23 Disember 2011

Penggembala Unta Islam


PENGGEMBALA unta bersama unta dan muatan guni sekam untuk dihantar ke beberapa stesen di sepanjang Oodnadatta, Australia sekitar tahun 1911.
(Gambar Ihsan Perpustakaan Negeri Australia Selatan).

POPULASI Islam di Australia bermula secara rasmi pada abad ke-19 Masihi iaitu sekitar tahun 1860-an. Masyarakat Islam yang berasal dari Afghanistan dan Pakistan dibawa masuk secara sah oleh beberapa syarikat bagi mengendalikan haiwan yang amat berjasa kepada kemajuan Australia, iaitu unta.

Masyarakat Islam yang datang ke Australia berasal dari beberapa kaum seperti Pashtun, Baluchi, Punjabi dan Sindhi. Kepelbagaian kaum atau etnik itu telah bersatu di bawah nama Islam dan mereka telah bersama-sama berusaha mengekalkan agama dan cara hidup mereka di Australia. Dari tahun 1870 hingga 1920, kira-kira 200 orang penggembala dan 20,000 ekor unta telah tiba di Australia.


Dengan tujuan untuk mencari rezeki, penggembala unta Islam yang terdiri daripada golongan lelaki ini telah datang bersendirian dan diikat dengan kontrak kerja untuk jangka masa tertentu.

Tugas utama mereka yang dibawa ke Australia ialah untuk menggembala unta yang dibawa masuk ke Australia untuk tujuan penghantaran bekalan ke kawasan pedalaman.

Antara tugas yang dilakukan ialah memberi makan unta, mengikat barangan ke atas badan unta, menjadi penunjuk jalan dan seterusnya mengawal unta ketika dalam perjalanan.

Orang Australia pada waktu itu percaya bahawa hanya orang Islam boleh mengendalikan unta dengan berkesan kerana dalam Islam unta dianggap sebagai haiwan yang diberkati.

Mereka lebih faham dengan sifat dan kehendak haiwan tersebut. Ini kerana latar kehidupan mereka yang didatangkan dari Afghanistan dan Pakistan adalah amat rapat dengan unta dalam kehidupan harian mereka.

Selain pengalaman, para penggembala unta Islam juga mempunyai kemahiran yang membolehkan mereka mengendalikan unta dengan berkesan.

Contoh kemahiran yang mereka miliki ialah mengikat barangan seperti bekalan bulu kambing yang beratnya boleh mencecah ratusan kilogram dengan hanya menggunakan seutas tali.

Teknik mengikat dan mengawal unta adalah penting untuk mengelakkan kemalangan yang tidak diigini.

Kelebihan bekerja di dalam cuaca yang ekstrem dan kurang memerlukan air menjadi kelebihan kepada unta dalam melaksanakan tugas-tugas yang diberikan bagi membawa keluar produk Australia seperti bulu kambing biri-biri dan membawa bekalan kayu api untuk menggerakkan enjin bagi tujuan perlombongan di kawasan perlombongan emas di Murin, Australia Barat.

Emas telah ditemui di Kalgoorlie dan Coolgardie pada tahun 1893. Selain emas, benua Australia kaya dengan sumber mineral lain seperti perak, zink, tembaga dan plumbum.

Kepakaran penggembala unta sebagai penunjuk arah telah menjadikan mereka penting dalam ekspedisi-ekspedisi sains yang dijalankan oleh para saintis Australia di kawasan pedalaman. Beberapa ekspedisi yang disertai oleh penggembala unta Australia ialah seperti Ekspedisi Burke dan Wills pada tahun 1860, Ekspedisi Warburton pada tahun 1873, Ekspedisi Goose pada tahun 1873 dan Ekspedisi Elder pada tahun 1891.

Di dalam ekspedisi saintifik sebegini, para penggembala unta Islam ini mempunyai tugas yang berat selain sebagai penunjuk jalan iaitu mereka bertanggungjawab dalam mengangkat dan menurunkan peralatan daripada unta, mencari sumber air bagi ahli ekspedisi, dan turut terlibat dalam pengumpulan spesimen.

Setiap barangan sama ada tong air, tiang telegraf, guni bulu biri-biri dan sebagainya diikat dan disandarkan pada sejenis pelana yang direka khas untuk membawa barang. Pelana ini mempunyai rekaan khusus seperti deretan kayu di bahagian sisi, kiri dan kanan bagi membolehkan para penggembala mengikat barangan yang hendak di bawa dengan mudah.

Selain memberi sumbangan dari segi kemajuan Australia, penggembala Islam Australia juga berjaya dalam menjalankan satu lagi tugas mereka iaitu sebagai orang Islam.

Mereka telah berjaya memperkenalkan Islam kepada masyarakat tempatan di situ.

Mereka telah membina masjid sebaik sahaja sampai di Australia walaupun hanya daripada tanah liat dan ranting-ranting kayu.

Sumbangan penggembala unta Islam dalam membuka kawasan pedalaman Australia dan memajukan Australia tidak pernah disebut dalam sejarah negara itu.

Pameran Penggembala Unta Islam Australia - Perintis Di Kawasan Pedalaman 1860an - 1930an, yang sedang berlangsung di Muzium Kesenian Islam Malaysia dari bulan Oktober 2011 sehingga 22 Januari 2012 ini merupakan kali pertama sejarah itu diketengahkan kepada masyarakat umum dan luar Australia.

Pameran ini telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia, Miles Kupa pada 21 Oktober 2011 lalu. Ia merupakan hasil kerjasama antara Muzium Australia Selatan dan Muzium Kesenian Islam Malaysia dan sokongan daripada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, Institut Australia-Malaysia dan syarikat perkapalan UASC dan Inchscape.

Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia
Sumber: Utusan

0 comments: