04 Mac 2012

Fenomena Matahari Tanpa Bayang Di Jakarta


Bogor, Jakarta Alami Fenomena Hari Tanpa Bayang Pada Sabtu (3 Mac 2012) dan Ahad (4 Mac 2012).

Tepat pukul 12 tengah hari Sabtu 3 Mac 2012, bandar Bogor di Jawa Barat mengalami fenomena hari tanpa bayangan matahari, manakala ibu kota Jakarta akan mengalami fenomena sama pada Ahad (4 Mac 2012).

Pada waktu itu, untuk tempoh dua hingga lima minit, orang ramai tidak dapat melihat bayangan sendiri di bawah sinar matahari kerana matahari berada tepat di atas kepala dan jika cuaca tidak berawan, bahang panas matahari adalah optimum dan bersifat sangat menyengat.

Selepas tempoh itu, bayangan mereka akan kelihatan semula kerana kedudukan matahari semakin beralih ke garis lintang arah utara.


Peneliti Utama Astronomi Astrofizik di Lembaga Penerbangan dan Angkasa Lepas Nasional (LAPAN) Indonesia Dr Thomas Djamaluddin berkata secara astronomi, kejadian itu merupakan fenomena rutin yang biasa berlaku pada tarikh sama dua kali setiap tahun kerana pada ketika itu matahari berada tepat di garis lintang di kawasan terbabit.



Di Indonesia, beberapa bandar mengalaminya pada sekitar awal bulan Mac dan sekali lagi pada pertengahan Oktober.

Fenomena ini telah pun berlaku di Yogyakarta pada 29 Feb dan Solo pada 1 Mac manakala semalam ia dialami di empat bandar iaitu di Bandung, Cirebon, Pekalongan dan Semarang.

Semua bandar di dunia yang berada di antara garisan lintang 23.5 darjah utara dan garisan lintang 23.5 darjah selatan akan mengalami keadaan ini dan bahagian yang lebih selatan terlebih dahulu mengalaminya seperti di Australia pada bulan Disember hingga Januari.

Sebelum ini tempat popular yang menjadi tumpuan ialah di bandar Pontianak, Kalimantan Barat, kerana kedudukannya betul-betul di garisan khatulistiwa, yang mengalami fenomena itu dua kali setiap tahun iaitu pada setiap 21 Mac dan 23 Sept.



Fenomena ini (Fenomena Istiwa A’zam), yang berlaku di Mekah pada 28 Mei (tepat pukul 5.16 petang) dan 16 Julai (tepat pukul 5.28 petang) setiap tahun, dimanfaatkan oleh umat Islam di seluruh dunia untuk membuat pembetulan pada arah kiblat berdasarkan arah bayang matahari di kawasan setempat yang menghala ke arah Mekah, katanya.

Oleh Ahmad Fuad Yahya
Sumber: BERNAMA dan Utusan

p/s: Fenomena Matahari Tanpa Bayang, bukanlah bermaksud tidak ada bayang-bayang langsung. Tetapi anda tidak dapat melihat bayang-bayang anda sendiri melainkan jika anda membongkokkan diri anda sendiri untuk melihatnya. Fenopmena ini juga akan berlaku di Malaysia, cuma tarikhnya saya tidak dapat memastikannya dengan pasti.

3 comments:

Unknown berkata...

kuasa Allah

Unknown berkata...

segala puji bagi ALLAH yang mghidupkan dan mematikan mahluk..

ch000tz berkata...

Only God knows....