakit. Cuba cubit kuat-kuat hujung anu awak ni,” arah doctor kepada Angah.

“Ada rasa sakit tak?” tanya doctor kepada angah sebaik selesai Angah mencubit anunya.

“Kan saya dah kata tak sakit,” kata doctor tersebut lalu memulakan prosedur mengkhatan.

Sesekali Angah tergelak-helak kecil.

“Kenapa Angah? Sakit ke?”, tanyaku.

“Tak sakit… Geli…”, kata Angah.

Doktor menegur Angah lagi sebaik selesai prosedur berkhatan tersebut apabila didapati perut Angah keras kerana dia menahan otot-otot perutnya disebabkan rasa takutnya.

Alhamdulillah. Mereka berdua selamat akhirnaya dikhatankan. Umminya yang terlebih-lebih lagi risaunya juga merasa lega. Cuma kini apa yang perlu dilakukan ialah agar mereka berdua berpantang sedikit dalam hal-hal pemakanan agar luka berkhatan mereka cepat pulih.

Sepanjang di rumah di hari pertama selepas dikhatankan, Abang sebagaimana kebiasaannya menghabiskan masa yang terluang dengan bermain computer. Angah pula asyik terbaring sahaja. Menjelang petang aku dapati Angah demam.

Sepanjang hari itu dua kali dia terkencing semasa tidur. Aku tidak tahu apa punca yang menyebabkan dia merasa takut untuk pergi membuang air kencingnya di tandas.

Dia akan mengatakan dia tidak terasa ingin membuang air kecil setiap kali aku memintanya agar ke tandas. Barangkali dia merasa pedih setiap kali membuang air kecil.

Bukan sahaja Angah takut untuk buanag air, tetapi juga telah hilang selera makannya. Barangkali kerana demamnya yang menyebabkan selera makannya hilang.

Kebaikan Berkhatan

Tujuan utama amalan berkhatan bagi kanak-kanak dipraktikkan di dalam masyarakat Melayu adalah kerana ingin menjaga kebersihan. Amalan berkhatan juga dapat mengelakkan jangkitan kuman pada salur kencing.

Kajian membuktikan bahawa, bayi yang berkhatan mempunyai 10 kali ganda lebih rendah risiko jangkitan kuman salur kencing berbanding mereka yang tidak berkhatan. Jangkitan kuman salur kencing pada kanak-kanak kecil adalah serius kerana tanpa rawatan ia akan merosakkan fungsi buah pinggang dan mengakibatkan kuman tersebar ke seluruh tisu badan.

Berkhatan juga mengurangkan risiko penyakit kanser zakar, prostat dan kanser serviks dan payudara kepada wanita.

Kuman Human Papilloma Virus (HPV) adalah antara faktor pencetus kanser serviks dalam kalangan wanita. Kuman ini didapati berlindung di hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita ketika persetubuhan. Virus yang sama juga boleh mencetuskan kanser payudara. (Sumber: Kosmo)

0 comments: